Kelainan Batik 1Malaysia

JIKA bercakap mengenai batik, perkara pertama terlintas di fikiran biasanya koleksi batik Kelantan ataupun Terengganu yang sememangnya terkenal kerana kemewahan kualiti kainnya.

Batik yang sememangnya menjadi warisan sejak turun temurun pastinya tidak akan pernah mengecewakan peminatnya walau dalam apa keadaan sekalipun.

Sesuai digayakan pada majlis formal ataupun tidak rasmi, batik sememangnya memberikan kelainan kepada gaya dalam berfesyen sama ada menggunakan rekaan baju kontemporari ataupun mengekalkan gaya tradisi.

Kini, apa kata beralih kepada koleksi batik 1Malaysia yang menjanjikan rekaan, corak serta penghasilan warna yang lebih terkini dan moden bersesuaian dengan kehendak fesyen terkini.

Itulah yang cuba diketengahkan Butik El Humaira bagi memberikan lebih pilihan kepada mereka yang menggemari batik sebagai pakaian harian ataupun formal mereka.

Menurut pengurus butik berkenaan, Nur Ira Atila Ahmad Iskandar, koleksi yang diketengahkan El Humaira lebih eksklusif memandangkan batik yang dihasilkan menggunakan bahan terbaik dan lembut bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengguna.

Penggunaan warna pastel yang lebih lembut juga memainkan peranan bersesuaian dengan pemilihan ataupun selera terkini pelanggan terhadap penggunaan warna yang tidak terlalu terang sebagai sebahagian daripada koleksi busana mereka.

“Malah motif serta corak yang dihasilkan juga lebih pelbagai iaitu tidak lagi hanya tertumpu pada bentuk bunga-bungaan, sebaliknya mula mempelbagaikannya dengan bentuk abstrak ataupun gabungan kedua-dua bentuk terbabit.

“Malah motif bunga-bungaan yang digunakan juga tidak terlalu besar, sebaliknya menggunakan bentuk bunga yang comel agar ia boleh dipadankan dengan pelbagai peringkat usia bukan hanya tertumpu kepada golongan tertentu,” katanya ketika ditemui di butiknya di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Banyak menggunakan bahan seperti sutera creep, jaquard linen, kapas dan kapas voile serta sifon sebagai bahan asas kain bagi setiap koleksi yang diketengahkan, ia mampu membuatkan penggemar batik teruja dengan kepelbagaian koleksinya.

Selain itu, rekaan baju yang digunakan juga dipelbagaikan dan tidak lagi tertumpu pada baju kurung biasa serta kebaya yang sinonim dengan penggunaan batik sebagai pakaian harian serta formal.

“Kami banyak memberikan pilihan bentuk baju seperti kaftan, jubah, kurung moden, gaun labuh serta baju berfesyen lain agar menampakkan kelainan bersesuaian dengan peredaran fesyen semasa.

“Bukan saja kelihatan lebih eksklusif tetapi koleksi yang disediakan juga banyak menggunakan perincian manik berkualiti di bahagian dada bagi menambahkan keanggunan pemakainya,” katanya.

Di samping itu, katanya, lelaki juga tidak terkecuali kerana boleh memilih untuk mendapatkan baju batik yang diingini dengan motif serta corak yang berlainan berbanding biasa.

Tip membasuh baju batik

Disaran menggunakan sabun mandi iaitu gel mandian.

Rendamkan seketika sebelum diangkat dan disidai bagi mengelakkan pakaian berkenaan berkedut.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,710 views