Kelas Santai Hujung Minggu

Seronok melihat kesungguhan sekumpulan kanak-kanak ini menghayati setiap teknik dan arahan daripada guru mereka.

Walaupun hanya belajar membuat kek cawan Hokkaido dan piza ketika sesi pertama kelas bakeri, rata-rata peserta bersemangat menyiapkan hasil hidangan bermula daripada adunan sehinggalah siap hiasannya.

Masing-masing tidak sabar melihat hasil air tangan mereka sendiri kerana sebelum ini tidak berpeluang menyertai mana-mana kelas bakeri.

Pengajarnya, Norain Ahmad yang pernah mengajar di pusat latihan akademi bakeri mengakui kelas berkenaan dianjurkan khas untuk kanak-kanak kerana minatnya dalam bidang berkenaan selain mahu berkongsi ilmu bersama generasi muda.

“Saya juga mahu memberi peluang kepada mereka merasai hasil air tangan sendiri berbanding mengharapkan ibu bapa menyediakan hidangan untuk mereka.

“Sedikit sebanyak kanak-kanak ini dapat menyelami keseronokan dan memupuk minat dalam bidang masakan.

“Mengajar kanak-kanak sebenarnya lebih mudah berbanding orang dewasa. Bezanya, saya perlu banyak bersabar kerana mereka teruja untuk melihat hasil hidangan yang dibuat dengan lebih cepat,” katanya.

Sebaliknya, mengajar orang dewasa lebih banyak cabaran kerana jika ada pelajar yang sudah pandai menghasilkan sendiri adunan, mereka mahu menggunakan teknik diketahui walaupun sebenarnya salah.

Menu pilihan untuk diajar kepada kanak-kanak kali ini adalah kek cawan, pavlova, kek cawan Hokkaido dan piza. Semua menu dipilih kerana mudah, menarik dan mengikut trend terkini.

“Kek cawan memang antara menu biasa yang boleh dipelajari di mana saja, namun masih ramai yang berminat untuk mempelajari cara penyediaannya.

“Disebabkan tarikan pada hiasannya, manis dan enak, ramai kanak-kanak gemar menikmatinya. Tentu mereka seronok jika dapat belajar dan menghasilkan sendiri hidangan digemari ini.

“Piza juga antara makanan digemari kanak-kanak. Jika sebelum ini mereka hanya tahu memesan di restoran makanan segera, selepas menghadiri kelas hari ini, mereka pasti dapat membuat sendiri di rumah,” katanya.

Selepas belajar cara membuat, keinginan untuk menghasilkan sendiri piza akan memberi perasaan teruja kepada mereka, apatah lagi boleh menambah bahan lain yang lebih berkhasiat dalam adunan.

Peserta kelas berkenaan tidak perlu membawa sebarang peralatan atau bahan kerana semua disediakan oleh Norain.

Kelas pada hujung minggu berkonsepkan santai sempena cuti sekolah itu mengajar
dua menu berbeza dalam setiap sesi sama ada sesi pagi atau petang.

Bukan hanya kanak-kanak, malah kelas bakeri yang dianjurkan Norain juga dibuka kepada orang dewasa. Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook, Puds4You.

Belajar teknik betul

Nik Humairah Putri Jamilin, 14, dari Beranang, Selangor mulanya hanya ingin mengikuti sesi pertama untuk belajar cara membuat pavlova dan kek cawan Hokkaido.

Namun, ibunya menyarankan dia mengambil dua sesi dalam sehari bagi mempelajari cara membuat kek cawan dan piza.

“Saya selalu makan pavlova namun tidak pernah tahu cara membuatnya. Justeru, saya sangat gembira apabila diberi peluang menghadiri kelas ini, apatah lagi banyak masa terluang di rumah.

“Saya juga memang biasa memasak di rumah,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Di rumah, ibunya sentiasa menggalakkannya memasak hidangan yang diketahuinya. Antaranya ikan masak masam manis, nasi goreng dan mi goreng. Walaupun biasa memasak, dia akui jarang membuat kuih atau kek di rumah.

“Sebelum ini, saya pernah cuba membuat kek cawan dengan mendapatkan resipi dan cara menyediakannya melalui Internet. Walaupun hasilnya menjadi, teknik yang digunakan tetap salah.

“Di dalam kelas ini, guru banyak mengajar teknik betul terutama ketika membuat adunan. Ada bahan yang perlu dicampurkan dan diasingkan ketika membuat adunan bagi mendapatkan hasil lebih enak dan tekstur lembut.

“Kali ini saya cuba membuat kek cawan Hokkaido dan pavlova, rasanya tidak sukar untuk menghasilkannya,” katanya yang teruja dapat belajar perkara baru.

Sepupunya, Nik Nur Faqihah Kamaruzaman, 10, yang turut menyertai kelas bakeri berkenaan juga teruja kerana itu pertama kali dia menghadiri kelas sedemikian.

“Saya memang suka menolong ibu membuat kuih di rumah seperti biskut dan kek. Saya jarang memasak di rumah dan tidak banyak saya ketahui mengenai hidangan lain selain telur hancur dan roti keju.

“Sebenarnya, saya baru belajar memasak. Antara hidangan yang diajar ibu adalah telur goreng. Namun selepas ini saya akan lebih rajin ke dapur,” katanya.

Jelas anak pertama daripada tiga beradik ini, kebiasaannya pada cuti sekolah dia tinggal di rumah sepupunya agar dapat melakukan aktiviti bersama termasuk menghadiri kelas bakeri terbabit.

“Apabila berjaya hasilkan kek cawan dan pavlova dalam kelas ini, saya sangat gembira. Walaupun ambil masa sehari suntuk, saya tidak rasa penat kerana memang minat.

“Selain itu, saya juga dapat belajar cara membuat piza, apatah lagi ia belum pernah dicuba di rumah. Kelas ini banyak mengajar saya membuat doh dengan betul, membakar dan menghias piza,” katanya.

Selain belajar ilmu baru dalam dunia masakan, dia juga gembira kerana dapat berkenalan dengan rakan baru yang turut mempunyai minat sama.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

563 views