Kelas Senaman Mingguan Percuma

IRAMA rancak lagu ‘Staying Alive’ mengiringi pergerakan Lennart Zetterqvist yang tekun mengangkat dumbel, mencuba sedaya upaya menghabiskan kelas senaman khusus untuk warga emas berumur 90 tahun ke atas.

Pada usia 90 tahun, Zetterqvist ahli paling muda dalam kumpulan warga emas di Sweden yang bertekad mengekalkan bentuk badan dan terus aktif walaupun semakin dimamah usia.

“Dulu orang mahu hidup santai apabila bersara. Tetapi kini mereka mahu teruskan hidup yang aktif di samping kekal cergas sehinggalah berusia 100 tahun,” kata Kristoffer Sjooeberg, jurulatih peribadi yang mengetuai kelas senaman mingguan warga emas di kelab kesihatan Sickla Haelsocenter terletak di pinggir Stockholm.

Di satu sudut, Anne-Marie Novotny, nenek periang berumur 91 tahun yang memakai kemeja-T merah jambu melakukan senaman untuk perut perlahan-lahan.

“Saya baru menjalani pembedahan hati, jadi saya kena mulakan senaman perlahan-lahan,” katanya. Dia mengakui baru saja mula bersenam pada musim panas lalu selepas puluhan tahun berehat panjang dan kali terakhir bersenam pada 1938, sebelum tamat persekolahan.

Dia antara 16 warga emas berumur 90 tahun ke atas menerima tawaran pihak berkuasa tempatan untuk masuk ke kelas senaman mingguan yang diadakan secara percuma.

Tujuan kelas senaman mingguan itu diadakan untuk membantu warga emas kekal cergas dan aktif supaya mereka boleh terus hidup berdikari tanpa perlu mengharapkan penjagaan anak-anak atau pembantu. Malah lebih penting untuk mengelakkan mereka daripada dimasukkan ke hospital (akibat masalah kesihatan) atau pusat penjagaan orang tua.

Di Sweden, kebajikan setiap orang dari saat dilahirkan hinggalah menghembuskan nafas terakhir ditanggung sepenuhnya majlis perbandaran.

“Kami memberi lebih tumpuan kepada aspek kekuatan dan keseimbangan. Kami lihat ada perubahan besar sejak kelas ini dimulakan Mac lalu. Masa itu kebanyakan warga emas datang bertongkat atau menggunakan alat sokongan berjalan, tetapi kini semuanya sudah boleh berjalan laju,” kata Sjoeberg.

“Sekarang ada kalanya saya lupa hendak bawa tongkat,” kata seorang pelajarnya, Alice Wettergren, 92 tahun dengan gembira.

Walaupun prestasi yang ditunjukkan kumpulan warga emas ini sangat mengagumkan tetapi ia satu-satunya kelas untuk warga emas berumur 90 tahun ke atas di Sweden. Kewujudan kelas seumpama itu menggambarkan keadaan sebenar di Sweden.
Seperti negara Eropah lain, Sweden juga mengalami fenomena populasi yang semakin tua.

Berdasarkan kajian Seniorbarometern yang diterbitkan September lalu, daripada sembilan juta penduduk Sweden, 1.8 juta daripadanya adalah warga pencen dan seramai 850,000 orang akan ‘menganggotai’ kumpulan ini pada 2015. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan warga emas akan mewakili 25 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sweden menjelang 2050.

“Mereka tidak lagi duduk santai dan bermalas-malasan di rumah, kini semuanya aktif. Malah mereka lebih aktif daripada kebanyakan penduduk Sweden,” kata Linus Blom yang mengetuai kajian terbabit.

Di kalangan mereka yang berumur 59 tahun ke atas, 38 peratus berkata, ada melakukan sedikit senaman sehari. Satu daripada enam orang bercadang menjadi ahli di pusat gimnasium.

Sejak tahun 2000, jumlah penduduk berumur 65 tahun ke atas yang berjaya menamatkan Maraton Stockholm meningkat empat kali ganda.

“Inilah gambaran keadaan masyarakat hari ini. Warga emas bukan saja hidup lebih sihat dan lama, tetapi mereka juga mahu terus aktif sepanjang hayat,” kata penganjur Maraton Stockholm, Thomas Enstroem.

Daripada ramai peserta itu, hanya beberapa orang yang mampu ‘menandingi’ Herbert Liedtke, 95 tahun. Tiga serangan angin ahmar atau strok barulah menyedarkan bekas pemandu teksi itu untuk bersenam. Selama 40 tahun menjadi pemandu teksi, Liedtke mengakui tidak pernah bersenam.

Namun Liedtke sangat bertuah kerana hayatnya masih panjang walaupun sudah tiga kali diserang strok. Pada usia 69 tahun, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti larian bersama rakan lain yang 15 tahun lebih muda.

“Saya tidak pernah berlari, tetapi saya berjaya mengalahkan mereka,” katanya tersenyum bangga. Di pintu masuk ke dapur, tergantung semua pingat yang dimenanginya.

Pada usia 85 tahun, Liedtke mencatatkan rekod baru dunia untuk kategori 400 meter di Australia pada 2001. Malah menurutnya, dalam setiap pertandingan disertai, dia antara peserta yang berdiri di pentas pemenang.

Menurut Blom, mereka yang memasuki umur persaraan sekarang adalah ‘bayi’ yang dilahirkan selepas perang. Kebanyakannya mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh berbanding warga emas sebelum ini dan mereka dijangka menjadi ‘pasaran utama’ untuk kelab kesihatan dan gimnasium.

Antara contohnya ialah Bodil Hedenstroem. Tatkala usianya mencecah 71 tahun, dia menyertai kelas senaman tiga hingga empat kali seminggu di kelab kesihatan Sturebadet di tengah Stockholm, antara pusat senaman untuk golongan atasan.

“Saya perlukan ini. Saya tidak boleh hidup tanpanya. Saya rasa lebih mudah bergerak, keseimbangan juga jadi lebih baik. Malah kini saya ada lebih banyak stamina,” kata wanita berambut perang dan bertubuh langsing itu. Menurutnya, dia dan suaminya kerap berbasikal atau mendaki.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,130 views