Kelas Untuk Peniaga Berpotensi

KEPELBAGAIAN dalam pembuatan coklat sama ada daripada segi bentuk dan corak yang disediakan serta warna untuk menghasilkannya menjadikan produk terbabit antara pilihan terpenting untuk dijadikan cenderahati.

Bagi pasangan bakal pengantin, ia paling mendapat sambutan untuk dijadikan simbolik hantaran dan yang pasti, bahan berkenaan perlu memiliki sentuhan berbeza.

Menurut pengasas Arahchocolate and Bakery, Siti Zahrah Mat Zin, minat yang mendalam dalam bidang penghasilan produk kreatif berasaskan coklat ini menyebabkan dia mempelajari cara pembuatannya daripada asas.

Dia mempelajari asas penyediaannya, kemudian mengembangkan penghasilan produk berkenaan mengikut kreativiti tersendiri.

“Kini tidak lagi sukar seperti dulu terutama dalam mereka bentuk serta mencipta corak menarik kerana pelbagai acuan boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.

“Pilih saja bentuk yang diingini kemudian tuangkan coklat, sejukkan dan hasil akhir yang diperoleh adalah produk coklat yang direka mengikut kehendak dan keinginan tersendiri,” katanya.

Sudah beroperasi selama empat tahun, perniagaan berasaskan coklat terbabit ternyata sentiasa mendapat permintaan dan disebabkan itu, dia sanggup berhenti kerja demi menumpukan sepenuh perhatian kepada penghasilan coklat yang dikendalikannya.

Siti Zahrah juga mengendalikan kelas pembuatan coklat kepada mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan berasaskan produk terbabit.

Untuk ruangan Hias minggu ini, ikuti cara mudah menghasilkan gubahan bakul lolipop coklat. Untuk melihat lebih banyak lagi koleksi gubahan berasaskan coklat yang disediakannya, layari laman facebook Arahchocolate and Bakery atau www.arahchocolate.blogspot.com.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

913 views