Kelebihan Fabrik Nidha

Kain tidak jarang dan longgar adalah ciri penting ketika membuat pemilihan jubah bagi mengutamakan keperluan syariah untuk bergaya sopan.

Selain itu, jenis fabrik yang digunakan juga perlu dititikberatkan, apatah lagi keadaan cuaca di negara ini yang tidak menentu.

Menurut pengasas Madina Label, Ilya Farhana Jamal Nasir, fabrik nidha adalah campuran fabrik kapas dan poliester yang mempunyai tekstur ringan, lembut serta licin, sesuai digayakan terutama dalam keadaan cuaca panas.

“Justeru, kami memilih jubah yang menggunakan material berkenaan kerana sangat sesuai digayakan Muslimah yang mahu tampil sopan dan pada masa sama mementingkan keselesaan.

“Jubah yang tidak jarang, tetapi nipis dan menyerap peluh itu antara helaian yang menarik untuk dipakai ketika sambutan Aidilfitri,” katanya.

Bagi memastikan koleksi jubah yang digayakan tahan lama, ia perlu dicuci dengan tangan dan dijemur di kawasan yang terlindung daripada cahaya matahari terik bagi mengelakkan warnanya menjadi pudar.

Untuk Syawal kali ini, jenama berkenaan memperkenalkan koleksi Zoya Kimono Abaya kerana pengasasnya tertarik dengan maksud di sebalik namanya.

Zoya bermaksud cinta atau penyayang dipilih sempena kegunaan abaya yang sangat sesuai untuk ibu menyusukan anak. Ia diperbuat daripada fabrik nidha dan potongan abaya itu direka khas bagi memberi kelainan kepada si pemakai.

Terdapat dua butang di bahu kiri dan kanan seterusnya bukaan potongan di kiri (seperti kimono) untuk tampil berbeza, selain memudahkan pergerakan.

Potongan itu juga memudahkan ibu yang menyusukan bayi. Menariknya, koleksi abaya berkenaan sesuai dijadikan sebagai perlindungan segera kepada bentuk badan si pemakai.

Bagi menambah seri pada penampilan, jahitan elemen reben kecil yang comel di bahagian tangan dan badan memberi sentuhan menarik.

Butik yang beroperasi secara dalam talian itu boleh dilihat menerusi, www.facebook.com/madinalabel atau www.instagram.com/madinalabel.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,493 views