Keluarga Dua Budaya Berbeza

Penyertaannya dalam MasterChef Australia musim keempat itu sekadar menyempurnakan perkara yang digemarinya, tetapi Amina El Shafei tidak menyedari kehadirannya dalam rancangan itu membawa impak begitu besar dalam dirinya, juga penonton khususnya di rantau ini.

“Jangan lupa ambil banyak gambar. Dapat tanda tangan Amina pun lagi bagus!” Itu antara kata-kata adik penulis yang menganggap dirinya antara peminat setia Amina selepas dimaklumkan mengenai sesi temu bual bersama tukang masak kegemarannya itu.

Melihatnya di kaca televisyen, Amina umpama menambah ‘cita rasa’ berbeza dalam rancangan terbabit. Gadis bertudung dengan ciri-ciri wajah Oriental yang sering tampak ceria itu ternyata sering menambat hati penonton.

Dia memang seperti yang dilihat dalam rancangan masakan itu ceria, mesra dan paling menyenangkan, gadis berusia 29 tahun ini gemar berjenaka.

“Saya memang teringin sangat hendak makan murtabak jadi apabila sampai saja ke sini, saya terus mencari murtabak. Memang sedap!” katanya sambil tertawa kecil.

Amina tiba di Kuala Lumpur pada malam 28 Julai lalu untuk sesi sidang media dan bertemu peminat di ibu kota. Dia sebenarnya awal-awal lagi sudah me-nyediakan senarai makanan yang ingin dicuba ketika berada di negara ini.

Antaranya asam laksa (diperkenalkan oleh rakannya dalam MasterChef, Audra) dan ais kacang yang dianggapnya sangat sesuai dengan cuaca di negara ini.

Buah-buahan tropika juga buruannya, malah jambu air antara hidangan sahurnya ketika tiba di sini.

“Sebelum ini saya memang sudah terdedah kepada masakan Malaysia. Saya sangat bertuah kerana di Sydney, terdapat makanan daripada pelbagai budaya termasuk Malaysia, malah ada beberapa restoran di sana yang sangat terkenal dengan makanan Malaysia,” katanya.

Amina akui punya sikap terbuka dalam bab makanan lantas tidak hairan jika dia gemar mencuba pelbagai jenis masakan, apatah lagi dibesarkan dalam pertembungan dua budaya berbeza – Timur Tengah dan Asia.

Lahir di Arab Saudi dan berhijrah ke Australia pada lewat 1980-an, bapa Amina berasal dari utara Mesir manakala si ibu berbangsa Korea.

Hanya dua beradik, menurut Amina, adik perempuannya, Eman sejak akhir-akhir ini juga rajin memasak untuk seisi keluarga.

Sejak awal lagi, ibu dan bapa yang banyak mendedahkan dia pada dunia masakan, begitu juga nenek, tetapi bagi dirinya, apa yang penting keseronokan berada di dapur.

“Datang daripada dua budaya berbeza, keluarga kami gemar mencuba pelbagai benda. Banyak eksperimen dilakukan di dapur, banyak juga benda yang terbakar dan berasap malah ketuhar pun pernah meletup,” katanya yang dibesarkan di New South Wales dan kini menetap di Sydney.

Seingatnya, dia mula membantu ibu bapanya di dapur ketika dia masih di sekolah menengah terutama pada hujung minggu, apatah lagi dia sangat gemar memasak dan mencuba pelbagai jenis masakan.

Memiliki keluarga daripada dua budaya itu satu yang cukup menarik kerana dia ditemukan dengan pelbagai jenis masakan berbeza. Apapun, makanan fusion khususnya campuran makanan Timur Tengah dan Korea bukan pilihannya kerana dia lebih menggemari makanan tradisional.

“Biarpun selesa menghasilkan masakan yang saya biasa iaitu masakan Timur Tengah dan Korea, pada masa sama saya gemar memasak pasta.

“Saya juga mula belajar mengenai masakan dari Asia Tenggara. Di Australia, mudah ditemui masakan dari rantau Asia Tenggara seperti masakan Vietnam dan Melayu,” kata gadis yang tidak gemarkan cili ini.

Baginya, masakan Timur Tengah banyak menggunakan rempah, tetapi ia tidak semestinya pedas, namun masakan Korea sangat pedas kerana banyak menggunakan cili merah dalam masakan.

“Ibu saya sering ketawakan saya kerana tak tahan pedas, tapi adik saya pula boleh makan cili begitu saja.

“Peliknya saya boleh makan kimchi siang malam, mungkin kerana ia menggunakan cili yang tidak begitu pedas.

“Membuat kimchi agak leceh terutama dari segi penapaian. Kita perlu bersihkan kubis, kemudian bubuh garam, biarkan ia separuh hari sebelum dibersihkan sekali lagi dan disimpan. Banyak sangat kerja jadi biarlah ibu saja yang membuatnya. Apabila sudah siap, saya jadi tukang makan saja,” katanya.

Baginya, antara masakan Timur Tengah dan Korea, kedua-duanya sama enak. Masakan Korea dianggapnya sesuai untuk musim panas manakala masakan Timur Tengah pula lebih sesuai untuk musim sejuk.

Mungkinkah dia bergelar chef suatu hari nanti?

“Saya kini sudah 29 tahun dan saya tak fikir akan mengikuti kursus latihan di sekolah memasak semata-mata mahu menjadi chef.

“Buat masa ini, saya banyak mengadakan kelas memasak dan demonstrasi memasak di Sydney. Itu yang membuatkan saya sibuk, apapun memasak hanya kerja sambilan kerana saya tidak melihat diri saya sebagai chef suatu hari nanti.

“Memang kerjaya saya sebagai jururawat pediatrik tidak lari daripada suasana tertekan lantaran berhadapan dengan kanak-kanak sakit saban hari tetapi saya sangat sukakan kerja saya,” katanya.

Impian masa depan

Berhasrat membuka restoran Timur Tengah yang agak funky, tetapi tradisional bersama adiknya, Amina fikir impian itu harus ditangguhkan terlebih dulu.

“Buat masa ini, saya turut membantu rakan yang mengusahakan restoran Timur Tengah. Saya tidak sangka betapa banyaknya usaha yang harus dicurahkan untuk memulakan perniagaan restoran.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaannya di Malaysia, tetapi di Sydney sekarang, banyak perniagaan restoran yang rugi. Jadi saya tidak mahu terburu-buru menceburi bidang perniagaan ini, biarlah saya mengutip pengalaman dalam tempoh beberapa tahun ini terlebih dulu,” katanya.

Amina juga masih menyiapkan buku masakannya yang dijangka berada di pasaran pertengahan tahun hadapan.

Usaha menyiapkan buku ini yang bermula sekitar Oktober tahun lalu itu juga akuinya, sangat memakan masa, apatah lagi ia harus bertepatan dengan konsep yang diingininya.

“Cabarannya dari segi menulis resipi dan saya harus mencuba resipi
itu tiga, empat kali hingga betul-betul menjadi. Ia memang memakan masa.

“Memandangkan ia berkonsepkan latar belakang budaya saya, jadi buku ini bakal menyediakan pelbagai resipi keluarga serta gambar kenangan keluarga. Mungkin sebab itulah ia memakan masa kerana saya mahu buku itu benar-benar sempurna,” katanya.

Gemar mengembara, dia bakal ke London September ini untuk menyertai acara membabitkan makanan halal. Selain itu, Amina sudah menjelajah ke Maghribi, Sepanyol, Portugal, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan tidak ketinggalan, Korea.

Berbicara soal jodoh, Amina fikir biarlah ibu bapanya tidak terbabit apabila mahu mencari pasangan hidup.

“Apapun saya mungkin mencari seseorang yang mempunyai ciri seperti ayah saya. Saya seorang yang agak berdikari dan melakukan apa yang saya gemari.

“Saya harap jika bertemu jodoh, biarlah dia juga memahami diri saya dan membenarkan saya melakukan perkara yang saya minati. Bapa saya pun berfikiran serupa yang mahukan bakal suami saya seorang Muslim dan punya etika hidup yang baik,” katanya.

Dua kali sesi temu bual, selain menyaksikannya memasak lala bersama cili, serai dan halia sebelum berbuka puasa petang itu, memang tidak puas bersembang dengannya. Keramahan, keceriaan serta sikapnya yang sentiasa merendah diri itu ternyata membuatkan sesiapa jua cukup senang dengannya lantas tidak hairan dia punya ramai peminat tanpa mengira usia.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

532 views