Keluarga Tulang Belakang Kejayaan

“Ketika berada di sekolah menengah, sains adalah mata pelajaran yang paling ditunggu-tunggu. Ini kerana saya tidak sabar melakukan eksperimen di makmal membabitkan pembedahan haiwan seperti tikus dan katak yang saya sifatkan sangat menarik.

“Saya langsung tidak takut apatah lagi geli, malah menjadikan setiap uji kaji begitu menyeronokkan,” kata Timbalan Dekan di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Dr Ruslinda A Rahim yang juga Pensyarah Kanan di Institut Kejuruteraan Elektronik Nano, Universiti Malaysia Perlis apabila memperkatakan mengenai keterujaannya terhadap bidang sains yang terserlah ketika berusia belasan tahun.

Sejak itu, Ruslinda berazam bergelar saintis kerana ingin memberikan kehidupan lebih baik dan bermakna kepada masyarakat dan negara. Tanpa mengenal penat lelah, usaha yang bukan sedikit bagi mencari penemuan baru dalam bidang sains, ibu kepada empat cahaya mata ini percaya apa juga dilakukan sekiranya disertakan usaha gigih pasti membuahkan hasil.

Berpegang kepada prinsip ini dia berjaya menjalankan penyelidikan bagi membangunkan peranti elektronik tangan untuk pengesanan awal HIV yang menyumbang kepada menyelamatkan nyawa melalui rawatan awal penyakit ini.

“Sejak virus ini dikesan, berjuta-juta orang meninggal dunia akibat AIDS. Kebanyakan penghidap HIV tidak mempunyai akses atau terhad kepada pencegahan, penjagaan dan rawatan. Walaupun masih tiada penawar untuk AIDS tetapi dengan ciptaan ini, saya berharap sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa dengan menyediakan peranti khas dan memberikan keputusan tepat supaya rawatan sesuai boleh diberikan kepada pesakit,” katanya yang menerima Anugerah L’Oreal National Fellowship untuk Wanita dan Sains 2013 atas kejayaan menghasilkan ciptaannya ini.

Menurutnya, pada masa kini pengesanan awal hanya menerusi ujian darah dan keputusan diketahui selepas beberapa hari. Jadi dengan adanya peranti, ini ia mampu mengesan seawal mungkin seterusnya memberi harapan kepada pesakit menjalani kehidupan lebih lama dan sihat bersama insan tersayang.

Berperanan sebagai ibu, isteri serta ketua di pejabat, wanita kelahiran Pulau Pinang ini menjelaskan, dia perlu bijak membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya. Ruslinda bersyukur kerana suami sangat membantu meringankan tugas di rumah.

“Memang banyak cabaran memikul tiga tugas serentak. Tambahan pula saya tiada pembantu rumah dan bergilir-gilir menguruskan anak-anak. Sebagai saintis saya perlu komited menjalankan kajian di makmal bagi mendapatkan keputusan yang tepat. Biasanya rutin harian bermula seawal pagi dengan menyelesaikan tugasan di pejabat membabitkan hal pengurusan.

“Kemudian pulang ke rumah pada waktu petang menguruskan anak-anak. Hanya pada waktu malam saya menjalankan uji kaji di makmal. Walaupun menuntut banyak pengorbanan melihat uji kaji yang mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat, ia sudah cukup memberikan kepuasan,” katanya.

Memiliki Ijazah Doktor Falsafah daripada Universiti Waseda Tokyo, Jepun, sejak kecil dia sudah melihat Jepun sebagai satu kuasa besar dalam bidang teknologi. Semangatnya bersemarak apabila melihat ibu saudara (rakyat Jepun) yang begitu komited, berwawasan dan bijak seterusnya menjadi idola kepada Ruslinda untuk belajar bersungguh-sungguh dan meniru cara rakyat Jepun bekerja dan berfikir.

“Sebab itu sebaik saja tamat tingkatan lima, saya terus melanjutkan pelajaran di Jepun begitu juga dengan ijazah sarjana dan doktor falsafah. Boleh dikatakan saya membesar di Jepun dan banyak menyelami kehidupan rakyatnya yang begitu bersungguh-sungguh melakukan semua perkara,” katanya yang fasih berbahasa Jepun dan turut bertutur dalam bahasa itu dengan suami dan anak-anak di rumah.

Dengan geran diterima ini, ia menjadi batu loncatan kepada Ruslinda untuk terus membuat kajian dan penemuan terkini dalam sains. Pada masa sama, dia merancang untuk bekerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia bagi merangka satu pendekatan yang lebih terkini dan sesuai menggunakan alat ciptaannya ini.

Bagi penerima kedua, Pensyarah Kanan di Jabatan Fizik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Suriani Abu Bakar, dia yang juga ibu kepada tiga cahaya mata menerima geran atas penyelidikan menghasilkan karbon nanotube menggunakan bahan terpakai seperti minyak masak menerusi kaedah pengelupasan elektrokimia bagi membentuk lapisan karbon untuk kegunaan pada masa depan.

“Teknologi nano hijau secara proaktif boleh mempengaruhi reka bentuk nanobahan. Ini akan membantu mengurangkan kesan alam sekitar yang mungkin berlaku dalam rantaian produk, sekali gus menggunakan nanobahan untuk merawat atau mengatasi masalah alam sekitar sedia ada,” katanya.

Dalam hal ini, Dr Suriani menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan pelbagai bentuk karbon seperti graphene, nanotube karbon, karbon nano atau microscpheres yang memberi manfaat kepada manusia dalam pelbagai cara seperti mengurangkan pencemaran serta menjimatkan kos apabila menggunakan produk terpakai sebagai bahan utama.

“Kajian secara saintifik ini bertujuan menggunakan bahan buangan biasa seperti minyak masak sawit, minyak enjin dan lemak ayam untuk menghasilkan nanotube karbon. Apabila kajian ini berjaya, ia akan membantu mengurangkan kesan alam sekitar melalui kitar semula dan mengurangkan kos pengeluaran,” kata wanita kelahiran Melaka ini.

Mendapat galakan daripada ibu untuk menceburi bidang sains, Dr Suriani begitu meminati mata pelajaran Sains sejak di sekolah rendah dan gemar melakukan pelbagai eksperimen. Suriani gemar meneroka untuk mendapatkan maklumat secara lengkap dan terperinci selain bertanya kepada guru untuk mendapatkan jawapan. Hal ini mendorongnya mengambil jurusan sains selepas tamat tingkatan lima bagi meneruskan cita-cita menjadi pegawai penyelidik.

“Saya menerima galakan daripada keluarga terutama abang yang juga penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang memberi sepenuh kepercayaan untuk saya memecahkan tradisi dalam keluarga sebagai saintis wanita,” katanya.

Menurut penerima ketiga, Pensyarah Kanan Fizik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Chuah Lee Siang, bukan mudah untuk bergelar penyelidik, pensyarah, ibu dan isteri kerana banyak pengorbanan terpaksa dilakukan bagi menjadikan impian satu kenyataan.

“Saya bertuah mempunyai keluarga yang sangat memahami dan memberikan sokongan serta suami yang membantu ketika susah dan senang. Jika tidak mana mungkin saya mampu menjalani kehidupan dengan banyak aktiviti terpaksa dijalankan setiap hari,” katanya.

Dr Chuah menjalankan penyelidikan teknologi nano bagi meningkatkan kecekapan lampu LED, sekali gus jangka hayat peranti pencahayaan tanpa menjejaskan kecerahan. Ini akan menyumbang kepada penyelesaian tenaga global dan isu alam sekitar.

Selama beberapa dekad, ramai saintis berusaha membangunkan teknologi tenaga baru yang akan menyumbang kepada penyelesaian isu alam sekitar. Oleh kerana dunia ini semakin kehabisan bahan api fosil dan lain-lain sumber tenaga semula jadi, keperluan untuk mencari sumber lampu hijau kini menjadi lebih penting.

“Dengan penemuan ini, orang ramai akan dapat menggunakan lampu dengan tenaga yang lebih rendah dan jangka hayat lebih lama tanpa menjejaskan kecerahan cahaya, sekali gus menghasilkan penjimatan tenaga untuk persekitaran yang lebih hijau,” katanya.

Chuah berharap apabila penyelidikannya selesai, projek ini boleh bertukar menjadi idea perniagaan, namun begitu kos dikenakan mungkin sedikit lebih tinggi daripada biasa kerana terdapat isu paten dan bahan yang mungkin tidak mudah diakses dalam negara ketika ini.

Mempunyai seorang cahaya mata berusia lima bulan, wanita ini bijak membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya dengan mengharapkan sokongan keluarga apabila dia perlu menghadiri mesyuarat di luar daerah atau negara.

Pemilihan Dr Chuah dianggap tepat kerana dia pernah terpilih sebagai penyelidik atas jemputan bersama Universiti Itali bagi menjalankan kajian selama sebulan di China mengenai teknologi nano. Sudah tentu pengalaman ini digunakan apabila berdepan dengan pelbagai uji kaji pada masa depan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

392 views