Kembali Ke Zaman Kanak-kanak
“Konna koto ii na, dekitara ii na. Anna yume konna yume ippai aru kedo. Minna minna minna, kanaete kureru. Fushigina pokke de kanaete kureru.
“Sora wo jiyuu ni tobitai na, Hai! takekoputaa! An an an, tottemo daisuki. Dora…emon.”
Berpuluh-puluh kali lagu comel ini dimainkan sepanjang dua jam penulis serta jurufoto, Munira Abdul Ghani mengunjungi Ekspo 100 Gajet Rahsia Doraemon di Viva Home, Jalan Loke Yew dan berulang kali jugalah kami menyanyikannya tanpa rasa letih mahupun bosan.
Siapa tidak kenal dengan Doraemon? Mungkin tidak begitu popular bagi kanak-kanak zaman ini tapi sememangnya Doraemon besar pengaruhnya bagi generasi terdahulu, khususnya era 1980-an dan 1990-an.
Justeru, tidak hairanlah ekspo yang berlangsung selama 100 hari (14 Disember 2013 hingga 23 Mac 2014) itu menyaksikan ribuan pengunjung berusia 25 tahun ke atas dan hanya sebilangan kecil kanak-kanak itupun dibawa oleh ibu dan bapanya yang membesar dengan kartun popular ini.
Apa ada pada watak kartun ciptaan pelukis komik manga, Fujiko F Fujio ini hinggakan ia digilai di seluruh dunia, malah diubah kepada pelbagai medium hiburan?
Tiada jawapan tepat mengenainya dan rata-rata pengunjung kala ditanya mengapa, pantas mengatakan siri kartun Jepun ini seakan-akan mengimbau memori zaman kanak-kanak mereka.
Sama seperti pengunjung terbabit, penulis juga seakan-akan kembali ke zaman kanak-kanak setiap kali melepasi satu demi satu ruang pameran di ekspo itu.
Tidak lengkap menceritakan mengenai Doraemon tanpa memaparkan mesin masanya yang menjadi pengangkutan utama untuk ke ruang serta dimensi berbeza, biasanya dikaitkan dengan masa depan dan lampau.
Ruang kelam seakan-akan terowong yang dilalui Doraemon menggunakan mesin masa itu dipaparkan pada keseluruhan ruang masuk sejurus pengunjung melepasi ruang menunggu.
Usai bergambar bersama mesin masa, ruang berikutnya menceritakan sejarah ringkas mengapa Doraemon tidak mempunyai telinga seperti kucing lain dan bagaimana warnanya daripada kuning berubah kepada biru.
Dikhabarkan Doraemon dimiliki kanak-kanak lelaki bernama Sewashi Nobi dan kedua-duanya menjadi teman baik hinggalah lelaki itu meningkat dewasa.
Satu hari ketika Sewashi sibuk menyiapkan hasil seni tanah liat menyerupai Doraemon, dia menyuruh tikus robot menggigit telinga arca tanah liat itu yang tampak seperti binaan 3D Doraemon.
Namun tikus robot terbabit menggigit telinga Doraemon sebenar, bukannya arca hingga membuatkan Doraemon fobia pada tikus. Di hospital, doktor robot secara tidak sengaja membuang terus semua telinganya dan membuatkan Doraemon kesedihan.
Ketika Doraemon duduk di tingkat atas menara sambil kecewa memikirkan kehilangan telinganya, dia cuba membuatkan diri kembali gembira dengan meneguk ubat ceria, tapi sebaliknya meminum ubat kesedihan tanpa disengajakan. Ini menyebabkan dia menangis tanpa henti hingga membuatkan warna kulitnya bertukar daripada kuning ke biru dan suaranya menjadi kasar.
Sewashi kemudiannya menghantar Doraemon ke masa lampau khususnya pada zaman moyangnya, Nobita, bagi membantu lelaki itu memperbaiki kehidupannya.
Selesai dengan sejarah ringkas Doraemon, pengunjung dibawa pula ke pintu Dokodemo, salah satu gajet paling popular dalam siri kartun ini.
Pintu Dokodemo ini mampu membawa sesiapa pun ke destinasi pilihannya tanpa perlu menggunakan pengangkutan darat, laut atau udara.
Penulis pastinya tidak melepaskan peluang melangkahkan kaki melalui pintu ini lalu membawa kami ke ruangan pameran patung Doraemon dalam pelbagai aksi dan bentuk sambil menggayakan gajet kegemarannya.
Di beberapa sudut ruangan ekspo turut disediakan bermacam-macam patung bagi membolehkan pengunjung bergambar bersama antaranya Nobita, Shizuka, Takeshi (atau lebih dikenali Gian atau Giant), Suneo, Dekisugi, Mii chan dan Dorami.
Menurut Pengarah Animation International (M) Sdn Bhd, Steve Chow, ekspo ini diadakan buat pertama kalinya di Asia Tenggara serta ketiga di Asia selepas Taiwan dan Hong Kong.
“Saya sendiri membesar dengan Doraemon dan daripada maklum balas yang kami terima, ramai peminat Doraemon di Malaysia.
“Mereka bukan saja meminati watak atau jalan cerita kartun itu tapi menjangkau sehingga mengumpul memorabilia membabitkan Doraemon dan rakan-rakannya.
“Ekspo ini juga dilihat sebagai salah satu aktiviti keluarga iaitu setiap ahli keluarga dapat melakukan aktiviti bersama-sama tanpa perlu berpecah dalam kumpulan.
“Selain itu, kami cuba paparkan suasana bandar seperti di kawasan kejiranan rumah Nobita dan Doraemon. Dengan cara ini, pengunjung bukan saja rasa seperti berada di dalam komik itu malah berpeluang beraksi dengan gajet yang disediakan,” katanya.
Seberang tambak demi Doraemon
Lantaran minat, Angela Tay berjaya ‘mengheret’ dua teman baiknya merentasi Tambak Johor semata-mata untuk menyaksikan sendiri Ekspo 100 Gajet Rahsia Doraemon di Viva Home pada hari pertama pembukaannya kepada umum, minggu lalu.
Biarpun bukan peminat tegar, Shariffa Naemah, 33, dan Susan Chua, 32, turut teruja kala melihat pelbagai aksi dan aktiviti menarik yang disediakan di ekspo itu.
“Kami asalnya mencari lokasi percutian hujung minggu sebelum Krismas dan sejurus mengetahui adanya ekspo ini, Angela segera mengatur aktiviti perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Ia sama sekali berbeza daripada apa yang saya bayangkan. Biasanya ekspo sesak dan sarat dengan bermacam-macam barangan serta produk hingga menyukarkan pergerakan.
“Tapi di ekspo Doraemon ini, pengunjung bukan saja dapat bergambar dengan selesa tapi boleh berehat di beberapa kawasan yang disediakan,” ujar Shariffa.
Bagi Angela, pengalaman yang dilalui ketika ekspo Doraemon di Taiwan membuatkannya lebih berhati-hati dalam kunjungan kali ini.
“Ketika di Taiwan, kami terpaksa beratur lama dan suasana di dalamnya terlalu padat. Untuk ekspo kali ini di Kuala Lumpur, saya segera membeli tiket dalam talian bagi memudahkan pelan perjalanan kami,” katanya.
Sememangnya Angela, Shariffa dan Susan tidak pulang dengan tangan kosong kerana masing-masing leka membeli barangan memorabilia Doraemon yang turut disediakan di ruang khas ekspo itu.
TRIVIA
Doraemon adalah istilah umum dan antara paling kerap digunakan di Jepun. Akhbar dan media elektronik juga sering membuat rujukan atas nama Doraemon dan poket ajaibnya yang disifatkan sebagai sesuatu alat berkeupayaan untuk memenuhi semua permintaan.
Watak lain dalam siri ini juga kerap menjadi rujukan rancangan televisyen yang mempunyai jalan cerita hampir sama. Beberapa majalah antarabangsa menggunakan analogi bahawa Amerika Syarikat adalah Takeshi dunia sementara Jepun menjadi konconya, si Suneo.
Ahli sumo, Takamisugi digelar ‘Doraemon’ kerana penampilannya yang hampir sama dengan watak itu.