Kembalikan Keremajaan Kulit Anda

Cuaca panas dengan peningkatan suhu sepanjang Ramadan membuatkan kebanyakan kita berasa wajah tidak selesa. Ini kerana perubahan cuaca serta panas yang membahang membuatkan kulit kering, kusam dan kurang bermaya. Ini ditambah pengambilan air yang kurang pada waktu malam serta ketika sahur menyulitkan lagi permasalahan, sekali gus menyebabkan kelembapan kulit hilang sedikit demi sedikit.

Bagi kebanyakan wanita terutama berusia awal 40-an, pelbagai stigma mula menguasai diri. Pada usia ini wanita mula ditandai dengan unsur penuaan seperti kewujudan garis halus dan kedutan wajah. Dengan faktor persekitaran dan gaya hidup kurang sihat, ia turut memberi kesan lantas menyebabkan masalah ini semakin cepat berlaku.

Selagi bergelar wanita, mempunyai wajah ceria, halus dengan kulit lebih anjal dan tegang menjadi keinginan sesiapa saja tanpa mengira usia terutama apabila menjelangnya hari perayaan.

Menurut pakar estetik, Dr Abrizah Ousman daripada Dr Abby Aesthetic Anti Aging Wellness Clinic, pada abad ini kemajuan perubatan estetik dan antipenuaan mula mendapat tempat dalam kalangan wanita terutama mereka yang berusia awal 40-an dan golongan muda.

Ramai yang mula menyedari bukanlah mustahil untuk kekal sihat dan cantik kerana kini, terdapat pelbagai rawatan saintifik tanpa membabitkan pembedahan dijalankan dalam keadaan selamat, antaranya Gentle YAG Laser. Walaupun ia sedikit mahal berbanding urutan wajah secara normal, kesannya sangat memuaskan dan tidak menyebabkan kesakitan.

“Turut diperkenalkan YAG laser bagi meningkatkan keanjalan dan menjadikan kulit lebih tegang dan halus. Ia bukan saja digunakan pada bahagian kulit wajah sebaliknya leher, perut dan tangan,” katanya.

Jelas Dr Abrizah, walaupun ramai beranggapan perkhidmatan laser ini berbahaya kerana sinaran yang dikenakan kepada kulit, sebenarnya ia tidak seperti yang disangkakan. Rasa suam hanya bersifat sementara dan berfungsi merangsang penghasilan kolagen. Ia juga membantu mengurangkan garis halus terus ke dalam kulit tanpa merosakkan lapisan kulit di bahagian paling atas.

Dengan pembaikan secara dalaman, kolagen semula jadi dapat dihasilkan dan memberikan kesan untuk keanjalan dan kesihatan kulit muka yang cantik.

“Tiada kesan sampingan diterima termasuk tanda kemerahan pada kulit malah tiada rasa gatal atau alahan yang menyebabkan kulit sedikit rengsa. Jika ada, ia sangat sedikit dan akan hilang 24 jam selepas rawatan,” katanya.

Selepas melalui rawatan laser ini, untuk kesan lebih ketara beliau menasihatkan wanita menjalani cryofacial menggunakan mesin khas yang akan bertindak merangsang pengeluaran kolagen pada kulit. Sebelum melakukannya wajah dibersihkan sebelum cryofacial dijalankan. Anda akan rasa sejuk sebaik saja mesin disentuh pada kulit.

“Sama seperti Gentle YAG Laser, cryofacial juga tidak mendatangkan kesan sampingan. Ini kerana selepas laser, kulit menjadi sedikit panas atau suam oleh itu cryofacial dapat menstabilkan semula dan memberikan keselesaan pada pelanggan,” katanya.

Jaga kulit ketika Ramadan

Dalam kesibukan dengan tugasan harian sama ada di pejabat mahupun di rumah sering kali wanita lupa untuk membelai wajah. Namun begitu sepanjang Ramadan, rejim penjagaan kulit harus dilakukan sama seperti hari biasa iaitu dengan cara membersih, menyegar dan melembap.

Ini dilakukan bagi membuang sel kulit mati disebabkan kekurangan pengambilan air serta mengembalikan tahap semula jadi mineral kulit dan pengeluaran minyak.
Jelas Dr Abrizah, berpuasa juga menyebabkan kulit kekeringan dan sangat penting anda mencuci wajah supaya kulit kembali segar. Selain itu, pastikan pengambilan air yang mencukupi selepas berbuka puasa.

“Saya mencadangkan supaya ketika waktu berbuka puasa dan bersahur, anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sebagai tambahan kepada pengeluaran air seharian. Ini kerana tubuh manusia hanya menyerap 50 hingga 60 peratus daripada jus buah-buahan dan hanya 20 hingga 30 peratus daripada air berkarbonat. Oleh itu, pengambilan air kosong yang banyak sangat penting bagi menggantikan kehilangan air,” katanya.

Mendapatkan kulit segar dan sihat bukan hanya bergantung kepada pengambilan air saja sebaliknya pemilihan menu makanan sihat juga menjadi penentu kepada kulit yang bersih dan cantik.

Pastikan anda mendapatkan hidangan seimbang mengikut piramid makanan sama ada ketika berbuka atau bersahur. Elakkan makanan berminyak dan berlemak sebaliknya melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Terdapat banyak makanan yang boleh memperbaiki kulit kering seperti badam yang penuh serat sihat, asid lemak dan protein yang akan mengekalkan keindahan kulit. Buah-buahan seperti strawberi dan beri biru juga tinggi antioksidan serta memberi kesan positif ke atas kulit yang sihat. Kurma juga satu sumber antioksidan yang bagus kerana kandungan vitamin A, zat besi, kalium, kalsium dan magnesium di dalamnya menggalakkan kesihatan kulit yang optimum. Begitu juga dengan aprikot yang membantu dalam proses pencernaan,” jelasnya.

Wanita yang sedang dalam haid juga digalakkan mengambil air melebihi lapan gelas setiap hari. Ini kerana dalam keadaan cuaca panas dan berjerebu, ia menyumbang kepada kekeringan kulit. Akibatnya kulit kelihatan kusam dan kasar.

“Untuk mendisiplinkan diri, saya mencadangkan supaya individu mengambil lapan gelas air selepas berbuka puasa mulai jam 8 malam hingga 11 malam diikuti dua gelas lagi ketika bersahur. Dengan cara ini kita mengetahui jumlah air yang berjaya dihabiskan,” katanya.

Bagaimanapun ada juga yang tidak mampu mengambil air kosong sehingga lapan gelas sehari. Mereka boleh menggantikannya dengan pengambilan jus buah-buahan segar seperti epal, oren, tembikai dan lobak merah. Ia bukan saja menghalang sembelit malah menjadikan kulit cantik dan segar.

Tip cantik ketika Ramadan:

1. Untuk mengelak bibir kering, gunakan salap bibir sepanjang masa kerana ia mencegah daripada kulit kering dan pengelupasan kulit bibir.

2. Seminggu sekali manjakan kulit dengan topeng wajah pada waktu malam kerana ia benar-benar menjadikan kulit kelihatan lebih bermaya.

3. Untuk kelembapan berpanjangan, jangan sesekali tinggalkan pelembap kulit terutama pada waktu pagi dan petang.

4. Pastikan anda mengambil makanan tambahan seperti vitamin A, E dan C kerana ketiga-tiga sangat penting dan menjadi asas untuk mendapatkan kulit sihat dan berseri.

5. Walaupun anda berpuasa, senaman jangan dilupa. Lakukan senaman ringkas 10 hingga 15 minit setiap hari selepas waktu berbuka dan anda akan berasa tubuh lebih cergas sepanjang masa.

6. Walaupun ketika Ramadan ramai wanita mengakui mereka tidak cukup tidur, cari masa sesuai untuk mendapatkan rehat mencukupi sekurang-kurang enam jam sehari.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

544 views