Kenali Budaya Jepun

PAVILION KL, destinasi pusat beli-belah terulung di ibu kota, menganjurkan perjalanan pelancongan yang eksklusif di bahagian Tokyo Street di bangunan itu, bagi mengimbau semula kekayaan budaya dan warisan Jepun yang dibawa ke negara ini sejak pelancaran tema berkenaan pada Julai 2011.

Pameran pelancongan berkenaan adalah antara beberapa siri menarik yang disusun rapi di pusat beli-belah itu bagi acara meraikan ulang tahun pertama Tokyo Street.

Pelancongan eksklusif berkenaan mempamerkan persembahan kebudayaan yang unik dan tersendiri di Tokyo Street, iaitu yang pertama seumpamanya dianjurkan di Asia Tenggara.

Ia menawarkan gabungan kebudayaan dinamik dan asli Tokyo Street yang mempunyai paduan kontemporari dan warisan budaya.

Kawasan unik di Pavilion KL itu berjaya menarik pelancong terdiri penduduk tempatan dan warga luar menerusi barisan kedainya yang menarik, kafe serta restoran, sekali gus meletakkan Malaysia pada peta global destinasi pelancongan dunia.

Pengarah Pemasaran Pavilion KL, Kung Suan Ai, berkata dalam usaha pihaknya menyediakan satu pengalaman yang unik dan menyeluruh berkaitan Jepun di pusat beli-belah itu, inti pati kehidupan, budaya dan warisan Jepun yang dinamik ditampilkan penyewa di Tokyo Street.

“Tidak dapat dinafikan, Tokyo Street membawa pengunjung ke dunia budaya dan tradisi Jepun di Malaysia, di samping menawarkan keselesaan seperti di negara asal kepada masyarakat Jepun yang berada di negara ini, di pusat Kuala Lumpur,” katanya.

Bermula sambutan ulang tahun pertama Tokyo Street, pengunjung akan menikmati pelbagai tarikan di pelbagai kedai yang mengambil bahagian, daripada diskaun makanan dan minuman kepada beraksi dalam potret dengan persalinan Yukata atau Harajuku.

Pengunjung juga berpeluang mengambil bahagian dalam tradisi ribuan tahun iaitu menanam pokok bonsai, bermain mesin vendor atau belajar kemahiran seni penyediaan teh Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,060 views