Keracunan Ketika Ramadan

Antara masalah kesihatan sering berlaku ketika bulan Ramadan adalah keracunan makanan. Ia dianggap sinonim setiap kali tiba bulan mulia ini.

Kedatangan pesakit ke jabatan kecemasan dan klinik disebabkan keracunan makanan juga meningkat pada bulan ini. Bakteria dan virus adalah punca utama yang menyebabkan berlaku jangkitan usus.

Ia memasuki badan melalui rongga mulut bersama makanan atau minuman yang tercemar. Di dalam usus pesakit, ia membiak dan bercambah seterusnya merembeskan toksin yang menyebabkan beberapa simptom terjadi.

Pada awalnya pesakit akan mengalami muntah dan loya diikuti sakit perut seolah-olah kekejangan otot perut. Seterusnya pesakit akan mengalami cirit-birit.

Ada kalanya, muntah tidak berlaku, pesakit terus mengalami cirit dan sakit perut. Jika jangkitan tidak terkawal, toksin boleh merebak ke dalam salur darah menyebabkan pesakit mengalami demam dan menyebabkan kekeringan atau dehidrasi.

Kuman boleh membiak atau merebak disebabkan oleh beberapa kesilapan yang berkemungkinan terjadi bermula daripada penyediaan makanan sehingglah ketika pesakit mengambil makanan yang tercemar.

Penyediaan makanan oleh penjual yang tidak menjaga kebersihan ataupun penyediaan makanan terlalu awal menyebabkan banyak masa untuk kuman membiak.

Makanan yang dibiarkan terdedah di bazar Ramadan menyebabkan serangga pembawa seperti lalat hinggap pada makanan dan menyebarkan bakteria atau virus yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Makanan yang dibeli dan tidak dipanaskan semula sebelum dihidangkan ketika berbuka ataupun ketika sahur meletakkan risiko untuk jangkitan. Ini kerana pada suhu bilik, kuman lebih senang membiak.

Jika terdapat tanda keracunan makanan, pesakit hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital mahupun di klnik berdekatan. Ini untuk mengelakkan kuman daripada terus membiak di dalam dan menyebabkan ia semakin sukar dikawal. Selain itu, rawatan awal dapat mengelakkan dehidrasi atau kekeringan berlaku.

Pesakit yang mengalami keracunan makanan sebenarnya boleh terus berpuasa seperti biasa. Ubat boleh diambil ketika sahur dan berbuka.

Akan tetapi, jika cirit-birit berlaku dengan kerap sehingga menyebabkan kelesuan dan juga dehidrasi, pesakit hendaklah mengutamakan keselamatan kesihatan.

Minum air dengan banyak terutamanya minumaman isotonik ketika berbuka dapat mengelakkan dehidrasi berlaku. Pengambilan air 2.5 liter sehari adalah keperluan harian biasa bagi dewasa.

Pastikan pesakit minum air dengan jumlah itu untuk menggantikan cecair badan yang hilang disebabkan oleh cirit-birit berkenaan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

298 views