Kerang Gergasi Nadi Krismas

TANGGAL 25 Disember setiap tahun, penganut agama Kristian akan menyambut perayaan terbesar mereka iaitu Hari Krismas atau juga dikenali sebagai Hari Natal.

Setiap kali perayaan menjelang tiba, rata-rata kedai atau pusat beli-belah akan dihias dengan pelbagai hiasan termasuk pokok Krismas dan lampu indah.

Kehadiran Santa Claus, antara tokoh mitos terkenal yang sering dikaitkan dengan adat memberi hadiah memeriahkan sambutan Hari Krismas.

Hiasan kreatif di pusat beli-belah 1Utama, Damansara tidak pernah gagal memikat pengunjung.

Menurut Pengurus AP 1Utama, Patrick So, idea untuk mewujudkan Krismas musim sejuk berdasarkan kehidupan laut bagi menimbulkan keseronokan bukan saja pada kanak-kanak juga orang dewasa.

“Kami juga membuat persembahan tarian khas bagi mewakili watak hidupan laut yang pasti mempesonakan pengunjung. Dengan kehadiran banyak kedai, kami berharap pembeli akan datang meraikan musim perayaan bersama-sama,” kata Patrick.

Katanya, mengambil inspirasi daripada unsur seni Yunani yang menampilkan pakaian indah dan halus buatannya, ia menunjukkan kisah hidupan di bawah air yang menarik.

Menariknya, suasana pusat beli-belah yang biasa dilihat kosong kini dihiasi tema watak pengembaraan dasar laut. Ia bertambah cantik dengan kehadiran kerang gergasi yang ditampilkan begitu kreatif.

Kulit kerang yang disalut perak ditambah gemerlapan habuk emas manakala warna-warni buih menjadi hiasan unik untuk ditatap pengunjung.

Menggunakan fabrik organza bagi menyerupai rumpai dan lampu yang digunakan seperti ahli sihir di alam laut pasti membuatkan kanak-kanak teruja dengan keunikan hiasan yang dilakukan.

Bagi memberi sentuhan suasana riang perayaan Krismas, butiran mutiara dan manik diletakkan di sekeliling kawasannya selain terdapat kerang kecil dengan lukisan kartun sebagai daya tarikan kepada pengunjung. Nyanyian Krismas diperdengarkan kepada pengunjung bagi merasai keseronokannya.

Selain hiasan yang mengambil ilham daripada hidupan laut itu, pusat beli-belah 1Utama turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Kemeriahannya turut menampilkan kumpulan koir yang menyanyikan lagu perayaan sambil diiringi kumpulan pemuzik bersama pemain alat muzik Jepun, tsugaru-shamise iaitu Chie Hanawa dan biola, Natsumi Okimasu.

Bukan itu saja, kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun turut diberi peluang menyertai pelbagai permainan yang disediakan.

Lebih istimewa, pada 26 Disember ini, pusat berkenaan mengadakan jualan hasil ladang, makanan segar, tumbuh-tumbuhan dan sayuran organik yang dijual terus oleh pembekal bermula jam 8 hingga 11 pagi.

Taman Tema Berjaya Times Square, Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan memeriahkan musim perayaan ini. Kehadiran pokok Krismas setinggi 12 meter (40 kaki) yang dihias lampu dan reben di pintu masuk utamanya pasti membuatkan pengunjung teruja untuk melihat lebih dekat lagi.

Turut diselitkan patung watak Profesor Cosmo, Oorts, Ginger Breadman dan rusa Rudolph dijadikan hiasan bagi menghidupkan suasana sebenar perayaan itu. Pada masa sama, ia juga memperkenalkan koleksi dan permainan kanak-kanak sebagai interaksi kreatif kepada mereka.

Bukan itu saja, terdapat pelbagai jenis kedai cenderahati bagi yang gemarkan hadiah menarik di SJ atau Magicclub untuk mendapatkan label ahli silap mata dengan segera.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,330 views