Kerjasama Dengan Kosmetik Antarabangsa

Menunggu hampir empat jam bagaikan tidak terasa lantaran keterujaan bertemu buat kali pertama penyanyi lagu Umbrella serta penghibur bertaraf antarabangsa ini.

Malah, menurut sumber yang turut bersama pada petang itu, Rihanna tidak dapat hadir mengikut masa ditetapkan lantaran peminat fanatik terlalu ramai menunggu di luar hotel sehingga pihak keselamatan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga.

Akhirnya tepat jam 7 malam, daripada sebuah kumpulan kecil, media terpaksa bergabung supaya temuramah tidak mengambil masa yang panjang.

Walaupun keletihan kerana dua malam berturut-turut mengadakan konsert Diamond World Tour di Macau, ternyata gadis kelahiran Saint Michael, Barbados ini begitu ceria menyambut kedatangan kami.

Tampil ringkas dengan padanan blaus rekaan Proenza Schouler menampakkan bahagian pinggang yang langsing dipadankan skirt putih Versace dan sepatu Manolo Blahnik, penyanyi berusia 25 tahun ini tampak lebih anggun berbanding penampilan di kaca televisyen mahupun media cetak.

Solekan ringkas mengenakan produk MAC Cosmetics seakan ‘kena’ sama ada pada pakaian mahupun dandanan rambut. Ternyata dia tahu cara menata gaya supaya nampak sempurna dan berada dalam kelas tersendiri.

Walaupun soalan silih berganti diajukan padanya, Rihanna tampil tenang dan bersahaja menjawab semua pertanyaan. Nampak riak keceriaan pada wajah yang diselang-selikan dengan tawa riang mungkin kerana tiada soalan kontroversi kerana semuanya berkaitan kecantikan, solekan dan penampilan yang memang menjadi topik kegemarannya.

Ketika diajukan mengenai kolaborasi antara MAC Cosmetics dengan dirinya, jelas Rihanna, ia satu proses yang sangat menyeronokkan kerana dia sudah menjadi pengguna MAC sejak sekian lama, jadi tawaran ini sangat berharga.

“Saya seperti tidak percaya kerana berpeluang bekerja dengan produk kosmetik hebat dan gah ini. Secara jujurnya, saya sangat teruja dan tidak sabar meneruskan perancangan yang diatur selepas ini,” katanya.

Sebagai rakan kreatif, Rihanna bukan sekadar memilih nama pada kosmetik, sebaliknya turut bersama-sama merancang, memilih warna, bentuk serta bekas alat solek. Pengalaman yang sangat indah ini membuatkan dia merasakan ia satu kerja menakjubkan berbeza dengan apa yang dilaluinya sebagai penyanyi. Malah, wanita ini sentiasa menantikan peluang untuk kerjasama seterusnya selain mendapatkan maklum balas peminat.

“Sebagai jenama tersohor MAC tentunya tidak mengambil risiko bekerjasama dengan saya kerana kami berada di landasan yang betul. Ia ibarat perkahwinan kerana kedua-duanya perlu ada persefahaman. Ini kerana sejak dulu saya suka mengambil risiko dalam apa juga dilakukan. Menerusi fesyen, solekan, muzik dan persembahan pentas saya tidak takut menunjukkan pandangan dan aspirasi saya kepada peminat,” katanya.

Tampil menawan menggunakan bekas keemasan untuk koleksi musim luruh, RiRi Hearts MAC memperkenalkan barisan rona pembayang mata bertemakan metalik seperti coklat, perak, perang dan kelabu, bibir dengan rona gelap dan dramatik RiRi Woo manakala pemerah pipi dipadankan dengan merah jambu serta warna asas coklat krim.

“Sebenarnya saya penggemar warna gelap bukan saja pada pembayang mata tetapi bibir. Sebab itu untuk tema musim luruh, kami memikirkan konsep yang lain daripada kebiasaan agar ia diingati semua. Untuk itu lahirlah gincu merah gelap serta pembayang mata metalik yang hasilnya lebih dramatik dan nampak terkini,” katanya.

Selain mempunyai jurusolek peribadi, dia yang berbakat bersolek sendiri mengakui menggemari bahagian bibir kerana menonjolkan penampilan berbeza sekiranya bijak memilih warna. Malah, anak sulung tiga beradik ini sangat obses pada gincu dan berani mencuba sebarang warna.

“Selain warna, tekstur menjadi keutamaan ketika memilih gincu. Kebanyakan gincu saya daripada jenis matte tetapi untuk koleksi ini saya sukakan gincu Who’s That Chick warna jingga kerana lain daripada yang lain. Memang impian saya menghasilkan gincu yang boleh dipakai sepanjang masa dan RiRi Woo menjadikan angan-angan saya satu kenyataan,” katanya yang mengakui tinggal di kepulauan Caribbean turut mempengaruhi pemilihan solekan.

Sebab itu, dia gemar pada warna panas bagi menampakkan kulit bercahaya dan berkilat serta gincu terang gambaran gadis dari barat India.

Akui Rihanna, sejak remaja dia sudah mengenakan solekan yang dianggap sebagai superhero dan perlu dibawa ke mana saja. Walaupun turut menggemari gaya semula jadi tanpa sebarang solekan, dengan hanya gincu dan pembayang mata mampu meningkatkan keyakinan diri selain memberi peluang tubuh menunjukkan reaksi selesa dan gembira.

Jaga wajah dan fesyen

Tanpa mengamalkan sebarang rejim penjagaan wajah, gadis berkulit gelap ini memastikan untuk mencuci wajah dua kali sehari dan memakai pelembap supaya kulit lebih segar. Memiliki jenis kulit kombinasi, Rihanna tidak mempunyai sebarang masalah kulit. Apa yang sering dipastikan, solekan mampu membuatkan penampilan lebih segar, anggun dan eksotik.

Dengan ketinggian 173 sentimeter dan berat 57 kilogram, penggemar makanan Jepun terutama sushi ini seorang yang mementingkan kesihatan menerusi amalan makanan sihat, bersenam serta banyak minum air suam.

Baginya, penting memastikan tubuh sentiasa sihat dan ceria kerana ia akan memberi kekuatan dan semangat untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh.

“Walaupun setiap hari sibuk dengan pertunjukan pentas, berulang-alik dari satu negara ke negara lain bagi menjayakan konsert, saya dapat rasakan dua jam di pentas sangat berharga. Ini kerana menerusi tarian dan nyanyian, semua anggota badan bergerak jadi sudah pasti ia baik untuk kesihatan. Jika tiada acara membabitkan kegiatan seni, saya suka menonton drama atau filem di rumah bersama kawan-kawan. Kadang-kadang kami boleh berbual dan ketawa sepanjang hari dan ia saat paling indah dan paling ditunggu-tunggu,” ujarnya yang suka menonton filem aksi.

Bercerita mengenai fesyen, setiap kali menghadiri acara besar seperti majlis anugerah atau konsert, gayanya sering ditunggu-tunggu dan menjadi ikutan remaja.

Menggemari rekaan Riccardo Tisci untuk Givenchy, Raf Simons, Christian Dior dan pereka pakaian peribadi, Adam Selman, penyanyi yang memenangi lagu duo dan rap terbaik menerusi Anugerah Grammy ini menggemari gaya feminin ketika menghadiri acara serta kasual ketika bersantai.

Paling penting, pakaian harus menonjolkan kakinya yang langsing dan cantik. Mengambil inspirasi daripada peminat yang begitu kuat menyokong kerjaya seni sejak dulu hingga kini, Rihanna yang menerima gelaran 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time diramalkan akan terus mencipta kecemerlangan dan menguasai pentas antarabangsa untuk beberapa tahun mendatang.

Bagi peminat MAC Cosmetics, RiRi Hearts MAC kini berada di pasaran bermula Oktober ini di semua kaunter MAC seluruh negara. Harga di antara RM55 sehingga RM180 termasuk rangkaian pembayang mata, gincu, pengilat bibir, pensel bibir, celak, pemerah pipi, bulu mata, maskara dan berus.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

474 views