Kesan Lebih Dramatik
Bagi mak andam atau jurumekap, pelbagai aspek diambil kira bagi memastikan pengantin kelihatan menyerlah berbanding hari biasa.
Bentuk wajah pengantin, tema majlis dan pastinya warna kulit menjadi keutamaan dalam menyerlahkan keanggunan raja sehari.
Namun, tanpa penggunaan teknik mekap yang betul, hasil solekan pasti tidak menarik malah mungkin kelihatan kusam tidak bermaya.
Perkara asas perlu dilakukan untuk memastikan mekap mampu diadun sempurna pada wajah adalah memastikan proses membersih, menyegar serta melembap dilakukan sempurna sebelum memulakan pemakaian mekap.
Bagi mendapatkan kesan solekan lebih dramatik, ikuti panduan berikut:
Mata
Pilih penggaris mata dengan warna semula jadi seperti coklat gelap atau kelabu agar mata kelihatan tidak begitu garang berbanding penggunaan penggaris mata hitam.
Letak secara nipis di atas dan di bawah garis mata jika ingin menghasilkan gaya mekap semula jadi.
Untuk solekan waktu malam, sebaiknya warna digunakan lebih cerah dan terang.
Pembayang mata
Bagi mereka yang memiliki lingkaran gelap bawah mata, gunakan penyamar cela untuk menyembunyikan kesan gelap.
Ia diletakkan di bahagian bawah mata bermula dari bahagian bawah tempat keluar air mata hingga ke penghujung mata.
Selain itu, jika memiliki mata sembab, seboleh-bolehnya tidak menggunakan mekap pada mata secara berlebihan. Cukup dengan olesan pembayang dan penggaris mata secara nipis. Ia boleh mengurangkan tumpuan pada mata yang sembab.
Kening
Kening yang tidak terjaga akan memburukkan penampilan. Jangan sesekali mencukur kening secara keseluruhan atau menjadikannya terlalu nipis kerana ia menyukarkan pembentukan kening secara semula jadi.
Penting untuk memastikan bahagian titik tumpu pada wajah kelihatan lebih semula jadi.
Mulut
Bagi mereka yang memiliki bibir nipis, gariskan bibir menggunakan penggaris bibir dan besarkan sedikit bahagian bawah untuk mendapatkan kesan bibir penuh.
Kemudian oleskan gincu atau pengilat bibir di bahagian tengah bibir bawah. Jangan gariskan penggaris bibir terlalu jauh dari garis bibir.
Untuk dapatkan kesan tahan lama, warnakan bibir dengan penggaris bibir kemudian lapiskan gincu. Ia bertindak seperti gam bagi memastikan gincu tidak mudah pudar.
Pipi
Jika memiliki tulang pipi yang timbul, gunakan kelebihan yang ada dengan memberi keutamaan kepada bahagian terbabit.
Pilih warna pic (kuning kemerahan) bagi kulit cerah dan merah jambu kusam untuk kulit gelap dan gunakan berus besar untuk meratakan pemerah pipi supaya sapuan lebih sekata.
Sapuan perlu dibuat secara menyerong dari bahagian tulang pipi menghala ke mulut, bukan sebaliknya agar dapat menyerlahkan tulang pipi.