Kesedaran HIV, Aids Di Kelantan
KEBANYAKAN orang beranggapan mereka tahu mengenai jangkitan virus HIV dan Aids, tetapi apabila berhadapan soalan kuiz, ramai yang teragak-agak memberikan jawapan. Walaupun tahu ada rawatan tetapi ramai tidak pasti apakah rawatan yang diberikan dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan individu HIV dan Aids.
Justeru, program kesedaran HIV dan Aids yang bertema ‘Bermula Dengan Anda’ diadakan di Kota Bharu, Kelantan, sempena Hari Aids Sedunia 2011.
Ada yang bertanya mengapa memilih Kelantan? Jawapannya, mengapa tidak? Ilmu mengenai penjagaan kesihatan perlu disebarkan kepada semua orang terutama yang jauh daripada pembangunan dan sumber maklumat.
Apatah lagi berdasarkan statistik HIV dan Aids 2010 yang dikeluarkan Unit Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Malaysia, ada peningkatan kes HIV baru sebanyak 3,652 pada 2010 berbanding 3,652 (2009).
Apa yang menyedihkan semakin ramai orang dijangkiti HIV melalui hubungan seksual walaupun kaedah penularan virus berbahaya ini sudah berulang kali dicanangkan.
Selain itu, data mengenai jumlah kematian akibat HIV dan Aids pada tahun lalu yang mencatatkan 904 orang dengan angka tertinggi di Kelantan sebanyak 156 kes diikuti Selangor sebanyak 144 kes, Perlis (11), Kedah (55) Pulau Pinang (21), Perak (73), Kuala Lumpur (57), Negeri Sembilan (33), Melaka (29), Johor (94), Pahang (96), Terengganu (71), Sarawak (39), dan Sabah (25) perlu diberi perhatian.
Oleh kerana catatan kes HIV dan Aids di Kelantan yang semakin tinggi, maka Inisiatif Kota Bharu bagi program kesedaran HIV dan Aids – Bermula Dengan Anda anjuran bersama syarikat penjagaan kesihatan MSD dan Persatuan Perubatan HIV (MaSHM) memang tepat pada masanya.
Menurut Presiden MaSHM, Dr Mahiran Mustafa, dalam tempoh 25 tahun (1986 hingga 2010) sebanyak 91,362 kes HIV positif dilaporkan dan daripada jumlah ini, 12, 943 nyawa sudah terkorban. Meskipun rawatan HIV kini lebih mudah didapati tetapi bilangan individu HIV positif terus meningkat.
“Ini menandakan pendidikan sangat perlu, baik daripada peringkat masyarakat mahupun pakar kesihatan. Pakar kesihatan juga perlu mempunyai perspektif yang betul dengan memahami sepenuhnya kesan sosial dan kesihatan bagi individu yang hidup dengan HIV supaya mereka diberi penjagaan sewajarnya tanpa sebarang prejudis.
“Salah satu sebab utama kami ingin menimbulkan kesedaran mengenai HIV dan Aids di Kelantan ialah kerana ia antara negeri yang mencatatkan kadar jangkitan HIV baru tertinggi. Menurut angka Kementerian Kesihatan, di Kelantan ada 9,891 pesakit HIV positif pada hujung Disember 2009 dan ini adalah perkembangan yang membimbangkan.
“Kami menyaksikan gerak balas positif di Lembah Klang sepanjang tempoh enam tahun lalu sejak program ini dilancarkan. Kali ini kami ingin melihat kesan Inisiatif Kota Bharu ini dalam mengubah kehidupan, mencabar pandangan dan yang lebih penting lagi, menanamkan benih komitmen dalam kalangan doktor dan pakar kesihatan masa depan di Kota Bharu,” katanya.
Inisiatif Kota Bharu ini merangkumi program seperti lawatan sambil belajar ke rumah perlindungan dan pusat sokongan oleh pelajar perubatan, kejururawatan dan farmasi yang dianjurkan Prihatin dan Sahabat. Ia juga menyelitkan acara awam di Kota Bharu Mall untuk menimbulkan kesedaran mengenai HIV dan Aids.
Antara acara menarik program Bermula dengan Anda di Kota Bharu Mall termasuk kuiz HIV bagi meningkatkan pemahaman orang awam mengenai penyakit ini, papan kenyataan untuk menyiarkan aku janji awam sebagai menyokong matlamat program. Turut diadakan, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan dikir barat dan wayang kulit yang semuanya bertemakan HIV.
Bermula Dengan Anda mula dianjurkan pada 2005 untuk isu menangani nisbah doktor kepada pesakit HIV yang rendah, dengan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar perubatan mengenai keperluan membanyakkan bilangan perawat HIV dan Aids.
Program ini juga bermatlamat menangani stigma dan pandangan negatif yang bukan saja membelenggu kehidupan individu HIV dan Aids malah tanpa disedari sikap masyarakat yang secara tidak langsung memulaukan mereka sebenarnya perlahan-lahan boleh ‘membunuh’ golongan ini.
Malah program ini juga sentiasa mempelawa sumber dan kepakaran daripada organisasi rakan kongsi untuk menangani isu ini dan memberi kesan yang positif terhadap kehidupan golongan yang hidup dengan HIV.
Inisiatif penganjuran sebelum ini meliputi pembabitan pelajar perubatan daripada beberapa universiti, antaranya Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.