Ketabahan Pesakit Kanser

TIDAK pernah terlintas di fikiran bahawa Allah masih memberinya peluang untuk terus bernafas dan menikmati segala keindahan ciptaannya.

Ini kerana, sejak disahkan menghidap kanser pangkal hidung dan tekak (NPC) pada awal 2007 lalu, kehidupan ini baginya sudah tidak mempunyai erti lagi.

Namun, demi tiga anak perempuannya dan keluarga, Latipah Abd Samad, 46, tetap tabah mengharungi liku-liku cabaran yang diberi dan ditetapkan Allah.

“Pada awal 2007, saya menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Hasil pemeriksaan awal, doktor mendapati ada ketumbuhan berukuran 0.5 sentimeter di antara pangkal hidung dan tekak.

“Selang beberapa minggu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser pangkal hidung dan tekak (NPC) di tahap ketiga.

“Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Sukar bagi saya menerima keputusan itu kerana selama hidup di muka bumi ini, tidak pernah terbayang sekali pun saya salah seorang yang akan terpilih untuk menghadapi cabaran dan dugaan sebesar ini,” katanya.

Selepas banyak berdoa, berfikir dan berbekalkan nasihat rakan-rakan, adik-beradik serta ibu bapa, Latipah reda menerima kenyataan itu dan bersedia untuk menjalani rawatan yang disyorkan doktor pakar.

Selama hampir setahun ibu tunggal ini berulang-alik dari Mersing ke Johor Bahru untuk melakukan rawatan kemoterapi yang dijadualkan sebanyak enam pusingan, tetapi dia hanya mampu menjalani tiga pusingan saja akibat kekangan wang. Begitu pun dia tetap bersyukur, dia percaya setiap kejadian itu ada rahmat di sebaliknya.

“Ada masanya, saya terpaksa tinggal di wad dalam jangka masa yang agak lama untuk menerima rawatan kemoterapi. Namun, dengan berkat doa dan semangat yang diberikan oleh keluarga dan rakan-rakan, tempoh sukar itu dapat dilalui.

“Bayangkanlah, sebelum rawatan berat badan saya adalah 83 kilogram (kg) tetapi selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi, berat badan saya susut sehingga 58kg,” katanya yang kini bertugas sebagai penyelia di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Mersing.

Bukan mudah bagi ibu tunggal sepertinya untuk menghadapi dan mengharungi kehidupan seperti itu. Terlalu banyak masalah dan keperitan yang perlu dilaluinya sepanjang menerima rawatan berkenaan.

Lebih-lebih lagi, dia mempunyai tiga anak perempuan yang masih bersekolah dan memerlukan perhatian selepas pemergian suami tercinta, Zakaria Rabun.

Pendapatannya yang hanya RM700 sebulan pada ketika itu memang tidak cukup untuk menampung kos rawatan, perjalanan pergi dan balik dari Mersing ke Kuala Lumpur serta wang perbelanjaan sekolah anak-anak.

“Lebih menyedihkan lagi apabila saya dikehendaki membayar semula gaji bernilai hampir RM3,000 disebabkan mengambil cuti berlebihan untuk menjalani rawatan di hospital.

“Saya juga tidak dapat menghabiskan rawatan kemoterapi yang berbaki tiga pusingan lagi sebab tidak sanggup berhenti kerja. Saya perlu mengutamakan keperluan dan perbelanjaan keluarga. Dalam kesempitan begini, keperluan diri sendiri terpaksa ditolak tepi.

“Akibatnya pada pertengahan 2009, sekali lagi saya disahkan mempunyai satu ketumbuhan kanser baru di bahagian belakang mata sebelah kiri. Pada mulanya saya tidak pasti apa yang berlaku kerana ketumbuhan ini terlalu aktif dan cepat membesar,” katanya yang tinggal di KM 6.4, Kampung Tenglu Laut, Mersing, Johor.

Kesakitan yang dialami di bahagian kepala dan matanya itu juga menyebabkan beliau mengalami demam panas teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad.

Seperti sebelum ini, rawatan kemoterapi sebanyak enam pusingan menjadi penawar setianya dan ditambah pula dengan rawatan radioterapi sebanyak 20 kali.

Ekoran daripada itu, saraf mata sebelah kirinya disahkan mati dan tidak boleh berfungsi seperti sedia kala. Hakikat itu nyata memberi tamparan hebat terhadap dirinya.

“Saya kehilangan penglihatan sebelah mata dan menurut doktor juga, kanser saya sudah mencapai ke tahap empat. Justeru itu, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan memikirkan semua perkara lampau dan yang akan dilalui kelak.

“Selain itu, saya juga banyak berdoa dan memohon kepada Tuhan agar memberi ketabahan dalam menjalani ranjau kehidupan ini.

“Alhamdulillah, satu kesedaran timbul di dalam diri saya bahawa sepanjang pahit getir bergelut dengan penyakit ini, ia sebenarnya mengandungi beribu pengajaran bagi membantu saya menghadapi kehidupan seterusnya.

Selepas selesai menjalani rawatan, Latipah sekali lagi melakukan ujian imbasan CT dan hasilnya sekali lagi memeranjatkan dirinya apabila doktor mengesahkan masih ada ketumbuhan kecil yang perlu diberi rawatan selanjutnya.

Sudah kering air mata mengenangkan nasib diri tetapi demi anak-anak, dia kuatkan semangat dan meneruskan rawatan kemoterapi yang berakhir pada 13 Jun 2011 lalu. Latipah tahu, dia tidak boleh cepat mengalah. Dia perlu kuat untuk melawan penyakit berkenaan dan berserah kepada Allah.

Baginya, walau apa pun yang terjadi, dia reda dan akan sentiasa berusaha mencari rawatan alternatif selagi ianya tidak terpesong daripada landasan Islam.

Benarlah, setiap ujian itu ada rahmat yang tersembunyi. Contohnya, kanser yang dihidapinya itu mengubah dia menjadi wanita yang lebih tabah dan terbuka hati untuk bergiat aktif sebagai sukarelawan Majlis Kanser Nasional (Makna).

“Saya mengenali Makna ketika menjalani rawatan radioterapi orbit di HSI pada 23 Jun hingga 22 Julai 2010. Ketika itu saya tinggal di rumah Perantaraan Makna di Johor Bahru.

“Di rumah inilah bermulanya kehidupan saya sebagai seorang sukarelawan Makna yang dilakukan sehingga ke hari ini. Saya berasa cukup gembira apabila berpeluang memberi khidmat nasihat dan membantu rakan-rakan lain yang memerlukan bantuan bukan saja dari aspek kewangan malah semangat.

“Kami berkongsi kisah hidup. Setiap orang ada perjalanan berbeza yang sedikit sebanyak mampu menguatkan semangat pesakit lain. Selain bertukar-tukar pengalaman, kami berusaha memberi kesedaran awal kepada orang ramai terutamanya kepada pesakit kanser di seluruh negara,” katanya.

Kesungguhannya itulah yang melayakkan Latipah menerima Anugerah Kepimpinan Sukarelawan daripada Makna tahun lalu. Kegembiraannya bertambah apabila ketiga-tiga anaknya dapat pendidikan sempurna walaupun terpaksa menghadapi pelbagai tekanan.

Kini anak sulungnya, Ezzati Amalina, 20, menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Kejururawatan di Kolej Antarabangsa Winfield, Kuala Lumpur; adiknya, Aina Suhailah, 19, pula sedang menuntut di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Semambu, Kuantan, Pahang manakala anak bongsunya, Ummi Nasuha, 15, masih lagi belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

3,144 views