Keunikan Kebaya, Kurung Riau Kain Kapas

JIKA dulu pakaian tradisi hanya digayakan pada musim perayaan tetapi kini dengan rekaan serta perincian moden, busana yang memiliki nilai estetika ini boleh digayakan sama ada ke majlis rasmi atau kasual.

Ini kerana sifat busana itu sendiri terutama dari segi potongan yang dipermodenkan seperti tambahan perincian manik pada bahagian tertentu menjadikannya tampak anggun dan hebat apabila dipakai.

Ini boleh dilihat menerusi potongan kebaya dan kurung Riau pada fabrik kapas dan songket menjadikannya tampil eksklusif dan ada kelas tersendiri.

Menurut pemilik Zaida’s Collection, Zaida Abdul Aziz, kini wanita bukan saja mencari busana untuk pakaian pada musim perayaan tetapi boleh disarungkan ke tempat kerja.

Ia harus memiliki ciri sederhana, selesa dipakai serta tidak terlalu sarat dengan manik dan batu permata. Bagi menjanjikan keselesaan kepada si pemakai, pemilihan fabrik kapas sangat sesuai kerana tidak terlalu lembut dan beralun seperti sutera dan satin.

“Jadi apabila dipakai ia tampak selesa dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Lebih istimewa padanan ini menampakkan ciri eksklusif kerana corak ditampilkan tidak terlalu mewah dan nampak unik,” jelasnya.

Menurut Zaida, apa yang menjadikan helaian tampil istimewa ialah potongan yang berbeza berbanding baju kurung biasa. Baju kurung Riau memiliki pesak kembang yang disambung pada kekek gantung. Namun tidak semua baju kurung sesuai dengan pesak dan kekek jenis berkenaan kerana ia hanya sesuai untuk baju kurung Riau.

Selain itu, bagi penggemar baju kurung, Zaida’s Collection menyediakan padanan kurung moden dengan tambahan ropol pada bahagian bawah baju dan hujung lengan. Ini menjadikan setiap helaian tampil comel dan berbeza berbanding baju kurung sedia ada di pasaran.

“Setiap padanan didatangkan dalam pelbagai warna dan corak. Baju kurung ini menjadi kegemaran pelanggan kerana sesuai dipakai ke pejabat serta menghadiri majlis perayaan,” katanya.

Kebanyakan busana didatangkan dalam rona ceria dan terang seperti hijau, merah, biru dan kuning yang sentiasa diminati. Malah gabungan padanan panel corak abstrak serta bunga-bungaan ternyata menjadi tumpuan ramai serta pilihan sepanjang zaman.

“Untuk lebih bergaya, pakaian bercorak dihiasi manik serta sulaman menjadikan rekaan anggun digayakan bersama selendang manakala wanita bertudung boleh memilih selendang polos atau tudung bersengkuap untuk tampil eksklusif,” katanya.

Pada 2013 ini, ramai yang masih menggemari rekaan baju kurung ringkas serta berwarna-warni. Selain itu Zaida’s Collection turut menampilkan baju kurung waka-waka dengan sedikit kembang pada bahagian bawah. Potongan sebegini sebagai memenuhi cita rasa wanita berbadan besar namun mereka yang langsing juga anggun menggayakannya.

Setiap padanan boleh didapati pada harga RM329 ke bawah. Selain baju kurung Riau, moden dan waka-waka, jenama terbabit menyediakan selendang, tudung sedia dipakai, baju kanak-kanak, baju Melayu serta kasual tanpa mengira peringkat usia.

Selain cawangan di Bangi Utama Shopping Complex (Warta) Bandar Baru Bangi, Zaida’s Collection juga boleh didapati di Tesco Seremban 2 serta rangkaian terbesar di Seri Bangi.

Terima kasih:

Butik Zaida’s Collection

No 23A 25 Jalan 8/35 Taman Seri Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,316 views