Khidmat Bahaya Sepanjang Masa
Serangan kumpulan pejuang pemisah penduduk tempatan memanggilnya ‘pergerakan’ mula tercetus sejak beberapa bulan lalu. Tembak menembak dan letupan bom yang tidak berkesudahan menandakan perjalanan menuju kepada perdamaian dengan kerajaan Thailand masih jauh.
Sebahagian besar umat Islam yang berada di selatan bangga dengan budaya, bahasa dan agama mereka yang memisahkan penduduk minoriti ini daripada penganut Buddha di Thailand.
Berlandaskan kepada kepercayaan dan kesedaran sivik, menguatkan semangat sukarelawan untuk memperuntukkan 24 jam seminggu bagi kerja kebajikan, bersolat, minum petang bersama dan berkongsi cerita lucu ketika berada di kem sehinggalah walkie-talkie di depan mereka berbunyi, membawakan berita cemas.
“Pekerjaan ini agak berbahaya, tetapi kami tidak kisah, kami bekerja dengan ikhlas. Kami percaya Tuhan akan melindungi kami,” kata Abdul Rahman Kalong, salah seorang sukarelawan dalam kumpulan seramai 65 orang itu.
Menurut sukarelawan, mereka tidak memihak kepada mana-mana parti dan melayan semua orang dengan sama rata.
Sukarelawan penyelamat itu bekerja di bawah persetujuan termaklum atau kebenaran daripada pihak militan, tetapi mereka masih berhadapan pelbagai risiko, khususnya apabila pejuang pemisah itu selalu mengumpan anggota keselamatan untuk melakukan serangan hendap dengan menembak atau meletupkan bom kecil sebelum menggunakan senjata lebih berkuasa.
Pasukan sukarelawan itu berkata, setakat ini mereka bertuah kerana terselamat daripada sebarang kecederaan teruk, walaupun terpaksa mencari tempat berlindung untuk mengelak daripada menjadi mangsa peluru yang berterbangan di sekeliling mereka.
Menurut Abdul Rahman, kumpulan sukarelawan itu yang dilatih untuk memberikan pertolongan cemas boleh memberikan lebih banyak bantuan dengan adanya kemahiran berkenaan dan kenderaan pacuan empat roda untuk pergi ke tempat terpencil khususnya pada musim hujan.
“Nabi Muhammad bersabda jika anda mahu masyarakat jadi baik, anda perlu mulakan dulu dan inilah yang kami lakukan. Harapnya dengan bekerjasama masyarakat, ia akan membantu kita mencapai keamanan,” katanya. Pun begitu, harapannya mungkin masih terlalu tinggi untuk dicapai.
Selepas beberapa jam wartawan melawat tempat itu, seorang peniaga Islam ditembak, dipenggal dan badannya dibakar di dalam lori pikapnya.
Walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab, pejuang pemisah sudahpun menjatuhkan hukuman mati ke atas beberapa orang yang disyaki menjadi sekutu kerajaan.
Sepuluh kilometer di utara daerah Raman, tiga sukarelawan Yayasan Hilal Ahmad daripada kumpulan berbeza berbual-bual dengan askar di mana berlakunya letupan bom yang mengorbankan lima anggota polis, Julai lalu.
Kawah atau lubang sepanjang satu meter menjadi tanda penting kerana di situlah pejuang pemisah meletupkan 50 kilogram bom gas balang. Beratus-ratus bebola logam diikat pada balang gas berkenaan yang dicampakkan ke jalan raya.
Askar yang ditugaskan di situ sentiasa dalam keadaan berwaspada dan mengacukan senapang M16 mereka sebagai persediaan jika berlakunya serang hendap.
Sukarelawan Mohammadarafat Jehama berkata, dia menerima panggilan kecemasan pada waktu Subuh dan yang pertama sampai ke tempat kejadian selepas serangan.
Luluh hatinya melihat mayat bergelimpangan dan bertaburan di jalan dan berhempas-pulas menghentikan pendarahan pada luka seorang anggota polis ketika menunggu bantuan ketenteraan sampai 20 minit kemudian.
Dengan persefahaman perdamaian yang masih samar-samar, sukarelawan berusia 25 tahun itu berkata, mereka mungkin akan menyaksikan lebih banyak kejadian menyedihkan. Pun begitu, dia tetap optimis dan berpandangan positif.
“Ini negara saya, di sinilah rumah saya. Saya tidak ada rumah di tempat lain.
Saya tidak tahu bila pembunuhan ini akan berhenti, tetapi saya akan terus berbakti selagi diperlukan,” katanya. – AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/25