Khidmat Ibu Tumpang Di AS

Selama beberapa dekad, China menjadi destinasi tumpuan bagi rakyat Amerika yang mahu mendapatkan anak angkat, tetapi keadaan kini sudah terbalik kerana penduduk negara tembok besar itu kini pula yang ‘merentasi’ Lautan Pasifik untuk mempunyai anak melalui kaedah ibu tumpang.

Selepas menghidap kanser dan disahkan tidak boleh mengandung, seorang wanita China berumur lewat 30-an yang meminta identitinya dirahsiakan mengambil keputusan untuk mencari anak angkat di Amerika Syarikat (AS).

Walaupun dia masih mempunyai telur yang boleh disenyawakan, tetapi pilihannya amat terhad, apatah lagi kaedah ibu tumpang diharamkan di China. Jadi dia dan suaminya terpaksa melihat prospek yang lebih luas dan jauh dengan memilih AS sebagai destinasi pencarian anak.

Namun pencarian itu berbaloi. Selepas pergi ke Los Angeles tahun lalu untuk memindahkan telurnya dan sperma suami, mereka menuju ke Tennessee pula bagi menyelesaikan semua urusan berkaitan kelahiran, kini dia dan suaminya boleh tersenyum bangga kerana mempunyai anak kembar berusia 10 bulan yang diperoleh dengan kos RM480,000!

“Saya mahu semua urusan dilakukan secara sah. Memang ada banyak klinik kesuburan di China yang beroperasi secara sembunyi-sembunyi, tetapi kami tidak percaya pada doktor di sini,” katanya.

Memang kos yang ditanggung pasangan ini amat mahal. Ia bersamaan 34 kali ganda pendapatan golongan pertengahan bandar di China dan dengan kos setinggi itu, hanya orang kaya saja yang mampu mengambil anak angkat melalui kaedah ibu tumpang dari luar negara.

Sebanyak 12 agensi ibu tumpang di AS yang dihubungi berkata, mereka melihat peningkatan pelanggan dari China yang ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Agensi Surrogacy Solutions di Encino, California pula sudah mengorak satu langkah ke hadapan dengan menterjemahkan borang kontrak dalam bahasa China. Malah, mereka juga bekerjasama dengan konsultan yang fasih bertutur bahasa Mandarin untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan.

“Satu pertiga daripada pelanggan kami adalah warga China,” kata presidennya, Kathryn Kaycoff-Manos, sambil menjelaskan ia satu peningkatan yang membanggakan kerana tiga tahun lalu mereka tidak mempunyai pelanggan dari negara tembok besar itu.

“Jumlahnya memang banyak. Setiap hari kami menerima panggilan yang mahu mendapatkan khidmat ibu tumpang,” sambungnya.

Stuart Bell, pemilik bersama Growing Generations yang beribu pejabat di Los Angeles antara agensi ibu tumpang terbesar di dunia memasukkan Beijing dan Shanghai dalam atur cara lawatannya ke Asia pada September ini untuk bertemu dengan 20 bakal pelanggan.

“Nampaknya China kini berhadapan dengan masalah kesuburan,” katanya.

Ada masalah kesuburan

Persatuan Kesuburan China menganggarkan 40 juta penduduk negara itu tidak subur atau satu dalam lapan orang, empat kali ganda berbanding 20 tahun lalu.

Akhbar Shanghai Post melaporkan, dua pertiga daripada air mani yang disimpan di bank sperma di Shanghai gagal memenuhi standard Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Pakar kesuburan memberitahu pencemaran teruk di China menjadi faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu.

Agensi AS memberitahu, kira-kira 60 hingga 70 peratus pelanggan China yang mendapatkan perkhidmatan ibu tumpang di luar negara bukan saja mengalami masalah kesihatan, tetapi ia juga ada kaitan dengan undang-undang China.

Di negara tembok besar itu, pasangan gay yang mahu mempunyai anak juga tidak boleh mengambil anak angkat dan untuk memenuhi impian itu mereka terpaksa beralih ke AS. Malah semakin ramai kakitangan kerajaan juga secara diam-diam mengetepikan polisi satu keluarga satu anak di China.

Bagaimanapun, dalam polisi itu ada beberapa pengecualian termasuklah kelahiran kembar dan kini kerajaan China berjanji untuk membuat beberapa pengubahsuaian. Orang kaya yang mahukan lebih anak boleh berbuat demikian kerana mereka hanya perlu membayar penalti atau denda yang dianggarkan berjumlah 100,000 yuan (RM52,480) berdasarkan laporan agensi berita rasmi, Xinhua.

Bagi kakitangan kerajaan, perkiraan denda atau penalti ini lebih rumit kerana ia turut menjejaskan kerjaya mereka jika diketahui mempunyai anak kedua. Jadi langkah terbaik merahsiakan kehadiran anak itu selama hayatnya.

“Saya pernah membantu satu pasangan di Beijing yang anak mereka berumur dua tahun sekarang dan si isteri bekerja dengan bank milik kerajaan,” kata ejen ibu tumpang di China.

“Sebagai pengurus besar, macam mana dia hendak melanggar peraturan?” katanya.

Malah permintaan juga diterima daripada wanita profesional pertengahan umur yang menangguhkan untuk hamil kerana mahu memberi tumpuan kepada kerjaya.

Pada lawatan terakhirnya Bell berkata, dia bertemu seorang wanita berumur 40-an yang sudah berkahwin dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya di sektor kewangan, tetapi akhir-akhir ini dia berasakan kehilangan sesuatu.

“Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap sekarang, rupa-rupanya saya terlupa perkara paling penting dalam hidup iaitu mempunyai zuriat sendiri,” kata wanita itu.

Cari yang terbaik

California menjadi destinasi pilihan bagi kebanyakan pasangan China kerana industri ibu tumpang berkembang subur di sana dan mempunyai struktur perundangan yang baik, kata Andrew Vorzimer, pengamal undang-undang dari Los Angeles. Dia menyifatkan undang-undang reproduktif di California sebagai ‘yang terbaik di dunia’.

Negeri itu membenarkan nama pelanggan (ibu dan bapa) dicatatkan dalam sijil kelahiran kecuali nama ibu tumpang bagi membolehkan seseorang kanak-kanak itu diterima sebagai anak mereka di bawah undang-undang China.

“Industri ibu tumpang komersial lahir di California,” kata Vorzimer lagi.

Selepas Tony Jiang, 36 dan isterinya yang berasal dari Shanghai mempunyai tiga anak melalui kaedah ibu tumpang di California, mereka menerima banyak soalan daripada penduduk China. Akhirnya Jiang berhenti kerja dan membuka syarikat khidmat nasihat kesuburannya sendiri.

“Bagi saya, kalau kita mahu mendapatkan khidmat di luar negara, kita perlu cari tempat yang terbaik di dunia supaya tidak akan menyesal dengan keputusan kita,” katanya.

Mendapatkan khidmat ibu tumpang di AS dilihat ada kelebihannya kerana bukan saja anak yang dilahirkan itu secara automatik diterima sebagai warganegara Amerika ,malah peluang untuk mendapat anak kembar melalui kaedah persenyawaan in-vitro (persenyawaan beradas) juga agak tinggi.

Tetapi Jiang menegaskan: “Ini bukan seperti fesyen. Ia hanya untuk orang yang benar-benar mahukan anak.”

Ini kerana prosesnya panjang dan rumit. Selain itu, warga China berdepan dengan risiko stigma masyarakat sekiranya rahsia yang perlu disimpan hingga ke liang lahad itu bocor.

“Kami tidak membincangkan perkara ini secara terbuka,” kata seorang wanita yang baru menerima cahaya mata.

“Walaupun mereka ada anak melalui terapi yang dilakukan di AS, apabila balik ke rumah, perkara itu tidak akan disebut langsung. Mereka tidak mahu orang tahu,” katanya. – AFP

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,079 views