Kisar Kopi Hasil Seni

Masa yang banyak terluang selepas mengambil keputusan berhijrah dan tinggal di Langkawi membuka satu lembaran baru buat diri seorang pelukis wanita, apabila lukisannya yang menggunakan warna unik daripada biji kopi mendapat perhatian sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pelukis, Amanda Zulkifli, 44, tidak menyangka idea kreatifnya diberi perhatian kerana pada awal penghasilan lukisan menggunakan kopi, tidak ramai menunjukkan minat namun apabila keunikan warnanya terserlah, ia mula menonjolkan wanita itu dalam kalangan peminat seni.

Katanya, sejak 2007 dia mula aktif melukis menggunakan kopi berikutan tiada kedai khusus yang menjual alatan melukis di Langkawi. Ketika berhijrah juga, dia mengambil keputusan membuka kafe kecil, Amanda Coffee Tea di pulau itu.

“Masa senggang yang banyak dan kehidupan santai di pulau membuka semula peluang kepada saya untuk aktif kembali melukis selepas meninggalkan bidang itu selama 14 tahun disebabkan sibuk dengan kerjaya di sebuah syarikat.

“Suatu hari saya terfikir untuk menggunakan biji kopi yang ada di kedai. Saya mengisarnya sehingga halus dan membancuh dengan air sebelum mengambil air kopi itu dan digunakan sebagai warna.

“Sejak itu, saya terus memberi tumpuan penuh kepada penghasilan lukisan daripada kopi dan tidak menggunakan warna lain selain kopi. Disebabkan hanya terdapat satu warna, maka saya bermain dengan ton,” katanya.

Bagi mendapatkan warna lebih gelap, ia perlukan lapisan air kopi antara lima hingga enam lapis sehingga mendapat warna diingini. Dia juga merancang untuk mencampurkan kunyit pada bancuhan kopi bagi mendapatkan warna lebih menyerlah pada masa akan datang.

Katanya, penggunaan kopi memberi keunikan tersendiri apabila warna lukisannya akan menjadi semakin gelap dari hari ke hari sehingga dalam tempoh tiga bulan, proses itu berhenti dan ia terus kekal dengan warna yang ada.

Ketika kecil, Amanda mengakui dia amat minat melukis sehinggakan setiap kali bangun tidur, perkara pertama yang dilakukannya adalah mencapai berus lukisan dan terus melukis.

Kesabaran yang dimiliki anak ketujuh daripada sembilan beradik ini membantunya menghasilkan puluhan lukisan unik. Malah, bakat melukis yang mengalir dalam dirinya turut dimiliki adik-beradiknya yang diwarisi daripada ayah mereka yang pernah menjadi pengukir kayu.

Pengunjung kafenya juga bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri Amanda melukis di hadapan mereka dengan menggunakan kopi yang sudah dikisar.

Bagi pelukis, Nur Najihah Lee Abdullah, 36, pula, bunga ros sememangnya dianggap cantik dan menarik kerana ia sering dikaitkan dengan kasih sayang, cinta dan wanita.

Berikutan keistimewaan yang ada pada bunga berkenaan, ia dijadikan subjek tumpuan baginya dalam penghasilan setiap lukisannya.

Berperawakan ramah, ceria dan lemah-lembut, tentu saja bunga ros menjadi tema paling sesuai untuk dibawakan dan dipersembahkan oleh Nur Najihah kepada peminat seni lukisan tanah air.

Berasal dari Kelantan, tetapi kini bermastautin di Kuantan, Pahang, Nur Najihah yang juga guru seni di sebuah sekolah menengah sudah menghasilkan 300 lukisan yang bermotifkan bunga mawar sejak mula serius melukis 15 tahun lalu.

Memiliki kelompok peminat tersendiri, wanita berkenaan mengakui hatinya yang tertarik kepada alam membuatkan dia lebih gemar melukis bunga mawar dengan menggunakan warna monokrom.

Katanya, setiap lukisan akrilik bunga mawar yang dihasilkan berbeza antara satu sama lain dan menunjukkan anatomi bunga berkenaan daripada pelbagai sudut dan sering dijadikan fokus.

“Saya memilih bunga mawar sebagai subjek tumpuan kerana ia mewakili simbol penghargaan dan rasa cinta kepada wanita. Menyerahkan sekuntum bunga ros kepada kekasih ibarat menyerahkan cinta.

“Bunga ros yang segar dijadikan sebagai simbol mekarnya cinta. Ia juga dijadikan simbol luahan kasih sayang serta penghargaan daripada anak kepada ibu tersayang,” katanya ketika ditemui pada pameran Wanita Dalam Seni 2014 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang seni halus itu, dia melukis dengan menggunakan warna monokrom dan bermain dengan ton warna.

Ada lukisannya yang dijual, dilukis berdasarkan tempahan manakala sebahagian lagi disimpan sebagai koleksi peribadi. Kurang menumpu kepada tempahan, sebaliknya Nur Najihah lebih suka melukis dari hati dan menggunakan gaya melukis tersendiri sebagai identiti dirinya. Lukisannya banyak dibeli oleh syarikat penghias dalaman, arkitek serta individu perseorangan.

Selain melukis, Nur Najihah juga gemar mengambil gambar bunga kerana minatnya yang mendalam kepada alam semula jadi. Setiap gambar kemudiannya dijadikan rujukan untuk melukis menggunakan akrilik.

Katanya, lukisan menjadi terapi terbaik buat dirinya di kala menghadapi tekanan atau sebarang masalah. Proses melukis yang memerlukan kesabaran tinggi membantunya menghilangkan rasa tertekan dan lupa kepada sebarang masalah.

“Saya memang suka melukis sejak kecil dan suka bersendirian untuk menyiapkan lukisan. Ia membantu saya menghilangkan rasa tekanan. Bagaimanapun, kami pelukis di Kuantan mempunyai kumpulan yang saling menyokong antara satu sama lain iaitu Rajawali dan mereka yang berminat boleh melihat hasil kerja kami di rajawaliartgallery.blogspot.com,” katanya.

Nur Najihah berkata, selain minat dan bakat, seseorang yang berminat menjadi pelukis perlu mempunyai pendapatan kukuh memandangkan peralatan melukis memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Amanda dan Nur Najihah adalah antara lima pelukis wanita yang dipilih menyertai pameran lukisan berkenaan yang kini berlangsung di ruang Artiseri, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur bermula pada 15 April sehingga 29 April ini. Turut hadir pada pelancaran pameran itu adalah Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia Nori Abdullah.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

555 views