Klasik, Moden Jadi Tunjang
Mengambil inspirasi hidupan laut sebagai konsep utama pertunjukan fesyen di Amazing Red: Kurung, Kebaya Hijab, pemilik jenama adik-beradik AzuraAzwa, Azura Liyana Azmi dan Azwa Elena Azmi mengetengahkan rekaan tudung ala serban dan gaun malam istimewanya.
Klasik dan moden dijadikan tunjang kepada rekaan kali ini dan memilih warna hitam serta putih bagi melengkapi rona merah keseluruhan koleksi.
Gaun malam yang meleret dan beralun lembut direka sedemikian rupa bagi menggambarkan gelombang ombak di lautan.
Serban yang dililit rapi di kepala peragawati pula dibiarkan berdiri tegak dan mengembang simbolik kepada batu karang liar yang berada di dasar lautan.
Boleh diklasifikasikan sebagai menarik dan unik, cara ini memberi idea kepada wanita dalam penggayaan tudung ala serban.
“Kami menghasilkan 17 gaun malam dan menggunakan fabrik shantung, valentro dan sifon. Potongan baju lebih memberi tumpuan di bahagian bawah kain supaya ia kelihatan mengembang dan beralun.
“Tampalan renda yang berwarna putih diletakkan pada beberapa bahagian baju seperti di badan, dada, bahu dan lengan supaya menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.
“Kami sebenarnya terlebih dulu fokus kepada penghasilan gaya ala serban yang semakin diterima ramai hari ini sebelum mereka busana,” katanya.
Tambah Azura, pengalaman mereka mencari serban yang sesuai dan menarik mencetus idea untuk mereka sendiri dan menjualnya kepada orang ramai.
Tercari-cari imej yang lebih urban dan bergaya, serban dengan padanan busana moden dipilih bagi menampilkan pesona diri.
Antara jenis yang boleh didapati di butik AzuraAzwa adalah serban serkup yang mana mereka menjahit lilitan serban yang dimahukan lalu menjadikannya seperti serkup kepala, tetapi turut mempunyai lisu kedutan jahitan bagi memberi impak berbeza.
“Saya mendapati kebanyakan jahitan serban lain yang berada di pasaran tidak kemas. Atas sebab itu, ketika menghasilkan pelbagai jenis rekaan dan gaya, kualiti kain serta jahitan amat dititikberatkan.
“Ternyata, fesyen ala serban mula mendapat perhatian ramai sehingga boleh digayakan untuk pelbagai acara dan busana. Ia kini menjadi trend baru kepada remaja urban,” jelasnya.
Tidak terhad kepada penggayaan wanita dengan imej Muslimah, tudung serban AzuraAzwa juga boleh digunakan oleh sesiapa saja kerana bentuk yang versatil dan mampu diolah pelbagai gaya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.azuraazwa.com.