Koleksi Berkonsep Praktikal

Setiap busana ditampilkan menggunakan kain tenun Pahang sebagai fabrik asas. Kemudian, ia diolah secara kreatif mengikut arus perkembangan fesyen terkini bagi membolehkan rekaannya menambat hati ramai.

Keistimewaan dan nilai eksklusifnya me–nyebabkan kain tenun Pahang menjadi pilihan untuk majlis istiadat diraja atau hadiah kepada pembesar luar negara.

Seni tenunan Pahang yang berasal dari bandar diraja Pekan dipercayai dibawa ke Pahang pada abad ke-16 Masihi. Keindahan corak tenunan Pahang dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding kain tenun biasa.

Arus perkembangan fesyen pada hari ini turut memberi impak terhadap perubahan baru penggunaan tenun Pahang untuk memastikan ia mampu berada setanding dengan fabrik bermutu lain.

Usaha gigih Pengerusi Tenun Pahang Diraja, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ternyata mampu menitipkan kembali semangat baru untuk meningkatkan penggunaan fabrik bernilai itu dalam evolusi fesyen hari ini.

Dipertontonkan menerusi 70 koleksi hasil sentuhan empat pereka tersohor negara, Datin Syarifah Kirana, Jovian Mandagie, Rizalman Ibrahim dan Rodziah Md Yusof pada Malam Tenun Pahang Diraja, baru-baru ini membuktikan fabrik berkenaan juga mampu berdiri gah di atas pentas peragaan.

Bagi Rodziah yang juga pereka fesyen Kraftangan Malaysia, nilai fabrik berkenaan yang begitu tinggi mendorongnya untuk berusaha menghasilkan koleksi busana berprestij.

“Nilai kain itu sendiri dipakai oleh golongan atasan, justeru saya rasa tidak wajar menghasilkan rekaan yang meletakkannya di tahap rendah apatah lagi ia dibuat 100 peratus menggunakan tangan.

“Kain tenun Pahang adalah pakaian istiadat diraja dan dibuat khas untuk istana satu ketika dulu, lantas saya perlu menampilkan konsep yang setanding dengan nilainya.

“Selain mengekalkan nilainya yang tinggi, koleksi dihasilkan juga berdasarkan konsep praktikal untuk digayakan semua kaum,” katanya.

Walaupun agak mencabar untuk mengekalkan nilai tenun Pahang yang tinggi, Rodziah berasa bertanggungjawab untuk memperkenalkan rekaan lebih eksklusif menggunakan fabrik berkenaan.

Memberi fokus kepada gaya di majlis istimewa seperti karpet merah atau penyampaian anugerah, pemilihan warna serta corak sangat dititikberatkan.

Rekaan berlainan dan potongan lebih moden menonjolkan lagi kesegaran koleksi dihasilkannya itu.

“Konsep Muslimah masih ditekankan namun ia juga sesuai digayakan oleh semua kaum. Ini bagi membuktikan Muslimah juga masih boleh bergaya di majlis berprestij.

“Bagi menampilkan kelainan rekaan, gabungan warna pastel sengaja dipilih. Malah, ia juga dapat dilihat pada rekaan berpotongan kebaya labuh.

“Untuk memastikan ia tampak berbeza, potongan busana lelaki dan perempuan berkonsepkan elegan serta sopan diterapkan selain mempelbagaikan rekaan kolar yang cuba ditekankan pada penggunaan fabrik tenun Pahang itu,” katanya.

Tambahnya, 18 koleksi busana itu menggunakan kain tenun Pahang dari Kampung Soi, Felda Chini dan Pusat Tenunan Pahang Pulau Keladi.

Tidak ketinggalan bagi Syarifah Kirana yang turut menampilkan hasil sentuhan klasik dengan kepakarannya mencipta busana potongan asli baju kurung Riau Pahang, cekak musang, teluk bela–nga wanita, kebaya labuh Cina Peranakan dan baju belah.

Unsur tradisi dikekalkan bagi memastikan setiap persalinan tampak santun dan sopan dengan perincian mewah bagaikan seorang puteri.

Berbeza bagi rekaan dikete–ngahkan Jovian Mandagie dan Rizalman yang menonjolkan potongan moden. Walaupun rekaan dihasilkan tampak berani, ia jelas membuktikan fabrik bermutu tinggi itu juga mampu menampilkan koleksi yang lebih menarik dan mengikut fesyen terkini.

Pada acara sama, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berangkat ke majlis diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Hadir sama, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelanco–ngan, Datuk Dr Ong Hong Peng.

Majlis berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada Tenun Pahang Diraja sekali gus menyaksikan pelancaran buku bertajuk Warisan, Tradisi dan Falsafah dilancarkan Sultan Ahmad Shah.

Pada acara berkenaan, Sultan Ahmad Shah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Tenun Pahang Diraja dengan juara disandang oleh Mohd Zaidi Hussin dari Penjara Tenor, Kuantan.

Mohd Zaidi menerima wang tunai RM14,000 dan piala manakala tempat kedua dimenangi Fauzan Zakaria dari Tenun Penjara Bentong (RM10,000 dan piala) dan ketiga Zila Md Saud dari Syarikat Realistic Attraction, Kuantan (RM6,000 dan piala).

Pertandingan berkenaan dibuka sejak 6 Mac hingga 10 Jun lalu yang berjaya menarik perhatian 36 penyertaan. Setiap peserta perlu menyiapkan hiasan gantung untuk hiasan dalaman berkonsepkan Warisan Semasa menggunakan Tenun Pahang Diraja.

Ia diadili lima juri profesional iaitu pensyarah Institut Pengajian Tinggi, Profesor Dr Norwani Md Nawawi dan Profesor Sulaiman Ghani; dua wakil bidang tekstil dan dekorasi, Karrtini Illias dan Ratna Siti Akbari serta pereka Kraftangan Malaysia, Noridah Johan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,540 views