Koleksi Diberi Nafas Baru

SEBAIK melangkah ke rumah anak muda ini, mata terus tertumpu kepada bahagian ruang tamunya yang menempatkan beberapa patung dengan busana pengantin indah membalutinya.

Rekaannya ringkas tetapi elegan. Itu yang dapat disimpulkan mengenai koleksi busana pengantin Dwen Raha, hasil tangan anak muda bernama Mohd Redzuan Abdul Rahim ini.

Perincian seperti manik, labuci dan kristal dijahit kemas pada busana berkenaan malah ia menjadi keutamaan Dwen tatkala menyiapkan setiap tempahannya.

Mahu pelanggannya berasa selesa ketika bergaya di hari bahagia sebagai pasangan raja sehari, Dwen turut mementingkan pemilihan fabrik berkualiti tinggi seperti kain sifon, renda, bridal satin, net dan kapas.

Tambah menarik, kebijaksanaannya sebagai pereka juga terserlah apabila dapat menghasilkan busana pengantin yang juga boleh digunakan untuk menghadiri majlis kasual mahupun makan malam.

Apatah lagi sekiranya potongan busana itu mengetengahkan unsur moden kontemporari yang memang digemari ketika ini.

Menurut Dwen, permintaan untuk tempahan pakaian pengantin memang menggalakkan kerana kebanyakan bakal mempelai inginkan kelainan, malah mereka juga selalunya ingin menyimpan sehelai persalinan pengantin untuk dijadikan kenangan.

“Mereka memilih rekaan ringkas tapi menarik dan boleh digayakan kembali sama ada untuk ke majlis rasmi atau perayaan.

“Selain jahitan manik, pakaian pengantin akan menjadi lebih menarik dengan tampalan renda di atas material berkualiti dalam ton kontra yang bersesuaian.
“Justeru, saya akan pastikan sentiasa mengikuti peredaran fesyen semasa terutama daripada segi pilihan gaya dan warna.

“Sedikit ilmu yang ada itu dapat membantu saya memberikan rundingan ketika pelanggan datang bersama rekaan sendiri,” katanya yang menjadikan Internet, televisyen dan majalah sebagai sumber rujukan.

Gaun moden dengan tampalan renda juga menjadi pilihan digayakan sama ada pada majlis akad nikah atau persandingan. Ramai pelanggannya memilih menggunakan warna pastel seperti krim, biru elektrik, merah jambu dan ungu.

Menyoroti beberapa koleksinya, setiap helaian diberi nafas baru dan lebih fleksibel. Contohnya, menerusi kebaya peplum ala gaya primadona Saloma yang boleh digayakan dalam beberapa gaya berbeza.

Sama ada dipakai bersama kain atau seluar, ia kekal memikat dan serasi untuk semua wanita.

“Ilham menghasilkan potongan seperti ini dengan sedikit kembang pada bahagian bawah sebagai memenuhi impian wanita yang ingin tampil dalam rekaan berbeza.

“Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pilihan bukan saja pada potongan tradisional malah anggun mengenakan busana moden yang boleh dipakai untuk acara bertema atau makan malam,” katanya yang mendapat bantuan daripada isteri tercinta, Nazierah Che’ Lah.

Selain itu, terdapat juga busana pengantin yang kelihatan cukup comel apabila digayakan. Ini kerana ia menggunakan kain kapas bercorak polka dot berwarna merah jambu lembut.

Di bahagian pinggang ke bawah busana itu disaluti pula kain net untuk memberikan kelainan. Pintalan kelopak bunga buatan sendiri pula dijahit pada bahagian dada dan hujung tangan. Busana dilengkapkan dengan potongan kain kembang.

Walaupun hanya menjual produknya menerusi dalam talian iaitu di laman Facebook, ia sudah cukup membuatkan Dwen tidak menang tangan kerana sambutan daripada pelanggan amat memberangsangkan.

Mampu menyiapkan sepasang baju dalam masa tiga jam saja, nyata kelebihan ini membuatkan Dwen mampu menerima tempahan daripada individu perseorangan dan juga butik pengantin.

Tidak terhenti di situ, Dwen juga berbakat dalam solekan dan turut menerima tempahan untuk tujuan berkenaan.

Terima kasih;

- Pemilik butik Dwen Raha, Mohd Redzuan Abdul Rahim
- Model: Bobo Kama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

923 views