Koleksi Funky

APA kaitan serendipity dengan kedatangan Tahun Baru Cina? Dikaitkan dengan rasa teruja serta perasaan di luar jangkaan menjadi takrifan Mayfair bagi mengetengahkan rekaan busana menjelang perayaan istimewa kaum Cina ini.

Mengambil ciri-ciri keaslian pakaian tradisi pada 1920-an sehingga era 40-an dari segi rekaan, siluet, fabrik, motif sehinggalah butang buatan tangan pada zaman itu, ia menjadi inspirasi Mayfair dalam mengetengahkan koleksi pakaian berkonsepkan funky.

Tetapi pada masa sama, ia masih mengekalkan corak bunga-bungaan serta paduan rona terang seperti merah yang menjadi lambang tradisi perayaan berkenaan.

Malah, pengekalan konsep serta rekaan sesuai digayakan wanita moden sama ada ke pejabat atau acara kasual.

Bagi mendapatkan rekaan yang halus dan cukup praktikal, pemilihan fabrik sangat penting bagi memberikan keselesaan kepada si pemakai.

Penggunaan kain kapas masih diteruskan kerana mendapat permintaan ramai.

Cetakan motif flora berserakan di atas latar kain berona pucat atau terang memberikan kesan menyerlah sekali gus menjadikannya gaya terkini pada tahun baru.

Selain kapas, fabrik kait dan linen digunakan merangkumi rekaan pakaian untuk perayaan, majlis keraian dan kasual dengan jahitan kemasan dipadankan blaus rona terang dan cheongsam bagi meraikan perayaan tahun ini.

Menariknya, Mayfair mengetengahkan potongan unik bagi menampakkan bentuk badan orang Asia yang langsing dan menawan.

Pakaian tradisi Cina yang mengekalkan ciri unik, jahitan halus, kolar berstruktur, butang buatan tangan dan belahan yang kemas pastinya memerlukan kemahiran untuk mendapatkan hasil yang teliti dan berseni.

Mayfair terletak di tingkat tiga BB Plaza Kuala Lumpur yang dibuka dari jam 10 pagi, Isnin hingga Sabtu manakala Ahad dan cuti umum bermula jam 11 pagi.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

942 views