Koleksi Kasut Ikut Tempahan

Kemahiran dan kreativiti tanpa sempadan dua pereka muda, Xavier Mah dan Alfred Hor berjaya menghasilkan koleksi kasut unik mengikut tempahan pelanggan.

Menerusi jenama Xalf, koleksi Xpression Basic menampilkan penggunaan material kulit anak kambing dan lembu yang lembut bagi memberi keselesaan berpanjangan.

Dihasilkan menggunakan bahan premium dari dalam dan luar negara, ia turut dihias dengan perincian halus, menjadikan setiap rekaan serasi buat wanita yang sofistikated dan mementingkan gaya anggun.

Menariknya, rekaan yang ditampilkan juga mendapat inspirasi daripada cita rasa pengguna yang mengunjungi laman web jenama berkenaan di xalfdesign.com atau ketika sesi temujanji.

Mendapat ilham menerusi memori Carrie Bradshaw ketika berjalan seorang diri di Fifth Avenue New York sambil menggayakan kasut baji tinggi, ia ternyata membawa kepada penemuan baru yang mempesona.

Gaya menarik sengaja ditampilkan bagi menarik perhatian pandangan orang yang berada di sekeliling seolah-olah berada dalam siri televisyen, Sex and the City lakonan aktres terkemuka itu.

Bukan sekadar angan-angan, malah ia dijadikan pendekatan sebelum membuat kasut bagi memenuhi cita rasa wanita masa kini khususnya kepada mereka yang obses dengan fesyen.

Rekaan yang anggun dan ceria ternyata memberi keyakinan kepada si pemakai untuk menampilkan gaya menawan.

Leave a Reply

491 views