Koma 5 Bulan

Guru Bahasa Melayu dan Matematik ini sangat aktif ketika masih bergelar pendidik di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, Selangor tiga tahun lalu.

Namun, tanpa disangka amalan gaya hidup yang aktif itu bukan bermakna dia tidak diuji dengan penyakit kronik sehingga menduga kesabaran diri dan seisi keluarga.

Zuhaily Wan Chek, 41, disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada 2009 yang kemudian merebak kepada paru-paru dan pankreas menjelang 2010.

Melihat keadaannya yang sangat lemah, doktor menjalankan satu lagi pemeriksaan. Bagai jatuh ditimpa tangga apabila doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada otaknya.

Berita itu umpama batu menghempap kepala kerana tiada ahli keluarganya yang pernah menghidap barah. Namun kehadiran suami, Razak Rahim, 42, banyak menyokong dan membantu untuk dia meneruskan kehidupan serba mencabar itu.

Hadir dengan berkerusi roda, raut wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang kesakitan mahupun kesedihan yang sedang ditanggung.

Tiga tahun meninggalkan kerjaya sebagai pendidik, Zuhaily akui dia sangat rindukan suasana mengajar dengan kerenah pelajar yang kadangkala mencuit hati.

Mengulas mengenai keadaan isterinya, Razak berkata dia mengesyaki isterinya ada masalah kesihatan selepas Zuhaily mengadu air kencingnya bercampur darah.

“Ia berlaku sebulan sekali. Selepas mendapati air kencingnya mengandungi darah beku, saya segera membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Saya anggap ia hanya masalah batu karang tetapi rupanya sangkaan itu jauh meleset. Apabila melakukan pemeriksaan, doktor mendapati buah pinggang isteri di sebelah kiri sudah membengkak,” katanya.

Pada 2010 Zuhaily menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang yang rosak itu dan keadaannya mulai segar. Tetapi dua bulan kemudian, dia kembali lemah.

Apabila keadaan Zuhaily menjadi terlalu lemah, sekali lagi Razak membawa Zuhaily berjumpa doktor untuk mengetahui masalah kesihatan yang ditanggung isteri kesayangannya.

Dugaan lebih berat dirasakan selepas doktor mengesahkan isterinya menghidapi masalah hati tidak berfungsi sehingga membabitkan pankreas. Ketika itu, kulit Zuhaily kelihatan kuning dan selepas mendapatkan rawatan, keadaan yang pucat kembali kemerah-merahan.

“Saya hairan apabila doktor menyarankan saya membawa isteri melakukan pemeriksaan otak pula. Namun, tidak disangka ia berasas.

“Selepas diimbas, doktor menemui ketulan bersaiz dua sentimeter pada otak isteri dan ia disahkan barah. Ketika itu, hanya ada dua pilihan sama ada lakukan pembedahan atau radioterapi.

“Kami memilih rawatan radioterapi. Paling menyedihkan apabila isteri saya koma selama lima bulan akibat ketumbuhan otak yang dialaminya,” kata Razak.

Kesan sampingan radioterapi menyebabkan Zuhaily tidak mampu mengunyah makanan, percakapan menjadi semakin perlahan, penglihatan kabur dan berat badan susut mendadak.

Walaupun perit menerima kenyataan itu, Razak sanggup berhenti kerja sebagai jurujual bagi menjaga isterinya sepenuh masa selain turut melakukan tugasan di rumah.

“Saya mula mencari kerja sampingan supaya dapat menjaga isteri dan menanggung kos rawatan yang berjumlah RM3,000 sebulan. Saya tidak mahu menyerahkan tugas menjaga kepada orang lain, bimbang dia akan rasa tertekan,” katanya yang kini menetap di Alor Gajah, Melaka.

Bagaimanapun pendapatan dari kerja sampingan tidak cukup untuk menyara mereka seisi keluarga termasuk kos rawatan isterinya.

Namun, dia tetap bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 selain gaji bersih isteri yang berjumlah RM2,000 sebulan.

Walaupun banyak pengorbanan dilakukan, bagi Razak senyuman isterinya lebih bernilai kerana hanya Zuhaily yang mengerti penderitaan yang dirasai.

Disebabkan itu, Razak terus berusaha mencari perubatan alternatif walaupun doktor mengatakan isterinya tiada lagi peluang untuk sembuh.

Kecekalan Zuhaily menempuh pelbagai penyakit dalam satu masa membuka mata banyak pihak sehingga dia diberikan Anugerah Srikandi yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Harjeet Singh Hardev Singh sempena majlis pelancaran program ‘I Care, Women Care’, baru-baru ini.

Program berkenaan adalah permulaan kempen dilakukan Yayasan Kanser Malaysia sempena Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara pada setiap Oktober.

Untuk kempen ini penyanyi terkenal, Fauziah Latiff dilantik sebagai ikon. Program berkenaan akan dilaksanakan seluruh negara dengan kerjasama KPWKM menerusi agensi di bawah kementerian.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran kepada wanita untuk lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan melakukan pemeriksaan sendiri payudara agar sebarang ketidaknormalan dapat dikesan di peringkat awal lagi.

Kehadiran Lady Bikers Malaysia (LBM) turut membantu mempromosikan kepentingan kesedaran awal kanser agar kes kematian akibat penyakit ini dapat dikurangkan.

Pada majlis sama, Yayasan Kanser Malaysia melalui pertubuhan di bawah naungannya, Let’s Rock Cancer Malaysia (LCRM) turut melantik penyanyi terkenal, Aizat Amdan sebagai duta untuk memastikan sambutan terhadap kempen kesedaran kanser dalam kalangan remaja meningkat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

654 views