Kombinasi Sukan & Fesyen

Sukan dan fesyen sememangnya saling berkait. Jika dulu, sukar untuk membayangkan kombinasi dua aliran ini di atas kertas lakaran, malah tidak pernah terlintas di fikiran pakaian sukan boleh tampak anggun apabila kena pada gayanya.

Namun dengan revolusi terkini dalam koleksi pakaian sukan yang diperkenalkan barisan atlet ternama dunia, nyata dua aliran itu mampu mencipta elemen tersendiri, malah menarik perhatian penggemar fesyen dan peminat sukan.

Adidas, jenama sukan popular dunia tidak ketinggalan menyertai revolusi itu dengan pelbagai koleksi suai padan yang boleh digayakan untuk bersukan atau ke majlis santai.

Justeru, saat Adidas berkolaborasi dengan Topshop bagi himpunan musim panas kali ini, peminat fesyen mengangkatnya sebagai terjemahan sukan serta gaya jalanan dalam kepelbagaian budaya global.

Perbualan santai antara Pengarah Rekaan Adidas Originals, Josefine Aberg dengan Pengarah Kreatif Topshop, Kate Phelan akhirnya direalisasikan pada koleksi unik yang menghamparkan kombinasi warisan klasik dan stail urban eksentrik.

Nada klasik dihasilkan semula dalam koleksi kapsul ini yang menyerlahkan cetakan terang menerusi idea baru barisan pereka muda.

Siluet ikonik dikekalkan sebagai asas rekaan tapi diselang-selikan dengan potongan segar dan moden.

Himpunan corak eksklusif Topshop ini dicetuskan oleh persekitaran London yang menjadi latar kepada kempen istimewa ini.

Tiga jalur ikonik Adidas sengaja ditonjolkan secara besar-besaran sebagai tanda penguasaan label fesyen itu di pentas sukan dunia.

Fabrik yang dipilih bersifat ringan serta selesa agar seiring suasana musim yang berangin dan panas. Material seakan-akan sutera, kapas halus dan tricot ringan menambah tekstur pada helaian hoddie sementara rompi dan kemeja-T dihasilkan daripada fabrik jaring dan panel kapas.

Fabrik jenis jersi pula digunakan pada helaian baju sukan French terry dengan majoritinya disertakan perincian minimum.

Sepatu Adidas Originals melengkapkan gaya dan tiga pilihan utama – The Superstar, The Tech Super dan The Attitude – memberi impak mewah dengan material kulit lalu digabungkan bersama grafik yang menggambarkan kemeriahan kota London.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

644 views