Kombinasi Warna Ceria

PALAZO, kardigan, blaus pelbagai warna dan rekaan, skirt serta gaun kontemporari menjadi koleksi gaya menarik pilihan jenama pakaian dan butik Mira Kingsley.

Bukan saja sesuai digayakan pelbagai peringkat usia, ia turut memenuhi gaya fesyen terkini malah koleksi pakaian terbabit boleh disuai padan mengikut cita rasa semasa.

Menurut pengasasnya, Amira Kingsley, konsep suai padan diterapkan kepada pelanggan bagi membolehkan mereka mendapat pilihan busana bersesuaian dengan personaliti dan gaya harian.

“Kombinasi warna diketengahkan juga lebih kepada warna ceria seperti hijau muda, biru, merah jambu serta kuning,” katanya.

Penggunaan sifon dan kain kapas banyak diterapkan untuk setiap koleksi pakaiannya.

Malah kain sifon bercorak serta polos dan kain kapas polos boleh digayakan dengan lebih menarik melalui gabungan aksesori bersesuaian.

Bagi mereka yang ingin tampil ringkas, apa kata gayakan padanan kardigan bersama baju tanpa lengan berserta palazo.

Untuk tampil lebih ranggi pula, tambahkan sedikit aksesori perhiasan seperti rantai leher, gelang tangan dan tali pinggang agar tidak tampil terlalu kosong terutama apabila menggayakan busana polos.

Bagi penggemar gaun kontemporari, jenama terbabit turut menyediakan rekaan menarik menggunakan kain sifon.

Lebih banyak memfokuskan perincian pada rekaan di bahagian tengah badan, ia didatangkan sama ada tanpa lengan atau koleksi lengan labuh dengan potongan kembang di hujungnya.

Untuk lebih menarik, bahagian bawah gaun direka dengan potongan lebar agar kelihatan beralun apabila berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

2,649 views