Kopi Pencetus Semangat

Duduk di meja sambil mulut pantas memesan secangkir kopi. Di rumah pula seakan-akan tidak sempurna apabila tidak minum secawan kopi.

Pendek kata, hubungan penggemar kopi dengan minuman ini sangat akrab, bagaikan orang bercinta tidak lengkap rasanya jika tidak bertemu, begitu juga antara peminat kopi dengan kopi pilihan mereka.

Sama ada cappucino, espresso atau latte, apa saja perisa minuman pekat kehitaman yang menjadi agen stimulasi terkenal di dunia ini sering dianggap sebagai minuman pencetus semangat dalam kalangan pencintanya.

Ini kerana di dalamnya terdapat kafein yang dapat meningkatkan psikomoto sehingga memberikan kesan fisiologi dan peningkatan tenaga yang akan kelihatan beberapa jam selepas minum kopi. Kafein ini tidak hanya ditemui pada tanaman kopi, tetapi juga daun teh dan biji coklat.

Oleh itu, kopi mampu meningkatkan daya aspirin dan menghilangkan kesakitan. Malah kebaikan kafein juga kerap dimasukkan ke dalam ramuan beberapa jenis ubat-ubatan.

Begitu istimewanya kopi sehinggakan pada 29 September setiap tahun diangkat sebagai Hari Kopi Antarabangsa di seluruh dunia bagi meraikan keseronokan minum kopi sebagai minuman popular di seluruh dunia.

Malah, pada hari itu juga, ramai yang turut mempromosikan kopi, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai nasib penanam kopi di seluruh dunia dan berkongsi kisah cinta peminum kopi dalam kalangan penduduk dunia.

Hari ini, kopi salah satu komoditi yang paling diniagakan di dunia. Bagi sesetengah orang pula, kopi minuman wajib yang diperlukan sebagai memulakan hari mereka.

Dengan perisa yang pelbagai seperti kopi hitam, espresso, latte, cappuccino dan mocca, setiap satunya melalui proses penyajian dan pengolahan yang unik sehingga menghasilkan rasa enak dan berbeza.

Jika diikutkan, penggemar kopi ada di mana-mana dan tidak mengenali sempadan geografi. Dari utara ke selatan, benua Eropah hingga benua Asia, kopi dinikmati di setiap pelosok dunia setiap hari.

Satu kajian di Amerika Syarikat mendedahkan empat daripada lima orang minum kopi dan menghabiskan lebih daripada 400 juta cawan kopi sehari. Dengan lebih daripada 2.5 juta pekerja industri, ia meletakkan kopi sebagai komoditi kedua terbesar dunia selepas minyak masak dalam industri perdagangan dunia.

Sejarah kopi bermula di Laut Merah sejak abad ketujuh apabila seorang penulis Arab pada abad ke-15, Shehabeddin Ben menceritakan orang Ethopia menikmati minuman ini jauh lebih lama daripada catatan yang pernah ditulis dalam sejarah. Pada abad ke-16, pekebun kopi ditemui di Dataran Yaman, Arab. Selepas seorang Duta Besar Turki memperkenalkan kopi kepada Raja Louis XIV sekitar 1660, dengan pantasnya minuman ini berjaya menawan selera masyarakat Eropah.

Bangsa Arab yang memiliki peradaban lebih maju daripada Afrika ketika itu tidak hanya memasak biji kopi, tetapi turut merebus dan mengambil sarinya. Pada abad ke-13, orang Islam menggunakan kopi sebagai minuman penambah tenaga ketika beribadah pada malam hari.

Di Pulau Jawa, Indonesia, kopi dibawa masuk oleh orang Belanda. Pada 1714, Desclieux, seorang warga Belanda menanam kopi di kepulauan Martinique. Selepas itu, kebun kopi mula bertambah dari French Guiana ke Brazil, Amerika Tengah dan kebanyakan negara di dunia sehingga ke hari ini ia menjadi minuman kemestian orang ramai di dunia.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,843 views