Kreativiti Menyerlah

Sebelum ini, dia hanya menggubah bunga untuk hiasan di rumah saja dan tidak pernah memasuki sebarang pertandingan apatah lagi menunjukkan bakat di hadapan khalayak ramai.

Namun, perasaan malunya diketepikan apabila dia nekad memasuki pertandingan gubahan bunga diadakan di gerai Hati pada Konsert Ekspresi Harian Metro di Dataran Merdeka yang berlangsung meriah pada hujung minggu lalu.

Tanpa diduga, percubaan pertamanya itu membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai juara untuk sesi pertama gubahan bunga yang berlangsung pada jam 1 petang itu.

Tenang dan yakin menyudahkan gubahan selama kira-kira satu jam, Tuan Rohani Tuan Ismail, 46, membuktikan kreativitinya paling menyerlah pada pertandingan itu walaupun dikelilingi peserta wanita yang tidak kurang hebat dengan hasil gubahan masing-masing.

Tuan Rohani mengakui memang tidak menyangka percubaannya itu mampu menewaskan sembilan peserta lain yang dilihat lebih berkemahiran.

“Selalunya, saya hanya menggubah untuk hiasan di rumah dan tidak pernah terfikir langsung boleh memasuki pertandingan seperti ini yang memerlukan saya melakukannya di hadapan orang ramai.

“Kemenangan ini memang tidak dijangka sama sekali kerana asalnya, niat saya cuma suka-suka saja serta memeriahkan acara.

“Tak sangka pula pihak juri memilih hasil kerja tangan saya sebagai juara. Bagaimanapun, saya memang cukup gembira dan teruja dengan pencapaian saya kali ini,” katanya yang membawa pulang hamper kosmetik.

Pertandingan gubahan bunga ini diadakan bagi memberi peluang kepada wanita mahupun lelaki menonjolkan kreativiti dalam menghasilkan gubahan bunga untuk dibawa pulang atau boleh saja dihadiahkan kepada insan tersayang.

Pada hari itu, seramai 21 peserta mengambil bahagian dan mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu sesi pertama yang berlangsung pada jam 1 petang manakala sesi kedua pula dijalankan pada jam 3 petang.

Acara menggubah bunga di sebelah petang menyaksikan Mohd Fairul Rafiq M Ali, 34, berjaya mengalahkan peserta lain dengan idea kreatifnya menggubah bunga rendah yang dihiasi cantuman pagar daripada batang bunga.

Dia juga mengalahkan rakan baiknya sendiri, Mohd Yazid Umar, yang terpaksa akur menduduki tempat kedua pada pertandingan berkenaan. Selain mereka berdua, pertandingan ini turut menarik hati tiga lagi jejaka, Norisywal Akim, Aminuddin Daud dan Kamal Ibrahim yang berpuas hati apabila membawa pulang hadiah saguhati.

“Saya pernah menyertai beberapa pertandingan menggubah bunga sebelum ini tetapi tidak di hadapan orang ramai. Aktiviti ini saya lakukan kerana minat sebab itu saya tidak berasa malu untuk mencuba sebaliknya cukup seronok.

“Rekaan saya bercirikan ikebana yang popular di Jepun tetapi untuk memberi kelainan, elemen masyarakat tempatan saya masukkan dalam gubahan saya.

“Saya agak mahir dalam seni landskap taman kerana dulu pernah mempelajarinya sewaktu menuntut di universiti. Disebabkan kelebihan itu, saya cuba sebaik mungkin menerapkannya ke dalam rekaan gubahan bunga saya,” katanya.

Sebelum memulakan pertandingan, setiap peserta diberi tunjuk ajar terlebih dulu daripada penggubah bunga, Roslan Razali yang juga bertindak sebagai juri.

Pelbagai ragam ditunjukkan peserta bagi menyiapkan gubahan sekali gus memeriahkan acara yang diadakan pada hari itu.

Menurut Roslan, pertandingan gubahan yang disertai pelbagai lapisan peringkat umur dan jantina peserta itu mempamerkan kreativiti yang memberangsangkan.

Pemilihan pemenang juga agak sukar kerana peserta bijak menyusun bunga dan daun segar untuk menjadikan gubahan bertambah menarik serta unik.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,689 views