Kreativiti Solekan

Selain pemilihan baju dan aksesori yang tepat, solekan bersesuaian juga perlu diambil berat lebih-lebih lagi ketika musim perayaan ini.

Jika kita boleh berdandan rapi ke pejabat mahupun keluar bersiar-siar bersama insan tersayang, mengapa tidak pada lebaran kali ini yang tentu saja hujung minggu dipenuhi undangan majlis rumah terbuka sahabat handai.

Kadangkala, untuk mendapatkan hasil mekap yang cantik ia mengambil masa agak panjang, khususnya mereka yang tidak mengetahui teknik tepat dan hanya mekap seadanya.

Sebab itu ramai wanita lebih senang memilih solekan ringkas. Bagaimanapun dalam perihal ini, setiap wanita memerlukan sedikit masa untuk merias wajah kerana ia bertindak sebagai penyeri apatah lagi ketika berkunjung ke majlis rumah terbuka.

Selalunya solekan dapat dilakukan dalam tempoh lebih singkat kerana empunya badan itu tahu teknik dandanan yang betul menggunakan warna dan produk bersesuaian dengan penampilan diri.

Pemilik butik dan jurusolek Zah Collection Beauty, Zakiah Mohamed Pajar berkata, solekan boleh menjadi mudah andai wanita bijak dan mengetahui penggunaannya dengan betul.

“Solekan semula jadi, kemas dan cantik memang sudah memadai dan sebaiknya jangan meletakkan terlalu banyak warna pada wajah terutama pada bahagian mata.

“Pembayang mata berwarna tanah atau semula jadi dan pastel sesuai untuk pelbagai acara dan kebanyakan wanita selesa dengan cara begini.

“Ramai antara kita suka bergantung kepada warna baju ketika memilih pembayang mata tetapi nasihat saya, jangan terlalu menekankan penggunaan warna untuk sesuaikan dengan baju kerana warna semula jadi nampak lebih sesuai dengan wajah.

“Bagaimanapun, tidak salah mencuba dan terpulang kepada wanita itu sendiri mengikut kreativiti asalkan teknik yang digunakan betul,” katanya.

Selain itu, bagi Muslimah yang tidak mahu mencukur bulu kening terdapat teknik merias menggunakan ‘eyebrow plastic’ yang mempunyai tekstur seperti lilin dan hadir dalam bentuk seakan pelembap bibir.

Sudah menjadi kemestian bagi wanita untuk tampil cantik bergaya bukan setakat hebat berbaju raya, tetapi wajah juga perlu mendapat transformasi supaya tampak lebih kemas.

Warna kulit wajah tidak memberi masalah asalkan wanita pandai memadankan warna yang sesuai dengan keseluruhan penampilan.

Mekap mampu menampilkan wajah yang ceria sesuai dengan hari lebaran dan bagi mereka yang jarang bersolek, gaya ini boleh dicuba.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

554 views