Krim Kecantikan Yogurt
Yogurt atau susu masam bukan saja baik untuk sistem penghadaman, malah mampu menjadikan kulit lebih cantik dan berseri.
Ia boleh dijadikan krim kecantikan semula jadi yang bebas daripada segala bahan kimia dan selamat untuk kulit serta menjimatkan wang. Malah lebih menarik, ia mudah dibuat sendiri di rumah.
Ia boleh disimpan di dalam peti sejuk dan dikeluarkan apabila perlu untuk disapu pada wajah sebagai pupur yang menyalurkan lembapan.
Yogurt adalah makanan yang memberikan faedah hebat dari segi luaran dan dalaman kepada tubuh kerana ia menjadi sumber protein, kalsium dan potasium yang baik, selain kaya dengan mineral dan vitamin.
Kehadiran kultur hidup bersama asid laktik, zink, mineral dan enzim membantu memberikan kulit yang sihat berseri selepas ia disapukan ke kulit sebagai pupur.
Asid laktik membantu melembut, melembap dan membuang sel kulit mati. Hanya sapukan yogurt ke seluruh wajah, tangan serta kaki dan biarkan selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.
Jika kulit jenis terlalu kering, tambahkan sedikit madu ke dalam yogurt kerana madu mempunyai unsur melembap yang lebih tinggi bagi kulit yang memerlukan lebih penjagaan.
Selain itu, boleh campurkan tiga sudu besar yogurt bersama dua sudu besar lobak merah yang dikisar. Semua campuran ini disapukan pada wajah dan biarkan selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.
Bagi mencerahkan kulit, campurkan yogurt dengan satu sudu besar serbuk koko dan satu sudu besar madu. Gaulkan bersama sehingga pekat dan sapu pada muka. Campuran itu juga mampu membuatkan kulit tampil lebih segar, cerah dan bercahaya.
Yogurt juga boleh digunakan untuk digosok pada kulit bagi membuang sel kulit mati terutama bagi mereka yang mempunyai kulit kering dan sensitif. Ia boleh dihasilkan dengan mudah dengan cara mencampurkan dua susu besar yogurt dengan satu sudu besar oat, sebelum digosok pada wajah dan tubuh dengan gerakan membulat bagi mengeluarkan semua kekotoran.
Gabungan serbuk beras dan yogurt yang dijadikan pes pekat pula boleh membantu membuang bintik hitam dan putih pada wajah, sekali gus membersihkan dan melembutkan kulit.
Sapukan secara gerakan membulat pada wajah, biarkan seketika sebelum dicuci dengan air sejuk. Jika tidak gemar pada beras, kacang walnut juga boleh digunakan sebagai ganti.
Buah-buahan sitrus boleh dicampurkan dengan yogurt untuk membuang sel kulit mati. Caranya, campurkan kulit buah oren yang sudah dikeringkan dan dikisar kering serta campurkan dengan dua sudu besar yogurt.
Kandungan zink yang tinggi dalam yogurt membantu mengurangkan dan mencegah kehadiran jerawat. Apabila yogurt disapukan setiap hari ke bahagian jerawat, ia mengurangkan masalah kulit itu dan mula pulih dalam tempoh seminggu.
Sapuan yang kerap dan konsisten akan menghasilkan kulit yang sihat dan menjaganya daripada masalah kulit biasa seperti kekeringan atau jerawat, selain mengurangkan masalah keradangan dan kemerahan pada wajah.
Selain merawat masalah jerawat, zink yang ada dalam yogurt juga boleh membantu mengecilkan liang roma kerana ia mempunyai bahan meluntur secara semula jadi yang sederhana, sekali gus mengurangkan masalah warna kulit tidak sekata.
Wajah yang cantik juga boleh terjejas akibat lingkaran hitam pada mata yang membuatkan seseorang kelihatan letih dan tidak bermaya. Sedikit yogurt boleh disapukan pada bahagian berkenaan dan biarkan kira-kira 15 minit sebelum dicuci.
Kulit yang sering terdedah pada cahaya matahari juga membuatkannya gelap namun campuran yogurt bersama serbuk kunyit, jus limau dan madu boleh disapu ke bahagian terjejas dan biarkan kira-kira 40 minit sebelum dibasuh.
Lebih menarik, asid laktik yang ada dalam yogurt boleh membantu mengelak masalah penuaan pramatang, mengurangkan masalah kedutan dan membuatkan wajah kelihatan lebih muda.
Ia boleh dicapai dengan cara mencampurkan yogurt bersama minyak zaitun, kemudian sapu dan biarkan pada kulit kira-kira 30 minit. Ulangi rutin itu tiga kali setiap minggu.
Selain itu, jika kulit pada tangan atau kaki terlalu kering, sapu dan urut yogurt pada bahagian berkenaan serta biarkan antara 20 hingga 25 minit sebelum dicuci. Hanya dengan satu sapuan, kulit terasa lebih lembut dan bersih.
Bagi menjimatkan lagi rutin penjagaan kulit, elakkan membeli yogurt sebaliknya hasilkan sendiri kerana ia sungguh mudah disediakan dan boleh bertahan lama dengan menyimpannya di dalam peti sejuk.
Bahan yang diperlukan adalah dua liter susu penuh krim dan separuh liter susu yogurt komersial, namun perlu dipastikan ia mengandungi kultur hidup.