Kuasai 70 Seni Kelarai
Coraknya yang indah seakan-akan ilusi optik dengan warna terang, memang mampu menarik sesiapa saja untuk meneliti hiasan dinding yang dihasilkan daripada anyaman mengkuang.
Namun sayangnya seiring peredaran zaman, semakin ramai melupakan seni tradisi itu, malah hanya segelintir individu terutama kalangan orang berusia yang masih memiliki ilmu dan kemahiran menganyam mengkuang.
Seni menganyam mengkuang sebagai perhiasan dinding suatu kemahiran tradisional yang sudah bermula lama sebelum zaman kemodenan Malaysia dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Seni tradisi ini selalunya dilakukan oleh kaum wanita ketika itu sebaik musim menuai tamat memandangkan mereka mempunyai lebih banyak masa lapang selepas penat membanting tulang di sawah.
Pada mulanya, mengkuang sering dianyam untuk dijadikan tikar sembahyang. Lazimnya, motif anyaman atau kelarai yang dihasilkan adalah berdasarkan alam semula jadi atau persekitaran berhampiran.
Nama setiap kelarai yang indah dan berbunyi klasik, menunjukkan ia berpandu kepada corak alam antaranya Bunga Melur, Tapak Harimau, Bunga Cengkih, Kepala Lalat, Sisik Ikan dan Bunga Teratai.
Kadangkala kelarai juga dinamakan sempena penciptanya seperti Kelarai Mok Mek yang direka Hajah Semek dari Terengganu atau berpandukan aktiviti mengisar padi seperti Kisar Mengiri.
Biarpun mempunyai nama yang indah serta corak yang memukau jika diperhatikan, seni menganyam mengkuang semakin dipinggirkan terutama anyaman yang dijadikan sebagai perhiasan dinding.
Akibatnya, semakin banyak kelarai anyaman yang semakin dilupakan, malah ada yang hilang ditelan zaman kerana tidak diberi perhatian oleh generasi baru yang lebih berminat dengan cabang seni moden lain.
Malah, generasi muda didapati tidak berminat dalam seni menganyam mengkuang kerana proses menyediakan daun mengkuang dilihat sebagai rumit dan melecehkan, selain setiap anyaman mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.
Dalam keadaan kebanyakan masyarakat semakin melupakan seni anyaman mengkuang untuk hiasan dinding, Allahyarham Ismail Salleh yang kembali ke rahmatullah pada 22 Januari lalu pada usia 72 tahun, sanggup berulang-alik dalam sehari dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghidupkan seni itu.
Pada usia yang lanjut, beliau yang berpengalaman sebagai guru seni juga sanggup pergi ke sekolah lamanya dan menawarkan ilmu menganyam mengkuang yang ada pada dirinya demi memastikan kemahiran itu tidak pupus begitu saja.
Malah, cintanya yang mendalam kepada seni anyaman mengkuang membuatkan Ismail sanggup mencari semula kelarai yang sudah hilang atau bertanya mereka yang tahu mengenai motif yang sudah tiada, supaya beliau boleh menghasilkan semula corak berkenaan.
Ada corak yang pernah dilihatnya juga dianyam semula, malah Ismail mampu menganyam kelarai mengkuang berdasarkan motif kain songket tradisional.
Dikenali sebagai Cikgu Ismail dalam kalangan muridnya, Ismail mula tertarik kepada anyaman sejak usia muda dan mula menghasilkan anyaman mengkuang sebagai perhiasan dinding biarpun seni berkenaan lebih banyak dikuasai oleh wanita.
Komitmen tidak berbelah-bahagi dan minat mendalam pada seni anyaman mengkuang membuatkan Ismail berjaya menguasai lebih 70 seni kelarai yang ada antaranya sudah pun pupus.
Sebagai menghargai usaha yang dilakukan Ismail bagi terus menyuburkan seni tradisional itu, lebih 30 hasil anyamannya kini dipamerkan sepanjang Februari ini di Galeri NN, Jalan Sulaiman 1, Taman Ampang Hilir, untuk disaksikan pencinta seni tradisional.
Menurut Pengurus Galeri NN, Sharifah Nor Akmar Syed Nahar, pada awalnya kira-kira 70 anyaman mengkuang dihasilkan Ismail dipamerkan, namun kebanyakannya sudah dibeli oleh peminat seni tradisional bagi dijadikan koleksi peribadi mereka, memandangkan seni berkenaan yang semakin pupus dalam kalangan masyarakat Melayu.
Selain motif anyaman yang indah, hasil kerja seni Ismail juga istimewa kerana beliau melakukan sendiri setiap proses bermula daripada tugas mencari daun mengkuang, mencuci dan mengeringkannya sehinggalah kepada mewarnakan dan menganyam.
“Oleh kerana minatnya yang mendalam pada kerja seni ini, peralatan yang digunakan untuk memotong, membersihkan dan membuang duri daun mengkuang juga dicipta sendiri oleh Cikgu Ismail.
“Dia turut menawarkan kepada siapa saja yang berminat untuk belajar menganyam mengkuang, namun sayangnya tidak ramai yang berminat dan mereka tidak betul-betul memberi komitmen atau serius untuk menghasilkan kelarai yang dipelajari.
“Mungkin proses yang panjang, rumit dan mengambil masa yang lama membuatkan mereka kurang berminat. Individu seperti Cikgu Ismail amat penting dalam memulihara sejarah kebudayaan tradisional yang semakin hilang,” katanya.
Sharifah Nor Akmar mengakui, setiap anyaman mengkuang memerlukan kesabaran yang tinggi dan juga ketelitian bagi menghasilkan seni yang kemas dan cantik.
Ini kerana setiap helaian mengkuang yang halus perlu diselang-seli antara satu sama lain untuk menghasilkan corak yang dikehendaki dan sekiranya berlaku kesilapan, ia perlu diurai semula sebelum boleh disusun kembali, seterusnya memakan masa yang panjang hingga berminggu-minggu.
Kegigihan Ismail yang sudi mengajar sesiapa saja yang berminat bercambah daripada kebimbangan seni berkenaan akan pupus memandangkan kemahiran itu tidak diajar di peringkat sekolah ketika ini.
Sedangkan pada zaman sebelumnya, seni tradisional termasuk anyaman mengkuang turut mendapat tempat dalam kokurikulum pelajaran untuk pelajar semuda darjah dua di sekolah rendah.
“Beliau bimbang seni ini akan berlalu begitu saja kerana tiada pelapis dan kita juga tentunya sedih sekiranya seni ini dilupakan dan tiada pelapis yang dapat meneruskan seni ini.
“Kebetulan dalam satu lawatannya ke Kuala Lumpur pada 2007, Cikgu Ismail datang ke galeri ini dan kami berbual sebelum beliau memaklumkan boleh menghasilkan anyaman.
“Saya memintanya menunjukkan kepada saya dan kemudian ia dipamerkan di sini kerana tidak ramai yang tahu menganyam dan sekiranya tahu pun, mereka hanya lakukan sebagai hobi dan tidak komited untuk menghasilkannya,” katanya.
Menurutnya, seorang yang peramah, Ismail mempunyai minat yang tinggi untuk memelihara seni berkenaan biarpun pada usia yang sudah lanjut dan warisannya diteruskan pihak galeri dengan mempamerkan hasil kerjanya yang indah.