Kulit Putih Lebih Berisiko

Kanser menyerang tidak mengira usia. Ia boleh terjadi kepada sesiapa saja walaupun kita beranggapan badan sentiasa sihat dan bergerak aktif.

Semua jenis kanser termasuk yang menyerang kanak-kanak disebabkan pertumbuhan sel di luar kawalan dan tumbuh dengan luar biasa dari segi saiz serta bentuk.

Sel kanser tidak mempedulikan sel lain di dalam badan, sekali gus memusnahkan sel bersebelahan dan boleh merebak hingga ke organ serta tisu lain.

Menerusi pertumbuhan sel kanser, ia memerlukan lebih makanan di dalam badan. Kanser mengakibatkan daya tahan badan seseorang itu menurun, memusnahkan organ dan tulang selain melemahkan sistem imun badan untuk melawan penyakit.

Antara kanser yang jarang berlaku di negara ini namun masih berbahaya adalah kanser kulit.

Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Prince Court Dr Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, kebanyakan kes kanser kulit di negara ini ditemui dalam kalangan ekspatriat (orang asing yang bekerja dan tinggal di negara ini).

“Kebanyakan golongan ini gemar berjemur di bawah cahaya matahari dalam tempoh lama untuk mendapatkan warna kulit keperang-perangan.

“Mereka tahu, antara punca kanser kulit adalah pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari. Lazimnya, mereka yang gemar berjemur dan sering terdedah di bawah cahaya matahari akan menyebabkan kerosakan teruk pada kulit, sekali gus menjurus kepada kanser.

“Kebanyakan kanser kulit berlaku selepas umur 50 tahun, tetapi kesan kerosakan akibat matahari bermula pada usia lebih awal,” katanya.

Tambahnya, pencegahan awal perlu dilakukan seperti sentiasa memastikan
kulit tidak terdedah dengan cahaya matahari melalui pakaian yang menutup
kulit.

Selain itu, penggunaan aksesori lain seperti topi dan kaca mata hitam sangat penting ketika individu itu terdedah dengan cahaya matahari yang terik.

Bukan itu saja, malah kita juga perlu mengamalkan diet sihat setiap hari dengan mengambil lebih banyak sumber sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mengekalkan tubuh sihat.

Ujarnya, pencegahan awal lebih baik kerana tiada ubat untuk merawat kanser. Rawatan dilakukan hanya untuk melanjutkan usia pesakit.

“Kos rawatan untuk merawat kanser kulit juga tinggi terutama apabila pesakit sudah berada pada tahap empat.

“Namun, rawatan kanser kulit dilakukan bergantung kepada jenis kanser, lokasi, saiz kanser dan umur pesakit. Selain itu, jenis rawatan yang akan diberikan turut melihat sama ada kanser kulit dihidapi kali pertama atau ia berulang,” katanya.

Jenis kanser kulit

Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru Ratnavelu pula berkata, kanser kulit adalah ketumbuhan pada kulit disebabkan sel yang tidak normal.

“Terdapat tiga jenis utama kanser kulit iaitu basal cell carcinoma, squamous cell carcinoma dan melanoma. Basal cell carcinoma umumnya tidak merebak ke bahagian lain tetapi ia boleh merosakkan tisu pada bahagian yang dikesan.

“Melanoma adalah kanser kulit paling bahaya kerana ia boleh membesar dan merebak ke organ badan lain dengan cepat,” katanya.

Tambahnya, melanoma adalah ketumbuhan di atas kulit dan kebiasaannya, beberapa warna berkisar daripada perang kepada hitam.

Kita boleh melihat warna biru, merah atau putih sebagai sebahagian daripada warna melanoma dan bentuknya pelbagai, termasuk ketulan.

Apabila melanoma merebak ke bahagian lain menerusi saluran darah, ia akan tumbuh dan membiak. Jika terkena organ penting, kanser itu boleh membawa maut.

Faktor risikoM

Banyak faktor yang boleh menyebabkan kanser kulit selain pendedahan terhadap cahaya matahari termasuk jenis kulit, faktor genetik dan sistem ketahanan badan yang lemah.

Pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraunggu (UV) akan merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA), sekali gus menyebabkan kanser kulit. Penggunaan krim pelindung matahari yang berlebihan untuk menggelapkan warna kulit akan meningkatkan risiko seseorang itu mendapat barah kulit.

Jenis kulit. Individu yang mempunyai jenis kulit cerah mempunyai risiko lebih tinggi berbanding mereka yang memiliki kulit gelap.

Faktor genetik. Terdapat beberapa jenis penyakit genetik yang menyebabkan pesakit lebih sensitif kepada pancaran matahari.

Misalnya, pesakit yang menghidap Xeroderma Pigmentosum – gangguan pada kulit yang jarang berlaku apabila penghidapnya sangat sensitif terhadap sinaran UV termasuk UVA, UVB, dan UVC disebabkan hipersensitiviti sel kepada cahaya berkenaan akibat kecacatan dalam mekanisme pemulihan DNA.

Jika pesakit menghidap XP, ia tidak dapat memulihkan sel kulit yang rosak selepas pendedahan kepada pancaran matahari kerana kekurangan mekanisma untuk memperbaiki DNA yang rosak berbanding individu normal.

Akibatnya, kulit pesakit sangat sensitif dan sering terbakar jika terdedah kepada pancaran matahari.

Mereka lebih cenderung menghidap penyakit kanser pada usia yang muda. Namun, penyakit genetik berkenaan jarang berlaku.

Kekurangan sistem ketahanan badan. Pesakit yang mendapatkan rawatan selepas pemindahan organ mempunyai risiko lebih tinggi mendapat penyakit kanser kulit.

Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV). Jangkitan virus ini memainkan peranan penting dalam pembentukan kanser terutama kanser vulva (bahagian luar alat
jantina perempuan) dan zakar.

Pendedahan kepada arsenik dan radiasi. Pendedahan kepada bahan kimia seperti arsenik boleh meningkatkan risiko mendapat kanser kulit.

Kadar arsenik yang lebih tinggi daripada paras dibenarkan boleh didapati daripada meminum air perigi yang tercemar. Sumber lain keracunan arsenik adalah daripada ubat-ubatan tradisional.

Selain itu, pendedahan seseorang kepada pancaran radiasi juga meningkatkan risiko mendapat kanser kulit.

Ulser kronik. Individu yang mempunyai ulser yang tidak sembuh selepas bertahun-tahun ataupun parut yang tertentu mungkin mempunyai kecenderungan menjadi barah kulit pada jangka masa panjang.

Tanda-tanda kanser kulit

Kanser kulit lebih cenderung membabitkan bahagian badan yang mudah terdedah dengan pancaran sinaran UV seperti muka, kepala, leher dan lengan
Ia mempunyai bentuk berlainan, bergantung kepada jenis kanser termasuk perubahan pada kulit yang tidak boleh sembuh, ulser, perubahan warna dan rupa tahi lalat yang sedia ada.

Basal cell carcinoma mungkin bermula daripada satu tompok kulit kecil yang semakin membesar menjadi tompok bulat atau bujur dan seterusnya menjadi ketumbuhan.

Ia mungkin berdarah pada bahagian tengah, sekali gus membentuk ulser dinamakan ‘rodent ulcer’. Squamous cell carcinoma pula berwarna merah dan berbentuk tidak sekata.

Lazimnya, ia meninggalkan rasa sakit apabila disentuh dan boleh membentuk ulser. Bahagian tepinya lebih tinggi berbanding bahagian tengah.

Sementara itu, melanoma lazimnya berwarna gelap atau hitam walaupun kadangkala mempunyai rona coklat terang. Biasanya, permukaan kanser berkenaan tidak sekata. Pada peringkat awal, tahi lalat mempunyai bahagian tepi yang tidak sekata dengan pelbagai warna.

Diameter kanser melanoma biasanya melebihi enam milimeter. Pengesanan kanser kulit memerlukan gabungan tanda-tanda klinikal penyakit dan biopsi kulit.

Justeru, sebarang keadaan kulit yang mencurigakan perlu mendapat pemeriksaan daripada doktor dengan segera.

Pencegahan

Mengurangkan pendedahan kepada pancaran matahari terutama kepada individu yang berkulit cerah.

Mengelakkan pendedahan kepada pancaran matahari pada waktu yang mempunyai kadar UV tinggi iaitu bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

Memakai pakaian yang menutup kulit serta topi apabila melakukan aktiviti di bawah pancaran matahari.

Menggunakan krim pelindung matahari yang dapat menghalang pancaran UVA dan UVB satu jam sebelum terdedah kepada pancaran matahari.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

669 views