Kumpul RM15,000

Ada yang berjalan kaki, ada juga yang berlari. Tidak kurang juga yang berbasikal, menolak kereta sorong bayi dan berkerusi roda.

Walau apa jua bentuk atau cara pilihan, mereka hadir atas kesedaran memelihara alam sekeliling kita.

Kempen kesedaran Aveda Walk for Water 2013 ini cuba menerapkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat dan pada masa sama, memberi maklumat serta kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan air.

Memetik kata-kata Presiden EcoKnights, Yasmin Rasyid, bergerak ke arah matlamat melestarikan bumi memerlukan perubahan asas dalam sikap serta tingkah laku manusia.

“Kemajuan atau perkembangan ke arah matlamat ini banyak bergantung kepada aspek pendidikan dan kesedaran awam.

“Konsep pembangunan lestari untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera ini bukanlah perkara mudah tetapi tidak sukar pula untuk dimulakan.

“Dengan adanya aktiviti menyeronokkan seperti ini, ia bukan saja mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga serta sahabat handai tapi membolehkan kita sebagai manusia mengambil inisiatif terhadap penjagaan alam sekitar,” ujarnya.

Bertempat di Publika, Solaris Dutamas, aktiviti berjalan kaki ini dimulakan seawal jam 8 pagi dengan aerobik sebagai senaman pemanas badan.

Seramai 500 peserta pelbagai peringkat umur dilepaskan serentak dan perlu mengelilingi Publika sejauh 2.5 kilometer bagi melengkapkan acara.

Di sepanjang laluan terbabit, peserta boleh mencuba cabaran tambahan seperti mengangkat dua baldi yang dipenuhi air sejauh 150 meter, selain berhenti di beberapa petak informasi yang menyediakan maklumat menarik mengenai air.

Tambah Yasmin, acara ini sebenarnya diadakan bagi mengutip dana sebanyak RM15,000 untuk menyokong projek air bersih di Pulau Mantanani, Sabah.

“Tiada bayaran penyertaan dikenakan untuk menyertai aktiviti ini tetapi peserta boleh menderma menerusi pembelian topi Aveda berharga RM10.

“Dengan bantuan masyarakat dan badan korporat seperti Maybank, kami berjaya mencapai sasaran itu dan diharapkan mendapat sokongan berterusan selepas ini,” katanya.

Sokong gaya hidup sihat

Menurut Pembantu Naib Presiden bagi Kemapanan dan Hal Ehwal Korporat Maybank, Sharifah Nur Izma Syed Izuddin, pembabitan 100 kakitangan syarikat itu menandakan permulaan kehidupan sihat dalam kalangan masyarakat.

“Maybank menjalin bekerjasama dengan EcoKnights dalam meningkatkan lagi usaha memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kelestarian alam.

“Menerusi penyertaan daripada kakitangan Maybank, langkah ini diharap dapat mencambah lagi minat dalam menjalani kehidupan yang lebih hijau dan lebih sihat.

“Pastinya ini bukan yang terakhir dan pihak kami akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial agar lebih ramai masyarakat menikmati dunia yang lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,591 views