Kurang Nutrisi Rendah IQ

Pertumbuhan tulang yang agresif berlaku pada waktu kritikal tumbesaran ketika usia bayi sehingga remaja. Ketika itulah ia memerlukan vitamin D secukupnya supaya proses berkenaan berlaku secara normal.

Pengambilan vitamin D yang mencukupi juga dapat mengelak masalah pertumbuhan terbantut yang bukan saja boleh menjejaskan penampilan seseorang, tetapi juga memberi impak kepada tahap kecerdasan (IQ) kanak-kanak.

Kajian mendapati apabila seseorang kanak-kanak tidak mendapat vitamin D mencukupi, pertumbuhan tulangnya akan terbantut. Keadaan itu bukan saja menyebabkan kanak-kanak memiliki fizikal yang lebih pendek, tetapi mereka memiliki IQ jauh lebih rendah berbanding rakan sebaya yang mendapat nutrien vitamin D secukupnya dalam diet harian masing-masing.

Malangnya, berdasarkan Kajian Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS), biarpun dalam keadaan negara yang sedang membangun, masih ramai kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kekurangan vitamin D.

Keadaan ini berpunca daripada pelbagai faktor antaranya diet tidak seimbang, kurang aktiviti luar dan pendedahan terhadap matahari yang akan membantu memproses vitamin D sebaik cahaya lembayung (UV) terkena pada kulit dalam tempoh secukupnya setiap hari.

SEANUTS adalah kajian menyeluruh mengenai nutrisi membabitkan seramai 3,542 kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun dari kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Ia dijalankan dengan kerjasama antara FrieslandCampina bersama empat pusat kajian dan universiti antarabangsa, kajian selama empat tahun itu membabitkan 16,744 kanak-kanak di empat negara rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Kadar pengambilan nutrien kanak-kanak itu diuji melalui ujian darah, kiraan lemak tubuh, imbasan ketumpatan tulang, pengambilan diet, temu ramah dengan ibu bapa dan mengambil kira aktiviti fizikal yang dilakukan dalam sehari.

Ketua Program Sains Nutrisi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Poh Bee Koon berkata, kajian berkenaan yang pertama seumpamanya pernah dijalankan di negara ini.

Selain kadar vitamin D, kajian itu juga meliputi kesihatan kanak-kanak secara menyeluruh termasuk kesihatan kanak-kanak meliputi pengambilan nutrisi dalam diet seharian dan berat badan mereka.

Menerusi kajian berkenaan, seramai 20 peratus kanak-kanak didapati mengalami masalah kegemukan melampau di negara ini manakala hampir 50 peratus kanak-kanak tidak mendapat vitamin D mencukupi.

“Selain diet, paling penting kanak-kanak perlu mendapat pendedahan secukupnya kepada pancaran matahari tanpa sebarang perlindungan daripada krim pelindung UV supaya vitamin D dapat dihasilkan untuk menguatkan tulang dan membantu tumbesaran sihat.

“Ramai orang ambil mudah kerana mereka ingat berada di negara yang panas seperti Malaysia, mereka tentu akan dapat vitamin D tetapi mereka silap. Kebanyakan masa mereka hanya mendapat cahaya dan haba bukannya UV disebabkan sering melindungi diri daripada matahari.

“Memang pelik kerana kita berada di negara yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun tetapi kanak-kanak di sini masih mengalami masalah kekurangan vitamin D.

“Keadaan ini berlaku kerana persepsi orang Asia bahawa kulit yang putih menjadi lambang kepada rupa paras yang menawan. Kita sentiasa menghalang cahaya matahari terkena pada kulit sedangkan tubuh memerlukan cahaya matahari untuk ditukarkan kepada vitamin D,” katanya pada pembentangan mengenai hasil kajian itu pada majlis anjuran Dutch Lady Malaysia yang turut dihadiri Pengarah Urusannya Rahul Colaco.

Kata Dr Poh, ibu bapa perlu membenarkan anak mereka bermain di luar supaya mereka terdedah kepada cahaya matahari. Jika tidak pertumbuhan mungkin terbantut menyebabkan anak mereka mempunyai ketinggian serta IQ yang rendah.

Apa yang penting katanya, kanak-kanak perlu membesar secara konsisten dan mereka perlu dirujuk kepada doktor pediatrik dari semasa ke semasa biarpun dalam keadaan sihat bagi memastikan pertumbuhan yang sihat.

“Ibu bapa juga perlu berhenti menyuruh anak duduk diam sebaliknya menggalakkan aktiviti kecergasan dan bermain di luar kerana ia penting untuk pertumbuhan fizikal dan IQ yang sihat.

“Tidak banyak makanan yang mengandungi vitamin D secara semula jadi antaranya ikan berlemak dan organ dalaman. Satu-satunya sumber makanan terbaik yang menyalurkan vitamin D kepada tubuh adalah susu, tidak kira apa jenis susu sama ada penuh lemak atau tepung,” katanya.

Menurutnya, kajian mendapati kanak-kanak yang aktif dan sihat mempunyai IQ lebih baik sementara kanak-kanak kurang nutrisi mempunyai IQ tiga kali lebih rendah manakala kanak-kanak yang memiliki berat badan berlebihan pula mempunyai IQ dua kali rendah.

Aktif satu jam sehari

Pakar perunding pediatrik Dr Yong Junina Fadzil berkata, dalam kalangan kanak-kanak, pengambilan pemakanan seimbang boleh menentukan sama ada mereka mendapat nutrien dan vitamin D secukupnya daripada diet mereka.

Namun katanya, kajian yang dijalankan itu mendapati terdapat dua kategori kanak-kanak yang dikenal pasti mengamalkan pemakanan tidak sihat seterusnya menjejaskan nutrien atau kandungan vitamin D iaitu kurang berat badan atau terlebih berat badan.

“Aktiviti luar juga membantu memberikan tulang yang sihat dan pemakanan seimbang membantu vitamin D diproses dalam badan. Keadaan ekonomi yang semakin baik membuatkan semakin ramai kanak-kanak menjadi gemuk kerana makan dengan banyak selain tidak keluar rumah untuk melakukan aktiviti beriadah atau bermain.

“Sikap ibu bapa yang terlalu risau dengan keselamatan anak juga menyebabkan mereka terkurung di rumah dan hanya bermain permainan video atau menonton televisyen.

“Keadaan itu menjejaskan kesihatan anak. Kanak-kanak yang memiliki berat badan berlebihan selalunya akan membesar sebagai individu yang gemuk dan ini boleh menjejaskan potensi diri mereka,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak di Malaysia bukan saja kekurangan vitamin D kerana kurang pendedahan kepada matahari kerana tidak keluar bermain, ia juga boleh disebabkan faktor jerebu yang memaksa mereka duduk di dalam bangunan.

Mengikut teori, seseorang perlu terdedah kepada pancaran matahari sekurang-kurangnya selama 20 minit sehari untuk mendapat vitamin D mencukupi, namun ia sebenarnya bergantung kepada warna kulit seseorang iaitu mereka yang lebih gelap perlukan masa pendedahan lebih panjang.

“Kanak-kanak perlu membesar pada kadar normal dan mengikut berat badan ketika lahir. Kalau berat badan naik dengan terlalu pantas, ia juga tidak bagus untuk mereka. Apa yang penting mereka harus aktif, berat badan meningkat, tinggi meningkat dan sihat.

“Kadangkala ibu bapa perlu diberi nasihat supaya tidak terlalu risau mengenai anak mereka kerana ada yang datang berjumpa doktor dan mengatakan anak mereka tidak mahu makan apa-apa sedangkan anak mereka mungkin tidak mahu makan nasi tetapi mengambil roti. Ia sepatutnya tidak memberi sebarang masalah kerana kedua-duanya adalah karbohidrat,” katanya.

Dr Yong berkata, kanak-kanak disaran aktif di luar rumah sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk memastikan pertumbuhan yang sihat. Ini bagi memastikan badan mendapat vitamin D yang cukup serta berat badan yang ideal.

Jika badan tidak mendapat vitamin D mencukupi, kalsium kurang diserap sehingga badan akan menyerap kalsium yang ada pada tulang. Kesan jangka panjang adalah penyakit riket dalam kalangan kanak-kanak dan osteoporosis ketika usia lanjut terutama dalam kalangan wanita.

“Kanak-kanak adalah masa depan negara. Membantu pertumbuhan normal mereka bermakna kita membantu IQ mereka dan masa depan yang lebih cerah untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar fizikal dan sukan daripada Kementerian Pelajaran, Dr Mehander Sing berkata, ibu bapa mempercayai mitos bahawa kanak-kanak sememangnya aktif dan tidak perlu keluar rumah dan menyertai aktiviti riadah sedangkan ia sebaliknya.

Kanak-kanak zaman moden amat berbeza dengan kanak-kanak zaman dulu yang lebih banyak bergerak termasuk berjalan kaki ke sekolah atau bermain permainan kampung yang lasak sehingga tidak perlu menyertai sebarang kelab sukan.

“Ketika ini, satu-satunya aktiviti luar mereka disediakan pihak sekolah. Ibu bapa perlu menyokong aktiviti fizikal kerana ia dapat meningkatkan pengajaran di dalam kelas.

“Kanak-kanak bermain mengikut rentak mereka dan tidak boleh dipaksa mengikuti aktiviti secara berterusan. Biarkan mereka bermain di luar sehingga puas. Biar mereka aktif dan berlari ke sana-sini kerana ia memang ada dalam naluri mereka.

“Jika ibu bapa sentiasa suruh anak-anak duduk diam, mereka akan secara perlahan-lahan menjadi pasif. Mereka sepatutnya dibiarkan bermain apa saja asalkan mereka bergerak aktif dan sihat,” katanya.

Menurutnya, kajian membuktikan kanak-kanak yang pasif akan membesar menjadi orang dewasa yang pasif seterusnya merencatkan potensi mereka untuk muncul sebagai individu berjaya.

Pada masa sama, harus diberi perhatian usia kritikal dalam memastikan perkembangan yang sihat fizikal dan mental adalah antara empat tahun hingga akhir remaja.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

557 views