Kurung Moden Lengan Berbutang

Jika dua tahun tahun lalu pereka dan juga pemilik Zaida’s Collection, Zaida Abd Aziz, mengetengahkan potongan peplum sifon yang menjadi ikutan dalam kalangan pencinta fesyen, tahun ini dia menjangkakan penggunaan fabrik kapas kembali mengambil alih dan dipelbagaikan menerusi jenis kain, corak dan warna.

Ketika ditemui di butik di Seri Bangi, Bandar Baru Bangi, wanita ini sudah membuat persiapan menjelang Syawal dengan mengetengahkan pelbagai rekaan yang mampu menarik perhatian wanita. Ujarnya kaum Hawa masih inginkan keselesaan dalam penampilan sebelum beralih kepada corak dan warna. Oleh itu dengan memperkenalkan kapas satin polos diharap padanan ini mampu menjadi pilihan untuk seisi keluarga.

“Sejak dulu lagi kapas menjadi antara fabrik kegemaran wanita disebabkan ciri istimewanya seperti tidak panas, lembut dan menyerap peluh. Tambah pula apabila dipakai dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Menyedari kain ini mempunyai pelbagai jenis saya memilih kapas satin kerana lebih tebal daripada biasa. Malah, ton warna juga berbeza serta mempunyai ratusan rona yang jarang dijadikan rekaan baju,” katanya.

Bermain dengan warna terang serta gabungan yang serasi, Zaida mencipta kelainan pada helaian rekaannya apabila menghasilkan baju kurung moden dengan lengan berbutang. Ini kerana sebelum ini dia sudah terbiasa dengan perincian manik pada bahagian baju jadi tidak salah menghasilkan sesuatu yang berbeza.

Lebih menawan apabila ada rekaan dihasilkan bersama reben pada bahagian hadapan dan belakang sebagai cetusan gaya berhias bagi menampakkan kesan lebih menyerlah dan mewah.

“Sengaja saya hasilkan baju kurung moden bersama reben di pinggang kerana selama ini reben hanya dianggap sebagai perhiasan pada gaun berkonsep Inggeris. Namun, tiada salah atau betulnya apabila konsep yang sama digunakan untuk padanan baju kurung moden ini. Malah, warna reben tidak semestinya sewarna apabila saya memilih rona berbeza bagi menjadikan penampilan lebih menonjol,” katanya yang mengeluarkan tiga warna berbeza.

Menjelaskan mengenai idea yang sentiasa segar dan berubah setiap tahun jelas wanita yang kini mempunyai tiga butik ini, ilham rekaan biasanya datang secara tiba-tiba. Kadang-kadang persekitaran, apa yang dilihat serta dilakukan menjana idea bagi menghasilkan lakaran bermutu serta disukai pelanggan.

Jika baju kurung dihasilkan lebih pendek kainnya juga sedikit berbeza dengan mengetengahkan kain kembang payung supaya menampakkan pergerakan yang lembut kala dipakai. Namun, dia masih mengekalkan kain selisih hadapan yang digayakan dengan baju kurung moden biasa untuk mereka yang sudah terbiasa dengan potongan ini.

Gabungan dua warna terang seperti hijau dan merah, jingga dan merah jambu juga perlulah serasi dan tidak nampak janggal. Untuk itu sebelum memilih fabrik dia akan memadankan dulu, sekiranya nampak cantik pada pandangan mata barulah fabrik ini digunakan.

Bagi menyiapkan pakaian dalam tempoh ditetapkan, Zaida mempunyai ramai tukang jahit di kawasan berbeza. Misalnya baju Melayu lelaki dijahit di Klang, baju kurung dihantar ke Gombak manakala tudung dijahit di Selayang.

Zaida mempunyai alasan mempunyai ramai tukang jahit kerana mereka mampu menyiapkan keperluan mengikut tempoh ditetapkan. Berbeza sekiranya dia mempunyai seorang tukang jahit, bimbang sekiranya pakaian tidak dapat disiapkan dalam masa ditetapkan. Ia secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang.

“Memang saya cukup teliti dalam menyediakan pakaian terutama ketika musim perayaan ini kerana berdasarkan pengalaman lalu, masyarakat sanggup berbelanja besar untuk membeli pakaian asalkan memenuhi tema. Ada yang membeli dua hingga tiga pasang seorang, belum termasuk baju anak-anak. Sebab itu saya perlu memastikan keperluan baju mencukupi untuk tiga bulan pertama,” katanya.

Keistimewaan kapas satin yang digunakan dalam koleksi Zaida ialah ia senang dijaga dan warnanya tidak luntur. Jadi tiada masalah untuk dicuci dengan pakaian berwarna yang lain.

Selain pakaian Zaida’s Collections turut menyediakan tudung pelbagai rekaan termasuk bersengkuap dan selendang. Masih mengekalkan fabrik sifon, tudung bersengkuap ini direka dengan meletakkan kerongsang berbentuk bunga supaya pelanggan tidak perlu memakai perhiasan tambahan yang lain.

“Kebiasaannya tudung jenis sifon diletakkan kerongsang, namun saya membuat kelainan dengan menggunakan bunga sebagai perhiasan bagi mengelak ia tertanggal atau terbuka. Ramai pelanggan memberikan maklum balas positif mengenai gaya terbaru ini,” katanya yang menyediakan ukuran berbeza seperti S sehingga L.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

562 views