Kuyam Kongsi Minat

KITA sangka mempunyai hobi tetapi ke mana semua–nya? Ketiadaan hobi apabila bercuti panjang kononnya mahu digantikan dengan tidur namun hakikatnya, sebanyak mana kita boleh menjadikan tidur sebagai maraton?

Hobi dan kerja adalah perkara berbeza. Ada orang menjadikan hobinya sebagai sumber pendapatan tetapi lama-kelamaan hobi itu membosankan kerana dia sudah terikat dan tidak lagi relaks. Bukankah hobi sepatutnya menenangkan dan dibuat mengikut masa sendiri?

Sekiranya hobi yang anda miliki sekarang tidak lagi hobi sebaliknya boleh dikatakan kerja, nampaknya anda perlukan hobi baru. Hobi yang tiada kena mengena dengan tempahan dan panggilan telefon daripada pelanggan yang mahu anda membuat kek cawan atau lapik meja berkait mengikut selera dan waktu yang mereka tentukan.

Hobi Raja Mariam Raja Mohamed, 52, mungkin boleh dijadikan ikutan. Menggabungkan dua minatnya, fotografi dan menulis, Raja Mariam atau lebih mesra di panggil Kuyam mahu berkongsi pandangannya dengan insan lain.

Sudut pandangan kita dalam menilai dan ‘membaca’ sesebuah gambar mungkin tidak sama sesama manusia atau dengan tuan punya gambar itu sendiri. Gambar memberi makna yang sangat istimewa bagi mereka yang menghargainya, namun bukan semua orang berminat bercerita atau menulis cerita mengenai gambar itu.

Kuyam sendiri memberi makna pada gambarnya de–ngan menamakannya sebagai esei bergambar.

“Apabila saya membuat esei bergambar, ini kerana saya mahu berkongsi sesuatu dengan orang lain dari sudut yang saya nampak. Orang lain yang melihat gambar itu mungkin berasa ia sekadar gambar biasa tapi sebenarnya dari sudut pandangan saya, ada perkara lain di sebalik–nya,” katanya.

Menulis esei bergambar, Kuyam meletakkan emosi pada setiap gambar yang kaku itu. Dia mula minat menulis dan bidang fotografi sejak di bangku sekolah lagi. Namun kekangan masa membuatkan ia ditinggalkan sekian lama sehinggalah minat itu hidup kembali sejak adanya laman sosial dan Internet.

Ruang di laman sosial memberi peluang baginya menggabungkan kedua-dua minat dan hobi itu sekali gus, justeru, bermulalah aktivitinya memuat naik esei bergambar pada 2010.

“Ia timbul semula apabila saya ingin berkongsi cerita sejarah terutama mengenai bangunan warisan yang unik di kampung saya, Bukit Chandan seperti Baitul Rahmah, Baitul Anor, Istana Kenangan dan seumpamanya.

“Jadi saya kongsi gambarnya. Tanpa gambar, tulisan akan jadi agak hambar, begitu juga sebaliknya. Itulah permulaannya dan selepas itu, apabila minat fotografi menjadi bertambah mendalam hinggakan tidak boleh berpisah dengan kamera, saya mengabadikan imej menarik tidak kira landskap, manusia atau peristiwa dan saya tulis ceritanya sekali,” katanya.

Proses Kuyam dalam menghasilkan esei bergambar tidaklah mengikut turutan tertentu. Kadang-kadang apa yang hendak diceritakan sudah ada di dalam kepala dan kemudian baru mengambil gambar. Adakalanya dia mengambil gambar terlebih dulu.

Setakat ini, Kuyam hanya berkongsi esei bergambar dengan rakan dan saudara di laman sosial.

“Laman sosial ialah platform terbaik bagi saya kerana ia paling mudah untuk berkongsi dan memaparkan esei bergambar saya. Kini, saya sudah mempunyai 20 esei bergambar yang dibuat pada masa terluang dan diletak di bahagian ‘notes’ di facebook. Apa yang nyata, saya sangat berpuas hati dan seronok dengan penghasilan esei bergambar ini.

“Contohnya esei bergambar mengenai kehidupan nelayan di Pantai Sri Mersing, Medan. Gambar yang saya abadikan itu menyentuh hati. Bagaimana sifat reda dan rajin nelayan di situ yang membanting tulang dengan kaedah penangkapan ikan yang masih primitif berbanding tempat lain.

“Hasil tangkapan pula amat sedikit selepas semalaman di tengah laut tetapi mereka tidak merungut. Mereka reda dengan rezeki yang Allah berikan. Ini membuat saya rasa insaf dan ingin berkongsi perasaan dengan orang lain yang melihat gambar itu. Mudah-mudahan orang lain mendapat iktibar daripada esei bergambar itu,” katanya.

Cerita yang ditulis Kuyam selalunya berunsur teladan, menyentuh hati atau berkaitan sejarah. Sekiranya betul-betul menumpukan perhatian, dia dapat menyiapkan satu esei bergambar dalam masa sehari dan tidak pernah melebihi seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

604 views