La Senza Tampil Imej Ceria, Seksi

MENEPATI rentak gaya hidup masa kini yang gemarkan elemen muda, ceria serta seksi, La Senza tampil dengan koleksi musim cuti terbarunya.

Mengetengahkan tema Hello Sugar, definisi seksi diserlahkan dalam pemilihan baju dalam mahupun baju tidur yang menggunakan fabrik renda.

Tidak cukup dengan itu, jenama pakaian dalam berasal dari Kanada ini turut menampilkan koleksi Beyond Cleavage yang membolehkan golongan wanita menyerlah lebih sensasi.

Konsep seksi ini amat berkaitan dengan gaya potongan dan warna yang terdapat pada koleksi dan ciri hiasan dalaman butik. Paparan seksi bukan saja untuk menarik perhatian dan menimbulkan daya tarikan, tetapi juga membina keyakinan.

Bagi mereka yang mahu tampil penuh yakin dan sedikit berlebihan, koleksi Show Off pilihan tepat.

Menggunakan banyak fabrik renda, kapas dan membolehkan tubuh menjadi seksi, koleksi ini menonjolkan personaliti serta pesona diri.

Di samping memperkenalkan barisan koleksi musim cutinya, jenama ini turut mengumumkan pembukaan butik terbarunya di pusat beli-belah Suria KLCC.

Cetusan inspirasi daripada gadis ikon pin-up yang popular pada 1950-an, butik ini dihias dengan dekorasi menggoda dan menyeronokkan.

Motif seni polka dot yang comel dan disukai gadis dan wanita memenuhi kebanyakan ruang di butik berkenaan.

Selain pakaian dalam seperti baju dan seluar dalam wanita, butik itu juga menawarkan rangkaian pakaian tidur, korset, pakaian untuk ke pantai serta sesuai dipakai untuk melakukan beberapa aktiviti riadah lain seperti yoga.

Secara keseluruhan, koleksi diketengahkan menampilkan keindahan renda dan ada yang menggunakan hiasan manik bagi menampilkan gaya feminin, cantik dan seksi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,804 views