Lambang Perpaduan Pelbagai Bangsa

Kata orang, setiap kain sarung tidak kisahlah kain batik atau pelekat pasti ada kisahnya. Kata orang juga, kalau sudah namanya orang Malaysia, pasti ada sekurang-kurangnya sehelai kain sarung dalam simpanan – tanpa mengira agama dan bangsanya.

Minggu lalu, beberapa hentian LRT sekitar Kuala Lumpur bagaikan saksi betapa sehelai kain sarung berupaya mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Ia sekali gus mengenepikan sentimen perkauman yang cuba dititipkan golongan yang kurang gembira atau enggan memahami erti permuafakatan sebenar.

Kesinambungan penganjuran aktiviti dikenali #KeretapiSarong yang diperkenalkan sejak 2012 ini nyata masih berpaksikan kepada objektif asalnya – mengajak masyarakat menaiki kereta api sambil memakai sarung yang turut memupuk semangat kekitaan sambil berhibur.

Dianjurkan oleh RandomAlphabets (RA), sebuah organisasi yang tidak berteraskan keuntungan, aktiviti ini bermula sekitar Kuala Lumpur sebelum pengaruhnya merebak ke beberapa bandar raya utama seluruh dunia.

Lyon dan Besancon di Perancis, Melbourne (Australia), Manchester (United Kingdom), New York dan Ohio (Amerika Syarikat) adalah sebahagian daripada 11 bandar raya yang menyertai aktiviti #KeretapiSarong kali ini.

“Objektif kami jelas dan mudah. Kami mahu masyarakat Malaysia berkumpul, bertemu dan saling berkenalan sambil melakukan aktiviti menyeronokkan.

“Tiada had usia, tiada paksaan dan tiada bayaran, kecuali tambang LRT untuk ke stesen yang ditetapkan. Selain itu, ia lebih kepada perhimpunan budaya secara besar-besaran.

“KeretapiSarong kali ini dikembangkan ke beberapa negara berikutan permintaan memberangsangkan yang kami terima menerusi laman Facebook RA daripada pelajar Malaysia di sana.

“Kami cuba menjadikannya mudah diakses oleh orang ramai, justeru sekumpulan sukarelawan RA berada di bandar raya terbabit bagi membantu penganjurannya.

“Kami tidak mengambil kira jumlah pembabitan peserta kerana bagi kami tahap kesedaran dan memupuk rasa cinta pada negara itu lebih utama berbanding kuantiti peserta,” ujar salah seorang koordinator utama projek RA, Zain HD.

Namun masih ada yang skeptikal, mengapa kain sarung yang jadi taruhannya?
Jelas Lim Sheng Feixiang, salah seorang koordinator #KeretapiSarong, kain sarung sejak dulu sinonim dengan masyarakat Malaysia.

“Nama panggilannya mungkin berbeza mengikut bangsa, tapi hakikatnya kain sarung sudah ada dalam budaya kita sejak beberapa generasi dulu.

“Datuk saya mempunyai beberapa helai kain sarung yang digunakan setiap hari lalu amalan itu diturunkan kepada anak-anaknya hinggalah kepada generasi saya.

“Ia bukan lambang agama, tapi lebih kepada perpaduan pelbagai bangsa di negara kita. Tidak kira Melayu, Cina, India, Serani atau bangsa apa pun, kalau sudah namanya orang Malaysia pasti ada sekurang-kurangnya sehelai kain sarung dalam simpanan.

“Selama ini kita asyik berbangga dengan produk luar yang dibawa masuk ke negara kita. Sudah tiba masanya kita pula yang bawakan produk atau budaya tempatan ini ke dunia luar,” katanya.

Bagaimanapun #KeretapiSarong ini bukan hanya ruang untuk bertemu dan melepak tanpa melakukan apa-apa. Setiap peserta diminta melakukan beberapa acara di stesen yang ditetapkan.

Perjalanan #KeretapiSarong kali ini bermula di dua lokasi iaitu LRT Bangsar dan LRT Dang Wangi. Peserta kemudian diminta menuju ke LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Kampung Baru dan Ampang Park sebelum semuanya kembali ke Bangsar untuk acara penutup.

Peserta perlu melakukan aktiviti di setiap hentian seperti menyanyikan lagu Rasa Sayang, bergaya ala ayam di depan kamera selama seminit, menyapa penumpang lain yang tidak memakai sarung dan merakamkan selfie dengan peserta yang datang dari stesen bertentangan.

Peserta boleh memilih untuk tidak melakukan acara itu, tapi majoriti tidak kisah beraksi seperti diminta, malah ramai yang bertindak seperti duta kecil saat ditanya pelancong, juga penumpang lain, mengenai aktiviti itu.

Menariknya, #KeretapiSarong turut memperlihatkan sisi kreatif golongan muda yang berani tampil ala cosplay sambil mengenakan sarung.

Penyertaan tiga generasi

Bagi Amir Hamzah Abd Rahim, pembabitannya dalam kempen #KeretapiSarong kali ini lebih kepada aktiviti libur bersama keluarga.

Pesara berusia 62 tahun ini disertai isteri, Azian Othman, 61; dua anak perempuan, Azianty Amir, 33, dan Aziny Amir, 26, serta tiga cucunya, Uqail Zafran, Aina Qarina dan Bryan Amir berusia tiga hingga enam tahun.

“Saya dapat tahu mengenai aktiviti #KeretapiSarong ini menerusi risalah ketika berkunjung ke sebuah kafe di Taman Tun Dr Ismail seminggu sebelum itu.

“Ia sesuatu yang menarik untuk disertai, tambahan pula tidak memerlukan yuran penyertaan. Apa yang diperlukan cuma memakai kain pelikat dan kain batik sambil menaiki LRT.

“Saya tidak rasa ia perkara memalukan malah aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan apabila dilakukan bersama ahli keluarga,” katanya.

Aziny hampir menyertai aktiviti #KeretapiSarong tahun lalu namun atas beberapa masalah, niatnya tertangguh hingga akhirnya mengikuti segerombolan peserta tahun ini. Tambah manis apabila penyertaannya ini mendapat sokongan keluarga.

“Tak sangka bapa dan ibu ingin turut serta dalam #KeretapiSarong. Tapi benar kata bapa, aktiviti seperti ini sekurang-kurangnya dapat membuatkan kami habiskan masa cuti bersama.

“Selain itu, ia dapat juga memupuk semangat cintakan budaya kepada generasi yang lebih muda dalam keluarga kami,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

460 views