Latih Amal Makanan Baik

Ada ibu bapa yang menganggap anak mereka kelihatan lebih comel sekiranya berbadan besar, sekali gus mendorong mereka menghidangkan pelbagai menu berlemak dan manis di rumah.

Mungkin juga mereka menganggap anak yang masih kecil tidak mungkin akan mengalami masalah kesihatan seperti diabetes atau sakit jantung yang selalunya lebih cenderung dialami golongan lebih berusia.

Namun, sebenarnya tanggapan itu salah, malah sikap ibu bapa yang suka memanjakan anak dengan makanan terutama yang penuh gula dan berlemak, meletakkan anak mereka dalam kumpulan berisiko dan mengalami masalah kesihatan sepanjang hidup akibat obesiti.

Menurut pakar perunding pediatrik Dr Yong Junina Fadzil, pengambilan makanan kaya lemak dan gula ketika anak mengalami tumbesaran pesat di awal usia boleh meninggalkan kesan jangka panjang yang tidak baik ke atas kesihatan mereka.

Ini kerana, menurutnya, lemak dan gula berlebihan meningkatkan berat badan seterusnya menyumbang kepada masalah kegemukan melampau. Sekiranya tidak ditangani dari awal, ia boleh menyumbang kepada diabetes dan masalah jantung.

“Kanak-kanak yang memiliki berat melampau juga boleh mengalami masalah pernafasan akibat lemak yang banyak di bahagian leher menyempitkan saluran pernafasan mereka.

“Ibu bapa perlu melatih anak-anak mereka mengamalkan pemakanan sihat sejak kecil supaya ia menjadi tabiat. Sebaiknya, elak terus pengambilan gula ringkas, garam dan makanan berlemak.

“Selain melatih anak, ibu bapa juga perlu menunjukkan teladan yang baik dengan makan makanan sihat bersama anak dan bukannya memaksa anak mengambil makanan sihat sedangkan ibu bapa makan makanan segera,” katanya.

Dr Yong Junina berkata, ibu bapa yang mendapati anak mereka mempunyai berat berlebihan perlu membawa anak mereka bertemu doktor untuk rawatan susulan dan perancangan diet yang betul.

Doktor akan memberi nasihat kepada ibu bapa dari segi pemakanan yang sihat selain menggalakkan penambahan aktiviti kanak-kanak itu supaya metabolisme tubuhnya meningkat dan berat badan dapat dikurangkan.

“Sebaik usia anak mencecah enam bulan dan boleh mula mengambil makanan selain susu, ibu bapa seharusnya melatih anak mereka mengambil makanan sihat tanpa garam atau gula.

“Lebihkan sayur-sayuran dalam diet dan sediakan saiz hidangan bersesuaian. Apabila anak tidak mampu menghabiskan hidangan, jangan sesekali memaksa anak menghabiskannya, sebaliknya pada hidangan seterusnya, kurangkan saiz supaya tepat dengan keperluan mereka,” katanya.

Bagi kanak-kanak yang masih kecil, mereka tidak digalakkan menurunkan berat badan sebaliknya mengekalkan berat sedia ada dengan cara menjaga pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal sehingga berat itu sesuai untuk pertambahan usia.

Katanya, bagi memastikan sama ada berat sepadan dengan ketinggian, berat badan kanak-kanak diukur berdasarkan berat ketika lahir.

Ukuran berat badan yang sihat secara kasar bagi usia setahun sekitar 10 kilogram manakala untuk kanak-kanak berusia dua tahun pula sekitar 12 kilogram.

“Sekiranya berat berlebihan tidak ditangani seawal mungkin, ia boleh memberi kesan kepada kanak-kanak dalam jangka panjang. Selalunya kanak-kanak yang gemuk ketika kecil akan terus berkeadaan yang sama sehingga besar jika diet dan cara hidup tidak ditukar.

“Ia seterusnya mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan termasuk darah tinggi, diabetes dan sakit jantung. Lagipun apabila mereka sudah biasa makan dalam jumlah yang banyak, sukar mereka mengubahnya,” katanya.

Bagi ibu bapa yang mahu mengubah diet anak mereka kepada yang lebih sihat, Dr Yong Junina menasihatkan ia dilakukan secara perlahan-lahan iaitu mengurangkan kandungan lemak, gula dan garam dalam makanan secara beransur-ansur sehingga kanak-kanak itu dapat menyesuaikan diri dengan diet baru yang lebih sihat.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

506 views