Latih Si Cilik Guna Tandas

Latihan ke tandas satu proses biasa yang dilalui semua kanak-kanak. Kesediaan untuk ke tandas tidak berlaku secara automatik tetapi perlu diajar selari dengan peningkatan usia mereka.

Permulaan untuk ke tandas bergantung kepada faktor fizikal dan emosi se–orang kanak-kanak itu. Latihan asas ke tandas ini perlu dilalui semua kanak-kanak bagi menggalakkan mereka berdikari.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, latihan ini penting untuk perkembangan kanak-kanak supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan selesa, kering dan bersih.

Pada umur dua atau dua setengah tahun, kanak-kanak boleh dilatih untuk menjaga dirinya dalam keadaan kering dan bersih. Bagi kanak-kanak yang tiada latihan, mereka mungkin boleh berada dalam keadaan kering dan bersih hanya pada umur empat tahun.

Bagaimanapun, kanak-kanak kurang upaya memerlukan bantuan latihan untuk menjadikan mereka lebih berdikari tanpa meminta pertolongan manakala latihan kepada kanak-kanak normal dengan mereka yang kurang upaya juga berbeza.

Sebab kanak-kanak tidak mampu ke tandas

Perkembangan mental yang lambat dan menghadapi masalah fizikal.
Ibu bapa atau penjaga tidak menyediakan keperluan atau tidak memberikan latihan kepada anak.
Kanak-kanak tidak mampu mengawal pundi kencing mereka.
Kanak-kanak tidak mendengar atau memahami arahan ringkas.

Langkah untuk latihan ke tandas

Mulakan dengan mengenal pasti kekerapan dan masa mereka biasanya buang air. Untuk mengenal pasti keadaan ini, ibu bapa atau penjaga boleh membuat satu jadual mencatatkan kekerapan anak membuang air.

Ini penting untuk mengetahui tempoh yang diambil anak membuang air. Catatan kekerapan anak membuang air boleh dibuat dalam bentuk jadual.

Mulakan latihan apabila anak sudah bersedia. Bagi kanak-kanak normal, biasanya pada usia dua tahun mereka sudah boleh dilatih tetapi bagi anak yang mengalami perkembangan agak lewat, latihan ke tandas boleh dimulakan lebih lewat contohnya pada usia tiga, empat atau lima tahun.

Tiga cara untuk melihat sama ada anak bersedia untuk melakukan latihan
ke tandas:

1. Mengawal pundi kencing

Adakah anak sentiasa kering pada setiap jam?

Adakah anak anda tahu jika mereka mahu membuang air (lihat pada muka dan dua belah kaki)?

Adakah anak membuang air dengan banyak pada satu masa tanpa meleleh atau menitis setiap masa?

Jika anak dapat mengawal tiga atau sekurang-kurangnya dua perkara di atas, ini bererti mereka boleh mengawal pundi kencing dan latihan ke tandas boleh dimulakan.

2. Persediaan untuk bekerjasama

Untuk melihat anak cukup memahami dan boleh memberi kerjasama, uji dengan memberikan arahan ringkas seperti baring, berdiri, masukkan mainan dalam kotak dan memintanya menepuk tangan.

Jika anak boleh membuatnya dengan rela hati, ini menunjukkan mereka sudah bersedia dari segi mental untuk melakukan latihan ke tandas.

3. Persediaan fizikal dan emosi. Uji dengan cara seperti:

Bolehkah anak mengambil objek yang kecil dengan mudah?

Bolehkan anak berjalan atau bergerak sendiri?

Bolehkah anak mencangkung, duduk di atas bangku atau tempat duduk? Adakah mereka dapat mengimbangkan diri?

Bagi anak yang masih memakai lampin pakai buang, mereka akan meminta untuk ditukar baru apabila tidak selesa.

Mula menunjukkan minat untuk memakai seluar dalam dan bukan lampin pakai buang.

Mahu bersendirian apabila ingin membuang air.

Jika anak anda dapat melakukan seperti di atas, ini bermakna dia sudah boleh dilatih untuk ke tandas tetapi masih memerlukan pertolo-
ngan dari segi fizikal dan emosi.

Melatih anak menggunakan bekas najis untuk kanak-kanak

Kenal pasti masa yang biasa si kecil perlu membuang air, contoh selepas makan.

Selepas mengenal pasti masa berkenaan, latih anak untuk ke tandas ataupun letakkan dia di atas bekas najis.

Berikan galakan kepada anak dengan perkataan yang biasa digunakan (seperti ‘shiiiih’ atau ‘poo’).

Tinggalkan anak di atas bekas najis sehingga siap membuang air. Jika tidak, jangan dudukkan atau tinggalkan anak di atas bekas najis lebih daripada 10 minit.

Pastikan bekas ini diletakkan dalam keadaan yang selamat.

Beri ganjaran selepas anak berjaya membuang air seperti tepuk tangan atau ciuman.

Jika anak tidak membuang air ketika latihan, jangan paksa atau menghukum. Jangan mengkritik anak apabila dia melakukan kesalahan semasa latihan ke tandas.

Membersihkan

Terangkan kepada anak bermain dengan najis adalah tidak baik.

Ajar anak untuk membersihkannya dan basuh tangan sendiri dengan sabun.

Ajar dan bantu anak untuk mengepam tandas.

Ajar anak supaya membasuh tangan dengan sabun selepas menggunakan bekas najis dengan memberi contoh membasuh tangan anda sendiri.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

511 views