Latihan Dalam ‘pesawat’ Sebenar
Ramai beranggapan memiliki ketinggian, berwajah tampan serta jelita sudah mencukupi untuk menjadi pramugari atau pramugara sesebuah syarikat penerbangan.
Hakikatnya ia tidak semudah disangka. Ini kerana di sebalik kerjaya glamor terbang di awan biru, berpeluang menjejakkan kaki ke luar negara serta memperoleh pendapatan lumayan, tugasan ini sememangnya menuntut banyak pengorbanan dan bukannya berasaskan keseronokan atau populariti semata-mata.
Kru kabin memikul tanggungjawab yang cukup berat. Pada setiap masa, saat penumpang pertama masuk ke dalam badan pesawat, tugas mereka sudah bermula dan berlanjutan sehingga penumpang terakhir meninggalkan pesawat. Ini bermakna pramugara dan pramugari perlu sentiasa memastikan setiap keperluan penumpang dipenuhi serta memastikan keselesaan mereka ketika dalam pesawat.
Oleh kerana kerjaya ini begitu terbuka luas serta mempunyai masa depan yang cerah, mendorong pasangan suami isteri Kapten Amin Said, 50, dan isterinya Mira Kamal, 25, memperkenalkan Cabin Crew AirCademy yang menyediakan kursus jangka pendek kepada individu yang bercita-bercita menceburi kerjaya pramugari dan pramugara atau sekadar memantapkan ketrampilan.
Istimewanya, Mira sendiri pernah mengikuti beberapa sesi temu duga sekadar mendapatkan pengalaman untuk menjadi kru kabin dan dia memahami ciri-ciri yang dikehendaki penemuduga.
Ketika ditemui di SimFlightKL di tingkat satu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Shah yang turut diuruskan suaminya, Mira menjelaskan, idea membuka Cabin Crew AirCademy bermula disebabkan tidak mahu berjauhan daripada suami yang juga juruterbang persendirian. Oleh kerana sentiasa sibuk dengan kerja penerbangan membabitkan badan korporat, institusi pendidikan serta orang perseorangan, Mira mewujudkan kursus jangka pendek bagi membolehkan dia sentiasa berada di sisi suaminya.
Dia yang mempunyai latar belakang dalam perakaunan ketika itu cukup teruja mengenai kecantikan terutama solekan dan penampilan.
“Menyedari kerjaya ini begitu terbuka luas dengan kehadiran ribuan individu yang menghadiri sesi temu duga, tetapi hanya puluhan saja berjaya, saya berasa alangkah perlunya mereka yang berminat mempersiapkan diri dengan ilmu dan penampilan.
“Dari segi luaran sememangnya setiap individu memiliki kelebihan iaitu cantik dan tinggi, namun bukan itu yang diperlukan. Cantik dan tinggi saja tidak mencukupi. Inilah yang kami ingin dedahkan kepada peserta supaya mereka lebih bersedia menghadiri temu duga dengan ilmu dan akhirnya tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Mira yang sering menghadiri temu duga di pelbagai syarikat penerbangan termasuk Singapore Airlines, MAS, AirAsia dan Fire Fly menjelaskan, setiap penerbangan mempunyai visi berbeza. Justeru dalam setiap ujian sudah tentu mereka perlu menyediakan latar belakang berlainan bersesuaian dengan misi masing-masing. Tidak tepat sekiranya individu menggunakan kaedah yang sama untuk setiap peperiksaan yang dihadiri mereka.
Bakal kru kabin juga harus mempunyai matlamat syarikat penerbangan yang mereka ingin sertai. Ini kerana kesemuanya sudah tentu menyediakan bukan saja pengalaman berbeza, malah keadaan sosial termasuk gaji dan persekitaran.
“Misalnya kru kabin daripada MAS begitu popular disebabkan kredibiliti dan kualiti mereka sehinggakan permintaan untuk mendapatkan kru kabin di sini begitu tinggi terutama untuk penerbangan Arab Saudi. Jadi dengan menyediakan kursus jangka pendek, ia turut memudahkan pengurusan syarikat penerbangan agar peserta yang menghadiri temu duga itu berkualiti dan tahu apa yang mereka inginkan,” katanya yang berhasrat menyediakan kru kabin bertauliah bagi memenuhi semua penerbangan di dunia.
Berbeza dengan kursus anjuran syarikat lain, Cabin Crew AirCademy hanya menyediakan kursus selama lima hari dengan lapan topik utama termasuk asas solekan, kecantikan, komunikasi dalam bahasa Inggeris, hormat menghormati serta informasi mengenai semua syarikat penerbangan di dunia.
Modul yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri sepanjang menghadiri temu duga termasuk mendapat idea dan kerjasama daripada beberapa jurulatih berpengalaman dalam bidang penerbangan.
Lebih istimewa ia tidak dijalankan di dalam dewan, tetapi di SimFlightKL yang menyediakan ruang dan persekitaran seperti di dalam kapal terbang sebenar. Dengan cara ini peserta lebih mudah mengadaptasi dan merasai suasana sebenar kerjaya sebagai kru kabin.
“Pada akhirnya apa yang diperlukan oleh penemuduga bukanlah cantik atau tinggi semata-mata sebaliknya mereka menilai dari semua segi termasuk penampilan dan berurusan dengan orang lain. Terlalu menonjol atau yakin juga bukanlah tiket untuk berjaya sebaliknya harus merendah diri, sopan dan menunjukkan kesungguhan dan minat menjadi kru kabin,” katanya.
Simulator untuk pengunjung
Bagi Kapten Amin pula, pengalaman selama 15 tahun dalam bidang penerbangan khususnya untuk pendidikan dan persendirian menyebabkan dia terdorong membuka SimFlightKL yang pada mulanya dikhususkan kepada juruterbang yang baru saja menamatkan pengajian dan ingin merasai suasana sebenar memandu kapal terbang. Walaupun ia hanya simulator, semua perkakasan digunakan menyerupai alatan dalam pesawat Boeing dan Air Bus sebenar.
“SimFlightKL memberi peluang juruterbang yang akan menghadiri temu duga menjalani ujian penerbangan. Malah, ramai pelajar kolej sama ada yang mengambil jurusan penerbangan atau sekadar inginkan pengalaman merasai suasana sebenar di dalam kapal terbang. Misalnya pengaruh cuaca, kerosakan peralatan seperti tayar pancit yang turut memberi kesan terhadap situasi penerbangan mereka.
“Lama-kelamaan ia menjadi perhatian orang ramai terutama keluarga yang ingin mendedahkan kepada anak mereka mengenai penerbangan. Bagi kru kabin pula, dengan mendapat sedikit pengalaman di sini semua perkara yang menggusarkan hati mereka dapat dikurangkan,” katanya.
Dibuka sejak setahun lalu, suasana persekitaran yang disediakan menyamai seperti kelas perniagaan manakala mereka yang berada di bahagian dalam akan dapat merasai gegaran dan sedikit bergoyang ketika kapal berlepas dari
landasan.
Bagi Kapten Amin, setiap juruterbang pasti akan merasai detik mencemaskan. Apa yang penting cara menghadapi situasi itu dan berupaya menyelesaikan masalah dalam waktu yang suntuk. Tidak menolak nyawa penumpang menjadi keutamaan, menurut Kapten Amin, dia sendiri pernah melalui detik mencemaskan apabila kapal terbang dua tempat duduk yang dipandu menghadapi masalah enjin.
“Memang agak panik ketika itu, namun saya cuba bertenang dan mencari jalan penyelesaian. Di sinilah letaknya kecekapan juruterbang untuk mengemudi penerbangan mereka dan pada masa sama, memastikan keselamatan penumpang. Untuk berpatah balik sangat mustahil kerana masa terlalu suntuk. Jadi saya cuba mencari kawasan lapang untuk membuat pendaratan kecemasan. Alhamdulillah semuanya selamat. Apa yang saya lalui sebenarnya memberi banyak pengajaran bagaimana melalui situasi cemas dan mencari jalan penyelesaian. Ia sebenarnya mencetuskan daya keyakinan diri yang tinggi selain kemahiran membuat keputusan,” katanya.
Jelas bapa kepada dua cahaya mata ini, sejak di sekolah rendah dia sudah teruja dengan semua perkara terutama permainan berbentuk kapal terbang. Berminat dalam bidang kejuruteraan, dia mengambil jurusan kejuruteraan di Amerika Syarikat. Namun, sekembalinya ke Malaysia, perasaan untuk menjadi juruterbang begitu membuak-buak sehingga dia mengambil kursus penerbangan di Subang.
Menyedari ingin menceburi bidang penerbangan pesawat komersial dan helikopter kerana disifatkan lebih mencabar, Kapten Amin menubuhkan syarikat penerbangan sendiri dengan menyediakan perkhidmatan berbentuk pendidikan dan untuk orang perseorangan.
Menyedari industri penerbangan semakin meluas dengan banyak syarikat penerbangan di Malaysia, kerjaya dalam bidang penerbangan termasuk kru kabin semakin berkembang. Untuk itu pada masa hadapan dia ingin melengkapkan kemudahan peralatan yang lebih canggih dan terkini di SimFlightKL terutama simulator lengkap termasuk helikopter khas untuk pengunjung.
Mempunyai lapan juruterbang yang bekerja tetap manakala lima secara sambilan, mereka mempunyai pengalaman luas memberikan maklumat terkini kepada pengunjung.
“Oleh kerana apa yang dipelajari dan didedahkan di sini mempunyai kaitan dengan pengalaman bertugas sebagai juruterbang sebenar, justeru kebanyakan staf biasanya ditawarkan menjadi juruterbang di syarikat penerbangan lain tanpa perlu menunggu lama,” ujarnya.