Lebih Cabaran Untuk Berdikari

WALAUPUN tergolong di kalangan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan, tetapi ia tidak menghalang golongan ini daripada menjalani kehidupan seperti insan normal.

Sebolehnya mereka enggan menyerah pada kekurangan diri dan hidup berdikari atas usaha tulang empat kerat tanpa mengharapkan belas ihsan sesiapa.

Begitu juga dengan kumpulan sokongan ataupun persatuan yang mewakili golongan kelainan upaya cacat penglihatan ini turut sama menghasilkan produk tertentu agar ia boleh dikongsi bersama ahli dengan cara tersendiri.

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) sememangnya dikenali kerana mengeluarkan al-Quran Braille untuk kemudahan masyarakat cacat penglihatan mengenali dan mendalami bacaan kitab suci itu dengan lancar.

Naib Yang Dipertuanya, Zamzuri Ghani berkata, pengeluaran cetakan al-Quran Braille melalui Biro Penerbitan Pertis ini juga bertindak sebagai sumber pendapatan utama persatuan.

“Buat masa ini, hanya Pertis bertindak sebagai badan tunggal mengeluarkan al-Quran Braille malah ia juga diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1996.

“Kos bagi mengeluarkan al-Quran ini kira-kira RM200 senaskhah tetapi kami memberinya secara percuma kepada semua ahli Pertis dan mereka yang memerlukan,” katanya.

Malah, golongan cacat penglihatan juga tidak akan menghadapi masalah untuk membaca teks al-Quran jawi braille ini kerana ia menggunakan kod khas bagi memudahkan pembacaan serta mengikut tajwidnya yang betul.

“Mungkin orang tak nampak kepentingan al-Quran Braille ini, tetapi kepada golongan seperti kami ia sangat penting terutama dalam mendekatkan diri dengan Allah.

“Kami akan terus mengeluarkan al-Quran Braille untuk kegunaan semua malah bersyukur kerana sehingga kini masih menerima bantuan daripada pihak tertentu yang sudi menaja proses cetakan terbabit,” katanya.

Al-Quran ini adalah transkripsi daripada manuskrip kitab al-Quran asal tanpa membuat sebarang perubahan kecuali sedikit modifikasi terhadap tulisan agar disesuaikan dengan keperluan individu cacat penglihatan.

Kaedah penulisan al-Quran Braille yang dihasilkan melalui komputer oleh Pertis ini tidak lari daripada sistem tulisan jawi braille yang diterima pakai negara lain.

Malah, ia juga boleh dibaca pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan berpengetahuan dalam sistem tulisan jawi braille.

Cetakan al-Quran Braille berkomputer itu mempunyai 30 juzuk dengan 1,666 muka surat menggunakan bahasa Arab sepenuhnya manakala tulisan Braille pula memenuhi piawaian antarabangsa.

Jika sebelum ini, ia diterbitkan secara manual dan mengambil masa setahun untuk disiapkan, tetapi melalui cetakan berkomputer pula hanya mengambil masa empat jam untuk disiapkan.

“Ia dibahagikan kepada enam jilid merangkumi 30 juzuk al-Quran dan setiap jilid pula disertakan dengan lima juzuk al-Quran bagi memudahkan pembaca cacat penglihatan.

“Tidak dinafikan ia agak tebal berbanding al-Quran biasa, tetapi bacaannya tetap sama mengikut tertib yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, sumbangan yang diperoleh daripada individu perseorangan dan juga syarikat korporat juga menjadi pemangkin utama sumber pendapatan persatuan terutama bagi menyalurkan gaji kepada kakitangan yang memastikan perjalanan urusan harian persatuan sentiasa lancar.

Sementara itu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pula menyediakan pelbagai aktiviti dan program bagi membolehkan ahli mendapat manfaat dan boleh berdikari antaranya dengan menyediakan Program Pembangunan Keusahawanan. Walaupun tidak mempunyai satu produk khusus, tetapi usaha yang dijalankan dengan memberikan pengetahuan keusahawan kepada ahli membuka peluang kepada mereka untuk membaiki taraf hidup ke arah lebih baik.

Presidennya, Mohammed Nazari Othman berkata, apa yang ditawarkan kepada ahli bukan bersifat keuntungan, tetapi lebih kepada perkhidmatan sama ada kursus ataupun maklumat berkaitan pengkhususan perniagaan yang ingin diceburi.

“Kebanyakan ahli SBM lebih banyak terarah kepada bidang perniagaan urutan dan refleksologi, namun masih ada yang menceburkan diri dalam bidang jahitan, kedai runcit, penternakan ikan dan juga kraftangan.

“Keupayaan berdikari amat dititikberatkan kepada setiap ahli kerana walaupun mempunyai kelayakan pendidikan, kebanyakan mereka tidak berpeluang merasai kerjaya di peringkat arus perdana disebabkan kekurangan diri,” katanya.

Selain itu, untuk lebih memotivasikan diri, persatuan juga turut menawarkan pinjaman modal perniagaan kepada ahli melalui program pembangunan keusahawanan yang dijalankan sehingga mencecah RM100,000.

Hingga kini kebanyakan ahli yang berminat boleh mendapat jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 dan bagi memastikan perjalanan perniagaan dilakukan lancar, ahli turut dihantar menjalani kursus latihan.

“Kami ingin memastikan golongan cacat penglihatan juga mampu berjaya seiring dengan perkembangan serta peredaran ekonomi semasa.

“Walaupun tidak boleh melihat, tetapi kita perlu menjadikan ‘kekurangan’ ini sebagai cabaran untuk sentiasa memperbaiki diri agar lebih berdaya saing, tetapi mengikut kemampuan diri sendiri,” katanya.

Malah, persepsi masyarakat juga perlu diperbetulkan dan memberi peluang kepada orang kelainan upaya untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan negara dengan cara tersendiri.

Disebabkan kekurangan peluang kerjaya yang ditawarkan kepada golongan ini juga menyebabkan mereka lebih terarah kepada bentuk ‘bekerja sendiri’ tetapi pandangan masyarakat terhadap usaha ini pula berlainan.

“Bagi membuka ruang kepada golongan kelainan upaya ini untuk berjuang meningkatkan taraf hidup diri, seharusnya masyarakat membuang persepsi negatif sedia ada dan cuba membantu dengan memberi peluang kepada kami untuk turut sama ‘berjaya’.

“Keadaan ini bertujuan meneruskan kelangsungan hidup golongan seperti kami kerana seperti orang lain, kami juga memiliki keluarga yang memerlukan keperluan harian dan pastinya dengan keadaan ekonomi sekarang membuatkan keadaan diri lebih terhimpit dalam tekanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

815 views