Lebih Menghargai Apa Yang Ada

Dia datang tepat pada masa dijanjikan. Terus bertanya khabar kerana baru pertama kali bertemu. Lantas dia bercerita mengenai kampung halamannya di Melaka, di Semabok. Tetapi sekarang tiada siapa di situ lagi kerana ibu bapanya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.

Wanita bernama Lina Tan, sangat kecil molek orangnya tetapi semua orang tahu, dia juga wanita bersemangat tinggi.

Pengarah Urusan Red Communication Sdn Bhd ini sukakan cabaran dan tidak takut gayat. Sebab itu antara kegemarannya ialah mendaki gunung dan pernah menjejak Gunung Nuang, gunung di Argentina dan Barcelona.

Dari situ kita boleh mengagak Lina yang berani dan tidak mudah lemah semangat meskipun Lina, 47, menempuh sesuatu yang dia sendiri tidak menyangka.

Tahun lalu, anak kedua daripada tiga beradik itu mendapat tahu dia mempunyai penyakit kanser payudara tahap kedua.

Lina ternyata terkejut dan dia tidak sangka berdasarkan keadaan lahiriahnya waktu itu yang sangat sihat. Dia rajin bersenam dan mengamalkan makanan sihat. Dia juga tidak merokok.

Dalam rasa terkejut itu, Lina segera meneruskan usaha mendapatkan rawatan. Dia melakukan pembedahan seperti yang disarankan. Lina juga berbelah-bahagi untuk meneruskan dengan rawatan kemoterapi.

“Memang semua orang merasakan kemoterapi sangat menakutkan, begitu juga saya. Ada kawan yang suruh buat dan ada pula kata jangan. Seorang kawan yang turut mendapat penyakit sama menasihatkan saya supaya melakukannya. Katanya, apa nak dirisaukan kerana saya masih muda dan dalam keadaan sihat. Saya boleh melaluinya!” katanya.

Kawan Lina itu juga mahu dia kekal positif. Aura positif membantu kita melalui apa saja.

“Saya bertanyakan empat doktor untuk nasihat. Semuanya nasihatkan saya buat kemoterapi kerana usia saya masih muda,” katanya.

Sedikit sebanyak Lina mula terarah kepada keputusan itu, tetapi dia masih tidak pasti. Lina mengaku, apa yang sangat mempengaruhinya untuk melakukan kemoterapi ialah kasihnya pada keluarga.

“Rasanya keputusan saya ini lebih kerana keluarga. Abang saya yang tinggal New York juga pulang. Dia dan adik perempuan saya sama-sama menasihati saya dan beri sokongan supaya saya buat kemoterapi,” katanya.

Sebenarnya, hidup Lina baru melalui suatu perubahan yang indah dengan kelahiran anak saudaranya, Krysta Myra, 15 bulan. Krysta ialah cucu pertama keluarganya dan bayi ini menjadi tempat Lina mencurahkan kasih sayang. Keluarga Lina bertambah ceria dengan pertambahan ahli baru.

Dia sangat sayangkan Krysta justeru Lina tekad untuk sembuh sepenuhnya.

Selepas pembedahan pada Jun 2013, Lina segera melakukan kemoterapi. Mungkin dia tidak melalui proses fisioterapi bersama ahli terapi, tetapi dia tidak berhenti melakukan senaman.

Hasilnya, ia bukan hanya bagus untuk dia yang baru lepas pembedahan, kemoterapi dan radioterapi kerana senaman juga membuatkan dia lebih sihat dan bertenaga.

“Kesan kemoterapi memang membuatkan kita rasa penat. Penat itu selalu dikaitkan dengan kita perlu berehat dan tidur, tetapi sebenarnya ia lagi memenatkan sekiranya kita hanya berehat dan tidak bersenam,” katanya.

Waktu pertama kali melalui kemoterapi, Lina memberitahu dia tidak tahu apa yang bakal dirasanya kerana ia pengalaman pertama.

“Pada minggu pertama itu saya hilang deria rasa. Saya makan, tetapi tak rasa apa-apa. Ini membuatkan rasa tak selesa. Saya juga mudah penat jadi saya rasa perlu rehat dan berbaring.

“Saya tak suka keadaan itu. Saya juga tak suka ubat-ubatan kerana ia membuatkan saya rasa begitu lalu muncul tekanan sementara. Namun, selepas dua minggu keadaan menjadi bertambah baik dan kembali seperti normal,” katanya.

Lina tahu, semua kesan kemoterapi hanyalah sementara.

“Selepas dua minggu itu, keadaan tubuh sudah kembali hampir normal, waktu itulah kita elok bersenam. Saya pula tidak boleh duduk rumah atau tidak bekerja jadi selepas pembedahan, saya gagahkan diri juga ke pejabat.

“Selepas dua minggu, saya teruskan bersenam, berbasikal dan main futsal. Saya juga berjalan dan buat senaman tangan yang sesuai. Doktor memang galakkan bersenam jadi saya buat,” katanya.

Kebetulan selepas dua minggu kemoterapinya yang pertama, Lina mengikut kawan ke Pulau Pinang.

“Mereka berasa saya perlu berubah angin. Sebenarnya sudah lama saya mendaftar untuk menyertai aktiviti berbasikal mengelilingi pulau itu. Ia aktiviti komuniti yang memang saya rancang untuk turut serta – berbasikal sejauh 83 kilometer,” katanya.

Dalam keadaannya yang baru dua minggu menjalani kemoterapi, Lina berjaya menghabiskan kayuhan dalam tempoh lima jam setengah.

“Ini membuatkan saya rasa seronok dan puas kerana berjaya melakukannya. Saya juga berasa semakin kuat mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran kemoterapi kedua pula.

“Saya nampak apa yang senaman boleh lakukan pada diri saya. Selepas kemoterapi kedua, saya tidak lagi tertekan dan hilang semangat berbanding yang pertama. Saya lebih positif selepas melalui empat pusingan kemoterapi dan radioterapi,” katanya.

Dia akui kesan kemoterapi akan membuatkan badan penat, tetapi kita harus kuat semangat dan positif.

“Saya gembira melakukannya, jika tidak saya tidak akan tahu kesannya. Pengalaman ini mengubah banyak pandangan saya terhadap kehidupan. Saya juga terpaksa bercuti daripada kerja ketika tempoh rawatan kerana mahu mengelakkan tekanan. Kini saya sudah kembali bekerja,” katanya.

Kira-kira tujuh bulan lalu melihat gambarnya ketika itu, Lina tampak letih dan tidak bermaya tetapi kini, wajahnya semakin bercahaya.

Dia tergelak besar apabila penulis mengusik rambutnya yang semakin cantik dan kulit wajahnya kelihatan berseri. Segala kesan perubatannya seperti hilang ditiup angin. Dia nampak baru.

“Sekarang saya cuba lebih relaks dan habiskan masa dengan keluarga,” katanya.

Kekuatan dan ketabahan Lina menghadapi dugaan ini datangnya dari dalaman dirinya sendiri dan keyakinannya kepada Tuhan.

“Memang keluarga dan sahabat sangat penting dari segi sokongan tetapi kekuatan diri sendiri paling utama.

“Semasa proses penyembuhan, saya juga memasak. Emak saya sendiri sangat pandai memasak maklumlah kami orang peranakan Melaka. Saya kini pandai buat laksa, mi siam, kari dan macam-macam lagi.

“Saya beli buku resipi dan mencuba pelbagai resipi. Bermula waktu saya tak ada selera hendak makan, jadi saya masak apa yang saya rasa hendak makan dan ajak kawan-kawan makan. Ia memberi keseronokan dan kepuasan. Ia juga satu terapi yang baik.

“Saya juga pergi ke pasar dan beli bahan-bahan untuk memasak,” kata Lina bercerita mengenai aktiviti barunya yang menyeronokkan.

Hargai masa terluang

Bagi Lina, carilah sesuatu yang bermakna dan disukai untuk dilakukan atau mencuba hobi baru, bukannya melayan perasaan semata-mata.

Kini, Lina lebih memikirkan apa yang bermakna dalam dirinya iaitu kerap bersama orang tersayang.

“Pada awalnya saya sangat takut untuk bercuti sebab saya tak tahu hendak buat apa jika tidak bekerja. Saya menggambarkan diri saya sangat berkait rapat dengan kerja.

“Tetapi sebenarnya dalam proses penyembuhan melalui kemoterapi dan radioterapi, masa saya juga terisi. Memang saya juga tak sabar hendak memulakan kerja jadi saya sambung kerja di samping melakukan rawatan radioterapi pada Disember lalu.

“Apa yang terjadi, saya sebenarnya masih tidak boleh fokus pada kerja walaupun kerja yang senang. Saya tertekan, rasa sangat penat dan tak sabar hendak balik rumah. Saya tidur awal kerana penat sangat. Saya juga mahu bersendiri dan ini menghairankan kawan-kawan kerana saya berubah dan suka berdiam.

“Lalu saya beritahu doktor mengenai keadaan saya dan doktor beritahu radioterapi tidak sesuai untuk saya bekerja. Ia masih memberi kesan melemahkan. Selepas semuanya berakhir baru-baru ini, barulah saya rasa diri semakin normal untuk bekerja seperti biasa,” katanya.

Lina tahu, dirinya berbeza berbanding sebelumnya. Dia menghargai kehidupan dari sudut yang berbeza. Dia tahu dia perlu relaks dan memperlahankan langkahnya, tidak lagi hanya memikirkan kerja dan melupakan keseronokan dalam kehidupan yang singkat ini.

“Saya lebih menghargai apa yang ada. Pada hujung minggu, kalau boleh saya tak mahu bekerja. Saya mahu rehat atau bersama sekeluarga,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

654 views