Lelaki Cenderung Beruban Lebih Awal

TIDAK kira lelaki atau perempuan, masalah rambut putih atau uban pada usia muda boleh membuatkan mereka kelihatan lebih berusia.

Ia juga menyebabkan tahap keyakinan diri mula berkurangan dan malu bergaul.

Perunding Dermatalogi Dermalene, Dr Alina Hasni Mohamad Rashid berkata, uban yang tumbuh ketika usia remaja dinamakan uban pramatang.

Menurutnya, definisi uban pramatang kepada orang Asia ialah uban yang tumbuh ketika usia kurang 25 tahun.

Bagi orang kulit putih, ia berlaku pada usia kurang 20 tahun manakala orang kulit hitam pula berusia kurang 30 tahun.

TEPI kepala antara kawasan banyak ditumbuhi uban bagi lelaki. FOTO Faiz Anuar

“Masalah uban pramatang terjadi apabila folikel rambut yang mengandungi sel pigmen iaitu melanin (memberikan warna hitam rambut) yang dihasilkan sel melanosit, kehilangan sel berkenaan.

“Ini menyebabkan rambut berwarna hitam bertukar kepada putih (uban),” katanya.

Beliau berkata, setiap sel melanosit mempunyai kaitan dengan lima keratinosit dalam mentol rambut yang membentuk unit folikel melanin rambut.

“Penghasilan sel melanosit (pigmen) di bawah rambut bergantung kepada kitaran folikel rambut.

“Fasa pertama ialah anagen iaitu tempoh pertumbuhan rambut aktif. Pada fasa ini terdapat banyak sel folikel yang menggalakkan pertumbuhan rambut baharu,” katanya.

Dr Alina Hasni berkata, fasa seterusnya ialah katagen iaitu pertumbuhan rambut peralihan selama dua hingga tiga minggu.

Pada fasa ini tidak berlaku pertumbuhan rambut.

“Fasa ketiga ialah telogen iaitu masa rehat dua hingga tiga bulan.

“Fasa keempat ialah exogen iaitu keguguran rambut. Pada fasa ini, rambut akan gugur di antara 50 hingga 100 helai setiap hari.

“Selepas fasa exogen, sel folikel kembali ke fasa awal anagen dan kitaran pertumbuhan rambut bermula semula,” katanya.

Menurut Dr Alina Hasni, ada beberapa faktor menyebabkan uban pramatang seperti tekanan, tahap metabolisma rendah, kekurangan vitamin B12, hormon tiroid, zat besi, genetik, anemia, radiasi matahari dan merokok.

Dr Alina Hasni berkata, masalah uban juga boleh disebabkan gangguan penuaan pramatang seperti penyakit progeria dan pangeria.

“Kedua-dua penyakit ini (progeria dan pangeria) merujuk keadaan apabila kanak-kanak mengalami proses penuaan lebih awal,” katanya.

Menurut beliau, kajian menunjukkan, pada usia 50 tahun, 50 peratus daripada penduduk memiliki 50 peratus rambut beruban.

Dr Alina Hasni berkata, lelaki lebih cenderung tumbuh uban yang awal beberapa tahun berbanding wanita.

“Bagi lelaki, kawasan paling banyak ditumbuhi uban ialah di tepi kepala, misai, janggut dan jambang.

“Sementara itu, bagi wanita pula, kawasan tumpuan uban ialah di bahagian sempadan kulit kepala,” katanya.

Dr Alina Hasni berkata, ada kalanya rambut beruban akan membuatkan sesiapa sahaja ‘gatal’ tangan untuk mencabutnya.

Katanya, elakkan tabiat mencabut uban kerana ia berbahaya dan boleh memberikan kesan trauma terhadap kulit kepala yang ada kalanya mengakibatkan luka.

“Ada luka kecil yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang akhirnya menyebabkan kepala menjadi botak.

“Biarkan saja uban ini atau guna cara lain seperti memotong untuk memendekkan uban,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

20 views