Lirikan Mata, Senyuman Menggoda

Jemputan menghadiri majlis makan malam berkonsepkan gaya glamor tentunya menimbulkan keresahan apatah lagi bagi wanita yang jarang bersolek. Ini kerana, menampilkan sisi berbeza bukan hanya menjurus kepada pemilihan pakaian sebaliknya solekan memainkan peranan penting kerana mampu menyerlahkan keanggunan wanita dalam apa juga situasi.

Walaupun solekan gaya glamor memerlukan masa lebih panjang berbanding solekan ke pejabat atau santai, ia menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa sekiranya seseorang itu mengetahui teknik solekan serta pemilihan warna alat solek agar bersesuaian dengan warna kulit wanita.

Menurut jurusolek profesional Farmasi Colour Cosmetic (FCC) yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, untuk solekan glamor, mata dan bibir perlu diberi perhatian. Ini kerana perkataan glamor itu sendiri memberikan makna berbeza dan biasanya dikaitkan menerusi lirikan mata serta senyuman menggoda.

“Pada bahagian mata, biasanya tiga maksimum rona pembayang mata diperlukan kerana satu warna saja tidak mencukupi. Bagi menyerlahkan keanggunan, campuran rona terang dan pastel digunakan bagi menarik perhatian. Misalnya gabungan coklat dan ungu menampilkan keserasian, begitu juga perak dan merah jambu akan memberikan sentuhan menawan dan semula jadi,” katanya yang menggalakkan wanita menggunakan pembayang mata FCC Terracotta empat warna yang lengkap tanpa perlu menggunakan warna lain lagi.

Bagi menimbulkan seri, penggunaan celak dan penggaris mata warna semula jadi seperti hitam dan coklat gelap lebih sesuai berbanding menggunakan celak berwarna terang. Di pasaran terdapat pelbagai jenis celak, namun jenis cecair mampu membuatkan mata lebih galak bersinar. Kemudian, menyudahi solekan gaya glamor dengan calitan celak berkilat pada bahagian bawah mata serta maskara Cat Walk yang mempunyai pelbagai fungsi.

“Ramai tidak tahu teknik solekan yang cepat dan mudah adalah dengan memastikan wanita memakai celak pada bahagian atas kelopak mata sama ada tebal atau nipis bergantung kepada jenis mata masing-masing. Kemudian, sapu celak berkilat bagi menyerlahkan keanggunan ketika menghadiri majlis glamor,” katanya.

Jangan lupa pada pemakaian bulu mata palsu kerana ia memberikan kesan berbeza terutama sekiranya menghadiri majlis makan malam bertema.

Nurul menjelaskan, selain pembayang mata dan celak, penggunaan gincu dengan warna menggoda seperti merah jambu atau merah bata membuatkan penampilan lebih menyerlah. Tidak ketinggalan pemilihan bedak asas yang mampu menutup cela sekali gus menjadikan kulit lebih lembut dan licin. Penggunaan bedak asas High Performance Foundation dilapisi bedak debu kering dan basah FCC menjadikan rona kulit lebih sekata.

“Apa yang penting, pemakaian bedak asas jenis cecair kemudian lapis dengan sapuan bedak debu Wet Dry 2 Way Foundation-Powder yang memberikan hasil diinginkan,” ujarnya.

Bagi wanita yang tampil bertudung, inilah masa mengenakan pakaian berwarna terang kerana warna gelap seperti hitam, coklat atau kelabu sudah terlalu biasa. Pemilihan rona merah jambu, biru dan ungu pasti menepati tema untuk gaya glamor.

Panduan solekan:

Penyamar cela perlu dipakai dengan jari dan tekap di kawasan diperlukan bagi melindungi wajah daripada kesan jerawat atau parut kekal.

Pakai bedak asas jenis cecair terlebih dulu sebelum bedak padat bagi memastikan solekan tampak lebih tebal dan lembut.

Solekan makan malam perlu kekal lama dan untuk itu, pemakaian satu jenis bedak asas saja tidak mencukupi tanpa bedak padat dan bedak debu.

Untuk tampil glamor, pilih pembayang mata berkilat kerana ia membuatkan anda lebih cantik terutama apabila disinari cahaya.

Pilih warna sesuai terutama untuk pembayang mata dan warna gincu. Pastikan gincu tidak terlalu terang kerana ia akan menenggelamkan keaslian wajah anda.

Pastikan sentiasa membawa pengilat bibir kerana ia dapat membaiki penampilan biarpun selepas mengambil makanan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

657 views