Lokasi Pelancongan Tarik Ribuan Pengunjung

MEMILIKI, memakai pakaian dan aksesori berjenama mahal pereka tempatan mahupun antarabangsa seperti beg tangan, kasut, cermin mata hitam dan jam tangan sehingga mencecah jutaan ringgit mungkin memberi kepuasan bagi sesetengah orang.

Ia diumpamakan pencapaian peribadi yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Pemilik barangan berjenama mewah pasti meletakkan koleksinya itu sama berharga seperti barang kemas.

Lantas tidak hairan jika setiap barangan atau koleksi dijaga dengan penuh kasih sayang. Barangan itu jelas sekali akan dibelai, dibersih serta ditempatkan di satu kabinet khas, apatah lagi setiap satu mempunyai kenangan tersendiri. Sayang sekiranya dibiarkan tanpa penjagaan khusus.

Dulu, kita sering dihidangkan dengan pemikiran bahawa hanya orang berada, kaya atau berstatus tinggi saja boleh memakai pakaian berjenama. Hakikatnya, tiada peraturan yang memperuntukkan individu berstatus tinggi saja layak serta perlu memakai pakaian jenama luar negara.

Jika mereka yang bergelar orang kebanyakan ini suka dan mampu memakainya, maka pakailah. Tiada siapa yang boleh menghalang.

Tidak boleh dinafikan, memang berbaloi membeli beg, pakaian atau kasut berjenama kerana kebiasaannya ia tahan lama. Justeru, memakai pakaian berjenama tidak salah selagi kita tidak berniat kurang baik seperti menunjuk-nunjuk dan meninggi diri.

Khabar gembira bagi penggemar dan pengumpul barang berjenama di dalam negara ini kerana kini, anda tidak perlu lagi ke luar negara dan berbelanja besar untuk mencari serta membeli barangan kegemaran.

Ini kerana, bagaikan bulan jatuh ke riba, bertempat di Jalan Premium Outlets, Indahpura 81000 Kulai Jaya, Johor Bahru, Johor Premium Outlets sudah dibuka untuk kunjungan orang ramai membeli pelbagai jenis berangan berjenama dengan harga yang murah.

Potongan harga serendah 25 hingga 65 peratus setiap hari pasti sesuatu yang tidak mahu dilepaskan oleh orang ramai.

Berdiri megah di atas tanah seluas 19 hektar, 80 jenama termasuk pereka tempatan dan antarabangsa ‘berumah’ di situ dan sedia menanti kunjungan tetamunya pada bila-bila masa.

Dengan kerjasama Genting Berhad dan Simon Property Group, ia membawa pengunjung melayari satu pengalaman membeli-belah yang tiada tolok bandingnya.

Antara jenama seperti Adidas, Nike, Armani Exchange, Burberry, Coach, Canali, Esprit, Gap, Calvin Klein, DKNY, Salvatore Ferragamo, Lacoste, Charles Keith Reductions, Guess, Michael Kors, Fossil, Levis, Tumi, Tommy Hilfiger, Oroton, Royal Selangor, Swiss Watch Gallery, Clarks, Poney, Carlo Rino, Timberland, Bonia, Roxy, La Senza Lingerie, Polo Ralph Lauren, Puma, Quiksilver, Rip Curl, G2000 Outlet, Vincci serta Skechers menanti pengunjung dengan tangan terbuka.

Untuk pengetahuan umum, Johor Premium Outlets adalah rangkaian outlet yang pertama di Asia Tenggara dan ke-70 yang dibuka selepas 68 Premium Outlets bertapak di Amerika Syarikat, satu di Puerto Rico, lapan di Jepun, dua di Korea Selatan dan satu di Mexico.

Pengarah Urusan Genting Simon Sdn Bhd, Jean Marie berkata, dengan kemudahan tempat letak kereta yang luas dan pengangkutan awam yang bakal keluar masuk menghubungkan empat laluan di beberapa kawasan Johor ke Johor Premium Outlets, ia tidak menghalang pelancong apatah lagi penduduk tempatan membeli-belah di situ.

“Terdapat lebih 2,600 tempat letak kereta disediakan di sini. Bas pelancong yang membawa penumpang pula diberikan keistimewaan dengan penyediaan kawasan memberhentikan kenderaan mereka agar berasa lebih selesa.

“Johor Premium Outlets juga bakal menjadi salah satu lokasi pelancongan yang akan menarik ribuan pelancong dari luar negara untuk membeli-belah di sini. Buat sementara waktu ini, kami menerima ramai pelancong dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Lokasinya yang terletak kira-kira satu jam dari Singapura dan tiga jam dari pusat bandar raya Kuala Lumpur diyakini tidak terlalu menyukarkan pengunjung untuk berkunjung ke sini. Bagi memudahkan perjalanan, mereka juga boleh menggunakan pengangkutan udara dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang terletak berhampiran,” katanya.

Bayangkan, dengan RM150, anda dapat membeli jam tangan berjenama Fossil, dompetnya pula boleh dimiliki bermula daripada harga RM50 manakala beg tangan kulitnya pada harga RM200.

Nike dan Adidas juga tidak kurang hebat menawarkan promosi durian runtuh sehingga 70 peratus potongan harga. Kasut dan pakaian sukannya pula boleh dibawa pulang bermula pada harga RM54.

Jenama lain juga meniru cara mereka tetapi jangan cepat patah hati sekiranya anda mendapati barangan daripada jenama seperti DKNY, Coach, Armani Exchange dan Salvatore Ferragamo walaupun menawarkan diskaun sehingga 50 peratus, namun boleh dikatakan masih berada di paras sederhana.

Walaupun himpunan barangan yang dijual di situ terdiri daripada koleksi musim lalu, ia tetap berbaloi kerana harga yang ditawarkan setiap jenama itu sendiri cukup murah dan memuaskan hati pengunjung.

Menurut Marie, pihaknya sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kemasukan jenama lain yang sudi dan ia sesuatu yang amat dialu-alukan.

“Mengikut penelitian saya, Johor Premium Outlets dibina di lokasi yang strategik dan selamat kerana kami menyediakan pasukan keselamatan dan polis peronda terbaik di sini. Tempat ini juga turut dipasang dan dilindungi kamera litar tertutup (CCTV).

“Mengenai pemilihan kedai dan tawaran harga yang diberi, kami mencuba sedaya upaya menarik sebanyak mungkin jenama antarabangsa dan walaupun masih belum dapat menyaingi Premium Outlets yang lain, kita seharusnya gembira dan cubaan mendapatkan lebih banyak lagi kedai berjenama akan diteruskan untuk fasa seterusnya,” katanya.

Bagi ayah kepada dua cahaya mata, Moo Way Shyang, 38, pembukaan Johor Premium Outlets ini ibarat satu bonus kepada rakyat Malaysia.

“Seperti orang ramai yang pasti menjangkakan tawaran harga atau promosi luar biasa di sini, saya juga begitu kerana tidak mahu ketinggalan membelanjakan sedikit duit untuk diri sendiri dan keluarga.

“Saya amat meminati jenama Mont Blanc dan walaupun jenama itu tidak ditawarkan di sini, saya tetap berpuas hati. Bagaimanapun, mungkin selepas ini pihak pengurusan boleh membuat promosi mengenai tempat ini dengan lebih meluas lagi kerana rasanya, belum ramai yang mengetahui kewujudannya,” kata pengumpul kasut dan pen jenama Mont Blanc ini.

Sementara itu, eksekutif jualan, Nor Hafiza Abdul Wahid, 30, pula berpendapat tawaran harga yang diberi cukup memuaskan hatinya dan tidak perlu lagi ke Singapura seperti sebelum ini untuk membeli beg tangan berjenama dengan harga yang murah.

Peminat jenama Coach, Longchamp, Stuart Weitzman dan Michael Kors ini juga tidak kisah berbelanja lebih demi kepuasan hatinya memiliki beg yang digemari.

Jadi, apa tunggu lagi, curilah sedikit masa untuk berkunjung ke Johor Premium Outlets dan rasai sendiri pengalaman membeli-belah di dalam satu kawasan elit dengan semua kemudahan tersedia. Ia dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Untuk maklumat lanjut, layari www.premiumoutlets.com.my.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

3,417 views