Lumpur Serap Toksin

zaisa@hmetro.com.my

Lumpur adalah elemen penting alam semula jadi kerana mengandungi sejumlah bahan mineral yang positif terhadap kesihatan manusia. Penggunaan lumpur untuk kesihatan dan kecantikan juga diakui di seluruh dunia sejak beribu tahun dahulu.

Ia dikatakan mempunyai ciri-ciri penyembuhan apabila dapat menyerap toksin dalam tubuh manusia. Justeru lumpur sangat berguna dalam mencegah pelbagai penyakit, selain membantu menyegarkan dan menenangkan tubuh kerana mampu mengekalkan kelembapan dalam tempoh lama.

Antara manfaat lumpur ialah dapat melegakan otot dan sendi, meningkatkan peredaran darah, mengekalkan metabolisme sekali gus memberikan impak baik kepada pencernaan, berguna untuk meredakan kesakitan, bengkak dan keradangan dan perapi baik untuk rambut.

Lumpur yang didapati di bahagian yang berlainan bumi mempunyai ciri-ciri berbeza. Malah, komposisinya juga berbeza mengikut tempat asalnya kerana kandungan mineral dalam lumpur berkenaan dipengaruhi jenis batuan, proses pembentukan tanah dan flora serta fauna di tempat ia ditemui.

Bahan semula jadi ini perlu dikeringkan, dijadikan serbuk dan disaring untuk menyingkirkan kekotoran seperti pasir, rumput atau cacing sebelum digunakan. Malah, amat penting juga untuk mengetahui jenis lumpur sebelum menikmati manfaatnya.

Sementara itu, Pantai Daecheon di Boryeong, Korea Selatan, diiktiraf sebagai lumpur terbaik dunia. Malah, lumpur laut di kawasan berkenaan juga terpelihara berikutan ia amat dijaga oleh pihak kerajaan dari segi kualiti bahan semula jadi.

Lumpur lautnya dikatakan berkualiti tinggi berikutan diambil terus dari kawasan pasang surut pantai berkenaan. Kajian mendapati lumpur laut Boryeong yang dikeluarkan secara besar-besaran pada Julai 1996 amat baik untuk kesihatan dan kecantikan.

Ini kerana, lumpur dari pantai berkenaan didapati menghasilkan sejumlah besar sinar inframerah jauh (FIR) iaitu satu bentuk cahaya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Menurut Pakar Kecantikan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boryeong Mud Malaysia Sdn Bhd, Erica Wong, sinaran ini mengaktifkan molekul air dalam sel-sel dan darah kita.

Malah, kesan FIR juga mempertingkatkan tahap oksigen dalam badan, menyingkirkan toksin dan lemak daripada saluran darah dan membantu meningkatkan fungsi saraf.

Disebabkan kelebihan lumpur laut Boryeong yang turut mengandungi germanium, mineral dan bentonit lebih baik daripada kebanyakan lumpur laut dari negara lain, pantai berkenaan menjadi tumpuan jutaan pengunjung pada setiap kali musim panas dan dijadikan destinasi pelancongan yang terkenal dengan pesta mandi lumpur.

“Lumpur laut Boryeong dikenali kerana manfaatnya yang mampu memberi kesan menenangkan dan melakukan proses detoksifikasi kulit. Tanah liat dari Boryeong mengandungi peratusan lebih tinggi daripada lumpur laut biasa dan digalakkan sebagai rawatan setiap minggu.

“Rawatan dan kesan spa akan meningkatkan pengedaran atau metabolisme badan dan sistem saraf. Menggunakan lumpur jenis ini sebagai penjagaan kulit harian mampu memperbaiki warna kulit, menyeimbangkan kelembapan kulit dan membantu kulit berehat daripada tekanan terutama pada kulit sensitif,” katanya.

Katanya, lumpur laut Boryeong mempunyai banyak mineral dan elemen mikro seperti karbon, nitrogen, fosforus, sulfur, besi, sebatian silikat. Ia turut mengandungi bahan organik dan hormon analog seperti prolan dan estrogen, di samping banyak vitamin seperti thiamine, asid askorbik, asid folik dan vitamin B12.

“Lumpur laut Boryeong mempunyai kesan yang luar biasa untuk terapi trauma kerana kesan antimikrobial dan pensterilan. Kandungannya yang semula jadi juga membolehkan ia selamat digunakan oleh kanak-kanak.

“Kami mempunyai beberapa pelanggan yang mengalami masalah kulit ekzema dan kulit mereka semakin baik selepas melakukan terapi lumpur berikutan bahan semula jadi ini memberi keseimbangan pH pada kulit.

“Kulit kita tergolong kepada jenis biasa, kering, berminyak, sensitif dan kombinasi semuanya. Namun, jenis kulit boleh berubah mengikut masa bergantung kepada faktor seperti kandungan air dan minyak serta tahap sensitif,” katanya.

Erica berkata, Boryeong Mud memiliki rangkaian penjagaan kulit yang sesuai untuk kegunaan harian dan mingguan. Malah, lumpur laut Boryeong juga boleh digunakan bagi merawat masalah rambut dan kulit kepala.

“Rambut yang sihat berasal dari kulit kepala yang sihat dan kegunaan lumpur laut berterusan mampu meningkatkan kesihatan kulit kepala seterusnya mengurangkan keguguran rambut, kelemumur dan kulit kepala berminyak.

“Ekstrak lumpur laut ini yang dijadikan perapi juga menjadikan rambut lembut, lembap, berkilat dan mengelak rambut tidak terurus,” katanya.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

168 views