Lupakan Rasa Malu

Dia bukan saja cantik dan bergaya malah memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit hasil pendapatan sebagai perunding pelaburan berasaskan saham amanah dan insurans di negara ini.

Dengan pendapatan bulanan mencecah enam angka, kediaman bernilai jutaan ringgit serta kereta mewah yang menjadi idaman semua, Maria Elmar Ramly, 30, sudah boleh tersenyum bangga dengan pencapaian selama tujuh tahun menceburi bidang ini.

Bermula sebagai perunding kewangan sambilan sehingga menjadi pengurus agensi kumpulan pada usia 30 tahun, sudah tentu ia satu pencapaian yang cukup membanggakan.

Kini dia menerajui agensi XO Strikers yang terletak di Mont Kiara dengan ejen seramai 60 orang dan 500 pelanggan, menjadikan Maria antara pengurus agensi terbaik di seluruh negara.

Bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam jurusan kejuruteraan geospatial ini pada mulanya bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan bulanan RM1,500.

Dengan gaji yang tidak seberapa ditambah perjalanan dari rumah ke pejabat yang terletak di Setiawangsa, wang gaji habis begitu saja malah tidak mencukupi untuk keperluan peribadi.

Keadaan ini berbeza dengan kehidupan rakan serumah yang begitu menarik perhatian Maria. Pada usia 24 tahun, dia sudah memiliki rumah dan kereta mewah serta bekerja dalam waktu yang fleksibel.

“Akhirnya saya tahu dia bekerja sebagai perunding pelaburan saham amanah dengan gaji mencecah lima angka. Saya difahamkan bekerja sebagai perunding kewangan boleh menjadi kaya, lantas saya ingin mencuba,” katanya yang menjadikannya sebagai kerjaya sambilan.

Kali pertama berjumpa pelanggan dalam masa satu jam, Maria berjaya memperoleh pendapatan RM800. Ia satu angka yang cukup menyeronokkan. Dari situ dia membuat congakan jumlah pendapatan harian, mingguan dan bulanan yang akan diperoleh sekiranya berjaya menarik pelanggan untuk membuat pelaburan.

“Sejak itu saya bertekad berhenti kerja dan menjadi perunding kewangan sepenuh masa. Memandangkan selama ini ibu tidak yakin kemampuan saya bekerja sendiri, saya rahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

“Namun untuk meyakinkan ibu mengenai masa depan bekerja sendiri, setiap bulan saya hantar penyata pendapatan ke kampung. Dengan gaji melebihi tiga kali ganda berbanding bekerja di syarikat lama, barulah ibu percaya dan memberikan sokongan sepenuhnya,” kata Maria yang juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Menurut Maria, dia sendiri tidak percaya dengan kejayaan dikecapinya kini kerana ketika zaman persekolahan, dia antara pelajar paling pendiam, pemalu serta kurang bercakap. Tetapi selepas menceburi kerjaya perunding kewangan, 100 peratus sikapnya berubah menjadi lebih yakin dan peramah.

“Walaupun perasaan malu itu masih ada, saya cuba berubah menjadi lebih yakin dan percaya pada diri kerana saya percaya rezeki sentiasa ada. Apa yang perlu dilakukan adalah mencari jalan dan berusaha mendapat apa yang diinginkan,” jelasnya.

Hampir tujuh tahun dalam bidang kewangan, saham amanah dan insurans, ia bukanlah satu tempoh yang singkat. Mungkin pada pandangan orang ramai kerjaya ini mudah, hanya modal yang sedikit, berbekalkan air liur serta keyakinan diri mampu menarik perhatian pelabur.

Namun ia tidak semudah disangka kerana untuk berada pada tahap sekarang, pelbagai cabaran, suka dan duka terpaksa ditempuhinya. Jika dulu ketika bekerja makan gaji dia tidak perlu risau mengenai jualan, sama ada berusaha atau tidak, cukup bulan dapat gaji. Tetapi kini dia sendiri menentukan jumlah pendapatan yang diinginkan sama ada empat, lima atau enam angka.

“Inilah keistimewaannya bekerja sendiri kerana kita boleh menentukan gaji pada setiap bulan. Jika mahu lebih, perlu berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya. Ini membuatkan saya lebih bersemangat kerana setiap bulan saya inginkan pendapatan berbeza. Saya meletakkan sasaran berbeza untuk setiap bulan dan berusaha mencapainya. Setakat ini alhamdulillah, setiap sasaran berjaya dicapai,” jelasnya.

Tidak pernah mengaku kalah

Walaupun bermula daripada sifar, prinsip tidak mudah mengaku kalah dan bersikap positif membolehkan Maria meraih pelaburan bernilai jutaan ringgit selepas lima tahun menceburinya. Ini kerana dia sentiasa bersikap positif walaupun menerima penolakan pelanggan.

“Kad nama dikoyak, diherdik dan dimarahi di depan orang ramai antara cabaran yang terpaksa dilalui. Siapa yang tidak sedih, diperlakukan sedemikian rupa, namun saya tanamkan dalam diri untuk maju dalam perniagaan saya perlu bersabar dan yakin tiada perkara yang mustahil untuk dicapai,” ujarnya.

Setiap hari tugasan pertama yang perlu dilakukan adalah menukar sekurang-kurangnya 20 kad. Selagi tidak mencapai jumlah itu, dia tidak akan pulang ke rumah.

“Inilah yang dilakukan sejak hari pertama menceburi bidang ini. Mula-mula memang rasa malu kerana tidak semua yang saya jumpa menerimanya dengan baik. Namun lama-kelamaan teknik ini memberi peluang bertemu pelanggan secara peribadi.

“Melalui pengalaman bertemu ramai pelanggan, saya mula memahami mereka. Pada 10 minit pertama ketika bertemu saya hanya berbual hal peribadi yang tiada kaitan dengan pelaburan bagi mewujudkan kemesraan. Selepas itu barulah saya menjelaskan mengenai kepentingannya,” katanya.

Selepas lima tahun pada 2011, atas kerja kerasnya, Maria berjaya mencatat jualan bernilai RM9 juta sehingga layak menerima anugerah tertinggi Nationwide 2011 untuk kategori penyelia agensi terbaik dan berpeluang melancong ke Los Angeles.

Bukan setakat itu, wanita ini terus menunjukkan kecemerlangan apabila hampir setiap tahun dia menerima anugerah kecemerlangan antaranya Pengurus Agensi Terbaik serta Producer Personal Terbaik 2012.

Jelasnya, antara rahsia kejayaan selama ini adalah keupayaan memberi layanan terbaik kepada pelanggan tanpa mengira waktu. Dengan menjadikan mereka sebagai rakan, ia membuatkan hubungan menjadi lebih rapat.

“Hubungan yang erat ini membuatkan pelanggan menjadi rakan baik saya sehingga ada yang sanggup meluahkan masalah peribadi kepada saya,” katanya ketawa.

Sebagai perunding kewangan, ujar Maria, ada masa-masanya dia berasa malas dan tertekan. Tidak mahu terlalu melayan perasaan itu, bagi mengurangkan tekanan dia memanjakan diri di spa. Dengan melakukan rawatan wajah serta urutan badan, semua bebanan kerja dapat dikurangkan.

“Biasanya dua minggu sekali saya luangkan masa di spa kerana ia terapi paling berkesan selain dapat merehatkan minda. Saya juga menjaga pemakanan selain mengambil makanan tambahan supaya kekal cergas sepanjang hari,” katanya.

Melihat penampilannya yang anggun dan bergaya, jelas Maria, sebagai perunding kewangan, dia perlu menonjolkan sesuatu yang mampu menjadi tarikan kepada pelanggan. Sebagai usahawan atau ahli perniagaan, kejayaan dapat dilihat dari segi jumlah cawangan kedai atau pertambahan produk jualan.

“Keadaan ini berbeza dengan saya kerana ketika berjumpa pelanggan, penampilan saya memberi keyakinan kepada pelanggan untuk melabur. Saya ibarat bilik pameran bergerak. Oleh itu, mengekalkan imej positif sangat penting kerana perniagaan yang saya jalankan membabitkan kepercayaan orang ramai,” katanya.

Pada masa depan, anak bongsu daripada empat beradik ini berharap dapat mendidik masyarakat Melayu terutama mengenai kepentingan membuat pelaburan. Ini boleh dilakukan di peringkat sekolah rendah dengan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kewangan serta pelaburan jangka panjang supaya mereka tahu bagaimana wang menghasilkan wang, sekali gus bijak mencipta peluang dalam perniagaan.

“Jika dulu ramai masyarakat Melayu takut untuk berniaga dan melabur tetapi kini, semakin ramai yang ingin membuka perniagaan sendiri. Ia sesuatu yang sangat positif supaya lebih ramai golongan Melayu profesional dapat dilahirkan,” katanya yang gemar menulis impian dan cita-cita di atas sekeping kertas.

Kemudian pada waktu malam, dia membaca kembali apa yang dicatatkan untuk menilai sama ada cita-citanya berjaya atau sebaliknya. Apa yang dilakukan Maria sangat membantu untuk merealisasikan apa yang diinginkan kerana setiap luahan atau kata-kata yang lahir daripada hati ibarat doa dan akan menjadi kenyataan sekiranya sering diucapkan.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

1,673 views